PH Kedah wajar contohi Almarhum Ustaz Azizan

ALOR SETAR: Penjawat awam tidak pernah dihalang untuk menghadiri atau bergiat dengan mana-mana parti politik selepas waktu pejabat ketika Kedah di bawah pentadbiran Almarhum Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Advertisement

Perkara itu disebut oleh Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali (PAS-Merbau Pulas) apabila Yeo Keng Chuan (PKR-Kulim) dalam ucapan perbahasannya menggesa penjawat awam diambil tindakan sekiranya didapati mensabotaj program-program Pakatan Harapan

Beliau berkata, demokrasi yang diamalkan oleh Almarhum sewajarnya dijadikan contoh oleh kerajaan sekarang.

Katanya, Almarhum tidak pernah mengharapkan kakitangan kerajaan membantu partinya kerana parti itu sudah mempunyai petugas untuk menjalankan aktiviti atau lain-lain.

“Seandainya apa yang dilakukan oleh kakitangan kerajaan perlu diteropong untuk melihat apa yang mereka buat, ini membuktikan demokrasi tidak diamalkan oleh kerajaan sekarang,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama Ustaz Mohd Azam Abdul Samat (PAS-Sungai Limau) juga mencelah memaklumkan perkara yang sama ketika Adun Kulim berbahas.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Dun Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor (Jeneri-PAS) ketika dihubungi Harakahdaily juga melahirkan agak kesal dengan gesaan Adun Kulim tersebut.

“Penjawat awam hanya boleh laksana dasar kerajaan mengikut peraturan, tidak boleh paksa mereka laksana dasar parti komponen Pakatan Harapan. Kalau mereka enggan laksana dasar parti, itu bukannya sabotaj kerajaan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 21/10/2019