‘Kalau tidak jangan jadi Menteri Pertahanan’

KUALA LUMPUR: Kemampuan Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan diperdebatkan dalam persidangan Dewan Rakyat semasa giliran Ahli Parlimen Sembrong, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein membahaskan Belanjawan 2020.

Advertisement

Perdebatan timbul apabila Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer a/l Rajaji menyatakan kepada Hishammuddin sama ada setuju Mohamad memerlukan masa untuk memantapkan aset-aset pertahanan negara.

“Memang tidak dinafikan bahawa soal keselamatan ini adalah isu yang tidak boleh dikompromi dan Pakatan Harapan juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak.

“Saya juga bersama-sama dengan YB Sembrong bahawa tidak ada seinci tanah pun yang boleh diambil.

“Soalan saya ialah, ini semua adalah warisan daripada kerajaan dahulu, bukankah benar bahawa kita perlukan masa untuk kita perbaiki kemantapan aset-aset ini?” celah Rayer.

Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim bangkit mencelah menyifatkan soalan Rayer sebagai soalan bodoh namun kemudian menarik balik perkataan bodoh.

Dewan mulai kecoh apabila Rayer berang dengan kata-kata tersebut dan mula menyerang Shahidan dengan perkataan ‘you are stupid‘.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming meminta Rayer menarik semula kata-katanya dan meminta Hishammuddin menjawab soalan Rayer.

Mencelah selepas itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary bertanya kepada Hishammuddin sama ada bersetuju supaya Tun Dr Mahathir juga perlukan masa sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Dewan gamit dengan ketawa daripada ahli-ahli parlimen pembangkang yang rata-ratanya setuju dengan pandangan Ahmad Marzuk.

“Saya setuju sangat dengan Pengkalan Chepa. Jelutong, walaupun Menteri Pertahanan perlukan masa tetapi pegawai-pegawai di Mindef ini telah berada di sana berpuluh-puluh tahun.

“Mereka memerlukan kepimpinan. Mereka mesti memerlukan hala tuju mereka mesti dilihat satu hala tuju yang jelas supaya tidak ada pengalaman pun tidak apa sekurang-kurangnya Mindef berjalan.

“Peruntukan kita digunakan bukan setakat gajah dengan gajah bertembung je, yang penting sekarang ialah keselamatan negara tidak boleh diberi alasan bahawa tidak ada pengalaman, kalau tidak jangan jadi Menteri Pertahanan,” kata Hishammuddin.

Beliau yang berpengalaman selama satu penggal sebagai Menteri Pertahanan pada penggal kerajaan dahulu menyentuh perihal kebajikan anggota tentera dan aset pertahanan negara yang seolah-olah kurang diberi perhatian oleh kerajaan PH dalam Belanjawan 2020. – HARAKAHDAILY 22/10/2019