Pengerusi Kesedar pertikai integriti pegawai

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menafikan dakwaan Pengerusi Kesedar Dato’ Sazmi Miah kononnya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kelantan menggunakan dana Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk aktiviti politik.

Advertisement

jamaludin ishakPengarah Urusetia Penghulu Kelantan Jamaluddin Ishak berkata, tuduhan itu dibuat tanpa bukti dan langsung tidak berasas.

Katanya lebih menyedihkan pemimpin terbabit seperti mempertikai integriti pegawai KPLB dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang melaksanakan tugas mengikut garis panduan ditetapkan.

“KPLB juga telah menghantar pasukan audit bagi mempastikan tidak ada penyelewengan berlaku dalam pelaksanaan geran MPKK,” katanya di sini.

Semalam Sazmi dilapor mendakwa MPKK di Kelantan yang menerima dana kerajaan persekutuan mengambil kesempatan sebagai platform pergerakan program politik.

Menurutnya juga beliau melihat perjalanan MPKK di Kelantan sejak awal penubuhan Mac lalu terdapat penyalahgunaan dana dipelopori pihak parti pembangkang.

Malah katanya kerajaan persekutuan akan memperkenalkan MPKK Persekutuan berkuat kuasa tahun hadapan bagi menggantikan MPKK negeri.

Jamaluddin juga berkata kerajaan negeri berbincang dengan semua pihak termasuk Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Rina Harun sebelum mengambil keputusan menerima penubuhan MPKK di Kelantan bermula 1 Januari 2019. – HARAKAHDAILY 22/10/2019