Lebih baik bayar hutang PTPTN anak S’wak

PENGUMUMAN Kerajaan Negeri Sarawak untuk meneliti kaedah terbaik bagi menyelesaikan hutang PTPTN adalah satu usaha yang baik dan bertepatan apabila PH gagal menunaikan manifesto mereka untuk menghapuskan hutang PTPTN. Ini juga selaras dengan aspirasi anak Sarawak yang mahu ramai lagi anak tempatan berjaya ke menara gading dan membina karier dalam kehidupan tanpa bayangan beban hutang pelajaran.

Advertisement

Kami juga mencadangkan agar kaedah tersebut boleh dilihat dari sudut mereka yang layak memerlukan duit zakat, perjanjian bersama syarikat di mana graduan bekerja untuk menaja hutang pelajaran mereka, pemberian biasiswa pasca graduasi dengan membayar pinjaman PTPTN tersebut oleh yayasan negeri atau potongan sebahagian peruntukan Adun untuk diberi kepada sebahagian pelajar cemerlang yang meminjam PTPTN serta banyak lagi kaedah. Namun, kelestarian peruntukan khas untuk pendidikan seperti tabung pendidikan anak-anak Sarawak dari simpanan pelaburan khas hasil minyak dan gas juga boleh difikirkan.

Kami berharap Kerajaan Negeri terus kehadapan membantu rakyat negeri ini untuk mencapai kemakmuran bersama yang sepatutnya. Manakala, kepada PH pula kami mencadangkan MPKK tidak perlu dilaksanakan dan alihkan peruntukan tersebut sebagai dana tambahan untuk melangsaikan hutang PTPTN anak Sarawak sekiranya PH benar mahu membantu rakyat Sarawak. Di sinilah rakyat menilai siapa yang terus fokus membantu rakyat dan siapa pula yang hanya bertumpu merosakan apa jua sistem sedia ada hanya kerana kuasa politik.

ZHARUDIN NARUDIN
Ketua Penerangan PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 21/10/2019