Kempen BMF serikan Himpunan Muslimat Tambun

TAMBUN: Dewan Muslimat PAS Kawasan Tambun telah mengadakan program Himpunan Muslimat yang berlangsung di Pusat Tarbiyyah PAS Cawangan Tanjung Rambutan, di sini kelmarin.

Advertisement

Majlis ini bagi memperkukuh kefahaman mengenai isu semasa, disamping memastikan taujihat dari pimpinan dapat menyuntik semangat gerak kerja dalam kalangan seluruh ahli.

Program dimulakan dengan perkongsian ilmu disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Negeri Perak, Ustazah Aliah Abdul Aziz selaku penceramah jemputan.

Dalam ucapannya, beliau menekankan mengenai peranan gerakan Islam untuk melahirkan ahli yang mempunyai ciri-ciri telah digariskan terutama mengiklankan diri untuk membina masyarakat Muslim.

“Harakah Islamiah perlulah membina ahlinya untuk mempunyai sifat  bercakap benar, menjauhi hasad dengki dan ingin menjadi penasihat untuk masyarakat atau dalam erti kata lainnya adalah sentiasa prihatin terhadap isu-isu dalam masyarakat.

“Perjuangan dalam PAS adalah berterusan untuk membina masyarakat Islam sehingga terbinanya negara Islam dan negara ditadbir oleh pemimpin yang mendahulukan Islam,” jelas beliau.

Tambahnya, Muslimat PAS juga perlu mempunyai kelainan dari sudut perbualan, penampilan dan penyampaian untuk menonjolkan watak seorang ahli gerakan Islam yang baik.

Himpunan Muslimat kali ini turut diserikan dengan pelancaran kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) dengan disertai oleh para peniaga yang membuat jualan sepanjang himpunan berlangsung.

Objektif kempen tersebut dilancarkan bagi meneruskan usaha sedia ada, selain turut menyambut baik kempen yang kian mendapat sambutan rakyat Malaysia terdiri dalam kalangan Muslim sendiri.

Ia juga bertujuan memperkenal produk-produk keluaran Muslim khususnya oleh peniaga Muslim Tambun yang sebelum ini tidak diketahui umum disebabkan lambakan produk keluaran bukan Muslim di pasaran. – HARAKAHDAILY 22/10/2019