Rangka cukai khas bagi ekonomi digital

DALAM ulasan awal kepada Bajet 2020 yang dibentangkan oleh YB Menteri Kewangan pada 11 Oktober 2019 lalu, Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat menyatakan bajet kali ini gagal mencadangkan struktur cukai baharu yang lebih komprehensif dan adil bagi meningkatkan pendapatan kerajaan. Ini secara langsung berlawanan dengan ramalan awal oleh para penganalisis dan firma penarafan bahawa Malaysia perlu menilai semula struktur cukai negara bagi menyelesaikan masalah jurang fiskal yang dihadapi sekarang.

Bagi meningkatkan pendapatan Kerajaan, kami dalam beberapa kenyataan yang lalu mencadangkan beberapa cukai alternatif iaitu Cukai Simpanan Korporat (Tax Corporate Saving) dan Cukai Modal Saham (Capital Tax on Shares).

Di samping cadangan di atas, kami juga mencadangkan Kerajaan mempertimbangkan untuk memperketatkan cukai untuk aktiviti ekonomi di alam siber. Struktur cukai ini adalah merangkumi semua aktiviti perniagaan di atas talian seperti iklan di atas talian, data elektronik atau perkhidmatan pengantara. Semua aktiviti perniagaan ini merupakan ekonomi baru digital yang semakin berkembang namun masih tidak ada struktur cukai yang komprehensif bagi merangkumi sektor ekonomi digital.

Kepesatan pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia adalah sangat signifikan. Sebagai contoh rujukan, syarikat perkhidmatan e-hailing kereta terkemuka Grab dianggarkan bernilai USD10 billion secara keseluruhan. Namun operasi Grab di Malaysia masih tidak dikenakan cukai korporat sepertimana syarikat konvensional. Dianggarkan ada seramai 200,000 pemandu e-hailing di Malaysia. Oleh itu ianya adalah amat signifikan.

Berdasarkan kajian kami, bagi perkhidmatan e-hailing kereta, hanya caj untuk mendapatkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) yang dikenakan iaitu sebanyak RM800, bermula 1 April 2019 lalu. Selain itu tiada cukai lain yang dikenakan kepada aktiviti ekonomi ini.

Dengan perkembangan pesat sektor ekonomi digital ini, sudah seharusnya Kerajaan mempertimbangkan struktur cukai baharu merangkumi ekonomi digital. Ini seiring dengan perkembangan  dan amalan di negara-negara lain seperti Eropah. Perancis dan United Kingdom sedang merangka untuk memperkenakan cukai kepada syarikat-syarikat internet terkemukan seperti Facebook dan Google, yang melakukan jualan dalam alam siber. Langkah ini adalah antara yang pertama di kalangan negara Eropah yang mengenakan Cukai Digital.

Berdasarkan laporan Suruhanjaya Eropah, syarikat teknologi global membayar cukai pada kadar purata 9.5 peratus berbanding 23.2 peratus bagi syarikat konvensional lain. Ini merupakan kehilangan potensi pendapatan yang amat ketara.

Jesteru, kami menggesa Kerajaan secara serius untuk merangka struktur cukai baharu untuk sektor ekonomi digital dalam usaha untuk meningkatkan hasil dan seterusnya menyelesaikan jurang fiskal negara.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi,
Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 22/10/2019

Advertisement