Operasi kedai makan dihad jam 12 malam

KOTA BHARU: Operasi kedai makan di Kelantan mulai tahun depan akan dihadkan tidak melewati jam 12 malam sebagai usaha mengekang gejala sosial.

Advertisement

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, hasrat untuk mengekang gejala sosial dalam kalangan belia akan dilaksanakan bermula pada tahun hadapan.

Katanya sebelum ini kajian terperinci bagi mengenal pasti punca golongan belia sering keluar rumah pada waktu malam antaranya kerana operasi restoran melebihi 12 malam.

“Kita berhasrat untuk melaksanakan peraturan itu di mana kegiatan pada waktu malam tidak melebihi jam 12 malam.

“Jadi kita minta semua kakitangan kerajaan memberi sokongan penuh. Semakan dilakukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya dapat kurangkan tarikan anak-anak muda ketika berada di luar.

“Kita akan laksanakan peraturan itu pada 2020,” katanya pada Perutusan Khas Menteri Besar bersama Kakitangan Awam Kerajaan Negeri sempena 29 tahun pentadbiran Membangun Bersama Islam di sini hari ini.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Dato’ Abdullah Ya’kub dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad. – HARAKAHDAILY 21/10/2019