Jangan bersikap zalim kepada pembangkang

ALOR SETAR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah diingatkan agar mentadbir negeri dengan lebih berintegriti dan jangan bersikap zalim terhadap pembangkang.

Advertisement

Demikian antara yang disebut oleh Wan Romani Wan Salim (PAS-Bukit Pinang) ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet Kedah 2020 pada persidangan Dun, pagi ini.

Beliau menyentuh berkenaan peruntukan kerajaan negeri yang ternyata menafikan hak Adun pembangkang yang dipilih oleh rakyat.

“Peruntukan sebanyak RM150,000 untuk Penyelaras Dun, Penyelaras Dun itu siapa? Bukankah ia wakil dari parti bukan dari Adun yang dipilih rakyat.

“Sepatutnya peruntukan itu diserahkan kepada Adun yang sah. Bagi dekat mereka sampai RM150,000 nak buat apa sedangkan projek rakyat di Dun saya yang diurus oleh Penyelaras Dun tidak juga selesai,” ujar beliau.

Katanya lagi, walaupun ada peruntukan untuk Adun Pembangkang sebanyak RM70,000 namun ia bukan diberi terus kepada Adun berkenaan, cuma dalam bentuk projek.

Lagipun katanya lagi, permohonan yang telah dibuat pada Ramadan lepas pun belum lagi diluluskan oleh Pejabat Menteri Besar.

“Jangan bersikap zalim, serupa juga, jemput wakil rakyat hadir mesyuarat pejabat daerah tetapi tidak boleh bercakap. Kalau wakil rakyat hadir mesyuarat sekadar menjadi pemerhati, nak buat apa?” tegas Wan Romani.

Beliau turut membidas cadangan Teh Swee Leong (DAP- Kota Darul Aman) bahawa Adun Pembangkang bukan peon (budak pejabat) yang perlu ikut atau terima arahan Penyelaras Dun pergi ke sana sini.

Adun Kota Darul Aman ketika mencelah perbahasan beliau mencadangkan agar Adun-Adun pembangkang mengikut Penyelaras Dun turun ke kampung-kampung sekiranya tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan itu. – HARAKAHDAILY 22/10/2019