PAS Petra Jaya cakna kebajikan warga Siol Kandis

PETRA JAYA: Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya telah menganjurkan program Kamek Prihatin yang diadakan di Kampung Siol Kandis, di sini kelmarin.

Advertisement

Program kebajikan ini bertujuan menyantuni golongan miskin dan penduduk yang memerlukan perhatian dengan pendekatan pelbagai aktiviti dilangsungkan.

Sumbangan bantuan diberikan kepada golongan ini bagi meringankan beban hidup mereka, selain turut diberi pemeriksaan kesihatan percuma.

Program yang dirasmikan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Negeri Sarawak, Nuzul Izwan ini telah dihadiri lebih 100 penduduk kampung termasuk diadakan jualan amal dan dapur rakyat.

Turut meriah ialah sambutan di kaunter daftar keahlian PAS yang tidak terkecuali kelihatan ramai masyarakat Iban turut serta menyertai Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Kempen “Sekampit Beras Untuk Saudaraku” yang menjadi inisiatif telah diperluaskan di seluruh Bumi Kenyalang oleh PAS Sarawak telah memberi manfaat kepada 46 keluarga di sini.

“Walaupun Sarawak khususnya Petra Jaya adalah negeri kaya dengan hasil bumi, namun rakyatnya masih miskin di tanah sendiri dan hidup susah tanpa bantuan. Malah, keadaan jalan raya yang kecil sangat tidak selamat untuk digunakan,” ujar Nuzul.

Beliau mengajak untuk penduduk bersama memainkan peranan ke arah mewujudkan suasana pemerintahan yang lebih harmoni dan adil untuk semua.

Ketua Muslimat PAS Petra Jaya, Habsah Bujang turut hadir selain Ketua DHPP Petra Jaya, Tuai Janting selaku penggerak utama program. – HARAKAHDAILY 20/10/2019