Fahami hadaf besar PAS dengan fikrah ditarbiyah

TAMBUN: Keputusan politik PAS tidak dihasilkan dari pendapat peribadi, sebaliknya disepakati secara kolektif oleh Majlis Syura Ulamak (MSU) berlandaskan syariat Allah yang terkandung dalam Al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias.

Advertisement

Bahkan kata Ketua Dewan Ulamak PAS Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria, keanggotaan MSU adalah terdiri daripada mereka yang memiliki kepakaran dalam keilmuan berkaitan Islam, selain berkeperibadian sentiasa mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Manakala ahli PAS perlu memiliki sifat thiqah kepada keputusan dibuat dengan memiliki fikrah yang diasuh oleh kefahaman dari penerapan tarbiyah dengan mengikuti program telah disusun seperti usrah, tamrin, liqa’ dan seumpamanya.

Beliau menyatakan demikian ketika mengupas wawasan besar mahu dicapai PAS menerusi Muafakat Nasional yang dimeterai ke arah keadilan saksama untuk semua pihak dan tidak terhad kepada umat Islam semata-mata.

“Setiap ahli PAS perlu melahirkan rasa bersalah dalam diri jika meninggalkan tarbiyah ini dengan sengaja. Program tarbiyah ini merupakan satu lapangan untuk perkuatkan jati diri pejuang yang bakal menguruskan kemenangan suatu hari nanti.

“Hati manusia ini perlu diisi dengan nilai Islam, jangan dunia yang mengisi dulu, rugi. Ahli PAS mesti menguruskan suatu kemenangan dengan Islam. Jika hati kita tidak ditarbiyah, kita akan tewas dengan kemenangan.

“Kita akan seronok dengan rasuah, berfoya-foya dan sebagainya. Tarbiyah ini akan melahirkan para pejuang yang akan membawa kepada keamanan negara,” ujarnya menyingkap futuristik agenda tersebut dalam Ijtimak PAS Tambun bertempat di Markaz PAS Tambun, Meru di sini kelmarin.

Terdahulu, Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said menerusi ucapannya menegaskan bahawa setiap ahli PAS mesti yakin dan percaya betapa pimpinan PAS telah menjalankan tugas mereka selari dengan kehendak syariat.

“Aspek pengurusan kerja di dalam PAS adalah selari dengan fikrah perjuangan yang berlandaskan Islam, bukan kepakaran semata-mata. Fikrah perjuangan Islam menuntunkan kita untuk sentiasa menjaga hubungan dengan Allah S.W.T.

“Hal ini perlu difahami oleh setiap ahli kerana orang yang gagal meletakkan matlamat Allah di dalam hatinya, maka ada matlamat dunia yang akan mengisi kekosongan tersebut.

“(Sedangkan) Suatu kemenangan itu perlulah diurus dengan baik dengan cara kita mendekatkan diri kepada Allah. Hal ini demikian, kerana ujian selepas menang itu lebih sukar dihadapi jika dibandingankan ujian ketika menghadapi kekalahan.

“Kita boleh lihat dipelbagai lapisan peringkat pimpinan PH menang di pilihan raya, tetapi gagal menguruskan kemenangan dengan baik. Kerana itulah banyak masalah kini berlaku membabitkan pencabulan hak Bumiputera dan Islam,” ujarnya dihadapan lebih 300 orang ahli PAS Tambun. – HARAKAHDAILY 22/10/2019