Exco Agama tidak layak sanggah Jabatan Mufti

    IPOH: Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Negeri Perak, Drs Khalil Idham Lim membidas Exco Kerajaan Perak, Asmuni Awi yang melarang kempen Buy Muslim First (BMF) di masjid seluruh negeri ini.

    Advertisement

    Katanya, tuduhan dilemparkan oleh Asmuni kononnya kempen BMF bertujuan memberi kepentingan kepada politik pihak tertentu merupakan kenyataan yang dangkal dan mengundang kemarahan ramai.

    “Kami selaku NGO menganjurkan kempen BMF ini atas gelombang dan kemahuan umat Islam semasa. Biarpun usahawan yang hadir berbeza latar belakang politik, namun mereka memerlukan pertolongan saudara seagama dalam urusan perniagaan.

    “Kempen BMF ini bukannya rasis dan sama sekali tidak berhasrat memboikot produk bangsa lain. Kempen ini merupakan sebuah kempen sihat dalam dunia peniagaan. Ini yang beliau selaku Exco Agama perlu fahami.

    “Kempen ini mensasarkan peniaga dan pembeli Muslim mengutamakan barangan Muslim dan meletakkan ianya sebagai pilihan utama dalam perbelanjaan.

    “Masjid pula menjadi sasaran menarik perhatian orang ramai kerana ia merupakan pusat kesatuan dan penggerak ekonomi umat Islam,” ujarnya pada sidang media di pejabat NGO JABAT, di sini semalam.

    Drs Khalil turut menempelak tindakan Asmuni mencampuri urusan Jabatan Mufti selaku tempat rujukan berkaitan hukum Islam sebagai tindakan biadab sekali gus membuktikan beliau lemah mentadbir tugasnya selaku Exco Agama.

    Kata beliau, sepatutnya Jabatan Mufti bebas menerima program dan jemputan tanpa gangguan mahupun amaran dari mana-mana pihak kerana mereka juga mewakili Sultan yang menjadi payung negeri selaku Ketua Agama.

    Tambahnya, UMMAH Perak menyambut baik kenyataan membenarkan karnival atau sebarang aktiviti yang menyokong Kempen BMF supaya dilaksanakan di masjid.

    “Bagi merealisasikan program berkaitan kempen ini, kami akan menggerakkan seramai mungkin usahawan Muslim menjayakan kempen BMF ini dan bertekad meneruskan jadual yang sudah siap disusun di semua masjid pilihan di seluruh negeri Perak.

    “Seluruh usahawan Muslim dinasihatkan agar tidak gentar dengan kenyataan Exco Agama Perak itu, sebaliknya harus terus bangkit menjayakan Kempen BMF ini yang nyata mendapat sambutan hangat dari seluruh umat Islam yang mencintai perpaduan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/10/2019