Kaji semula nilai ambang rumah mewah

ISU lambakan kediaman mewah menjadi polemik hebat bukan sahaja daripada kalangan ahli politik malah juga pakar ekonomi. Pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini Menteri Kewangan menyatakan nilai ambang kediaman mewah diturunkan daripada RM1 juta kepada RM600 ribu pada tahun 2020 untuk pemilikan warga asing kononnya sebagai satu langkah mengurangkan lambakan kediaman mewah.

Persoalannya, mengapa tawaran ini tidak diberi keutamaan kepada rakyat tempatan yang berkemampuan berbanding warga asing?

Saya melihat pendekatan ini ‘berat sebelah’ dan mencetuskan implikasi kepada negara dengan membuka ‘pintu’ sama ada kepada pemaju mahupun jutawan warga asing untuk mengaut keuntungan dan kemewahan.

Selain itu, pemaju juga akan mengambil peluang menaikkan harga hartanah melebihi harga rumah median yang menyebabkan rakyat tempatan tidak mampu memiliki hartanah mengikut kemampuan dan keperluan. Pemaju juga akan rakus membina lebih banyak kediaman mewah berbanding rumah mampu milik.

Tambahan pula, laporan Pusat Maklumat Hartanah Negara (NAPIC) sendiri              menyatakan sekurang-kurangnya 3,938 unit kondominium dan pangsapuri mewah yang bernilai RM4.85 bilion dapat dibeli oleh warga asing sekiranya polisi ini diteruskan.

Seandainya kesemua unit kediaman mewah ini dibeli oleh semua warga asing, ia sekali gus mendorong kepada peningkatan pemilikan kediaman oleh warga asing.

Adakah polisi ini untuk melindungi rakyat dan negara ataupun demi kepentingan pihak-pihak tertentu?

Kerajaan tidak seharusnya lebih pro kepada pemaju tetapi seharusnya menetapkan garis panduan kepada pemaju untuk membina rumah mampu milik dan mengehadkan pembinaan kediaman mewah bagi mengelakkan lambakan unit hartanah mewah bertambah.

Lambakan rumah dan pemilikan hartanah oleh warga asing juga perlu dikawal selia dengan berhati-hati tanpa mengeluarkan sebarang keputusan yang dilihat separuh masak sekali gus merugikan masa depan negara kelak. Justeru, polisi ini sewajarnya diperhalusi dan dikaji semula secara menyeluruh.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 23/10/2019

Advertisement