Sektor Pendidikan di’serang’: Kementerian digesa tegas

DALAM  perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2020 semalam, saya telah menggesa Kementerian Pendidikan agar lebih tegas berhadapan dengan ‘serangan’ bertali arus terhadap sektor pendidikan akhir-akhir ini.

Advertisement

Tiga insiden besar yang berlaku menunjukkan beberapa kelompangan (vacum) terhadap longgarnya pemantauan terhadap sektor pendidikan negara. Bermula dengan kes Debat Piala Tun Razak yang memaparkan usul pendebatan yang kontroversi, graduan yang biadap dalam majlis konvokesyen sebuah Universiti Awam serta penyebaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang mempunyai unsur propaganda melampau.

Apa yang lebih membimbangkan adalah keterlibatan ahli politik DAP yang jelas menyokong insiden-insiden berkenaan khususnya terhadap graduan yang telah melakukan provokasi di atas pentas konvokesyen serta tidak kurang juga 43 pimpinan akar umbi dan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP yang membantah larangan penyebaran komik berkenaan di sekolah-sekolah.

Kesemua ini bertentangan dengan falsafah pendidikan negara, malah lebih malang lagi ia menyentuh perkara-perkara sensitif negara. Apalah guna sebuah kebebasan jika tiadanya nilai kesopanan dan kesusilaan yang menjadi rukun kepada negara.

Amat menyedihkan bahawa tangan-tangan politik kotor yang membelakangi keluhuran budi pekerti kelihatan secara nyata mempromosikan kebebasan tanpa batas yang  mencemarkan proses pembinaan sahsiah anak bangsa kita. Inilah akibat kegagalan pihak kerajaan mendefinisikan maksud hak kebebasan bersuara dengan sempurna. Ia menjadi tiket kepada perlanggaran terhadap nilai-nilai murni dan tinggi yang telah sekian lama kita junjung.

Justeru, saya sekali lagi menyarankan agar pihak Kementerian lebih berwaspada dan bersikap tegas terhadap anasir-anasir yang boleh meruntuhkan keutuhan sosial dalam negara melalui penyerapan racun ke dalam sektor pendidikan. Ini bagi memastikan sektor pendidikan negara sentiasa menjadi medan utama penyatuan rakyat pelbagai agama, bangsa dan budaya.

Islam Memimpin Perpaduan”

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Bachok

22 Oktober 2019 bersamaan 23 Safar 1441H

Sekian. – HARAKAHDAILY 22/10/2019