Sudan: Petroleum, Nubian Queen dan Yinon Plan

CATUR digerakkan dengan mencipta alasan lapik 

Advertisement

Hari ini apabila kita melihat beberapa isu antarabangsa, kita akan dapati beberapa perkara yang logik atau cuba dilogikkan. Contohnya Turki menyerang sempadan Syria atas alasan isu kemanusiaan, dan dunia berdiam diri. Tetapi hakikatnya Turki nak menyekat kemaraan PKK, YPG dan SDF yang merupakan geng Kurdistan. Geng Kurdistan pula bangkit ‘cari pasal’ di sempadan Syria-Turki pun atas alasan ditindas, dianak-tirikan dan sebagainya. Hakikatnya mereka ke arah penubuhan Kurdistan Raya tajaan Barat.

Dalam isu Arab Spring 2011 pun digunakan kaedah yang sama. Pembesar-pembesar Arab digambarkan sebagai diktator, perompak dan sebagainya menjadi alasan yang kukuh untuk digulingkan. Hakikatnya ia adalah mainan Barat untuk projek New Middle East sejajar dengan Yinon Plan. China mewujudkan pangkalan di Sri Lanka pula atas alasan Sri Lanka tak mampu nak bayar hutang China, walhal China memang mensasarkan laluan strategik itu.

Amerika menceroboh negara-negara Arab pasca 11 September 2001 juga atas alasan teroris yang mereka cipta. Hakikatnya ia untuk menyekat kebangkitan Islam sebagai kuasa pesaing. Amerika menceroboh Iraq satu ketika dahulu atas alasan nuklear, walhal hakikatnya Amerika nak menghapuskan pesaingnya itu. Amerika lancar serangan ke Syria atas alasan isu kemanusiaan, hakikatnya nak rembat Bukit Golan.

Somalia dikerat menjadi Somaliland atas alasan perang saudara, hakikatnya Barat nak kuasai laluan Tanduk Afrika. Negara Sudan kucar kacir pasca penggulingan Omar Basyir atas alasan politik, hakikatnya mereka nak buat projek New Middle East. Banyak lagi contoh alasan alasan yang dicipta untuk menjadi alas kaki pelapik untuk melaksanakan sesuatu agenda.

Post Truth: Percaturan yang penuh dengan ‘alasan lapik’

Walau bagaimanapun alasannya, kita perlu lihat perjuangan itu antara kebenaran atau kebatilan. Kita juga perlu timbang supaya tidak terjerat dengan mainan media. Kemahiran untuk membaca geo-politik antarabangsa perlu kepada penelitian yang panjang, bukan hanya sekadar ‘spastik’. Suasana yang sama di Malaysia apabila ‘alasan-alasan bodoh’ dicipta oleh kerajaan untuk melaksanakan agenda mereka.

Kempen Tabung Harapan katanya untuk bayar hutang negara. Benarkah? Tapi hingga ke hari ini hutang negara makin meningkat. Kempen jual hartanah kepada warga asing atas alasan lambakan rumah mewah tak laku, atau sengaja nak buka ruang kolonialisasi di negara kita? PH nak menang PRU14 pun mereka cipta alasan untuk jatuhkan kezaliman kononnya. Walhal setelah menang, mereka meneruskan sistem zalim.

Hari ini kita berhadapan dengan era Post Truthyang rencam dan mengelirukan. Gerakan Islam didakwa pengganas sedangkan musuh Islam itu sendiri yang menternak pengganas dan menaja keganasan. Pendek ceritanya keganasan yang ingin dilaksanakan perlu dilapik dengan alasan nuklear, teroris dan sebagainya. Dalam masa yang sama mereka juga ‘cipta’ kebangkitan atas alasan penindasan, diskriminasi dan sebagainya.

Di saat mereka katakan Islam itu pengganas, rupa-rupanya orang yang didakwa ada kaitan dengan pengganas LTTE berada di dalam DAP. Di saat geng LGBT dakwa Islam itu tidak terbuka, rupa-rupanya mereka sendiri mencipta konkongan, menghalang orang daripada ingin mengekalkan nilai-nilai Islamnya. Di saat golongan feminis bangkit menyatakan kesamaraatan gender, rupa rupanya mereka sendiri memaksa kaum wanita menjadi lelaki. Inilah realiti.

Sudan yang dikonflikkan dan Debt Trap 

Apa yang terjadi di Sudan? Sebuah negara yang mempunyai sejarah yang panjang dari segi ketamadunannya. Sudan mencapai kemerdekaan daripada British pada 1956, namun penjajah sengaja mewujudkan konflik perang saudara yang dicipta dengan alasan perbezaan agama. Negara yang majoritinya Islam itu dilihat tidak boleh diberi kemerdekaan dengan mudah. Justeru, mereka Barat merancang untuk membangkitkan kaum minoriti di Selatan Sudan.

Perang Saudara ini menyaksikan korban seramai 2.5 juta orang sejak 1955-1972 dan 1983- 2005. Tujuan kebangkitan ini supaya menjadikan Sudan terus huru-hara, sejak tahun kemerdekaan hinggalah ke hari ini. Media menggambarkan kebangkitan ini berpunca daripada proses Islamisasi oleh Kerajaan Sudan. Walhal ia hanyalah alasan lapik kerana sekalipun Sudan Selatan dah ditubuhkan, konflik tidak juga berkesudahan. Maka, konflik Sudan ini yang disalahkan ialah Islam, sedangkan hakikatnya adalah agenda Barat untuk projek New Middle East.

Sudan yang asalnya bersumberkan pertanian yang lebih tertumpu kepada dalaman pada awal 70-an. Sepanjang 70-an itu komoditi mengalami kemerosotan sehinggalah 1978 IMF datang dengan Structural Adjustment Programs (SAPs). Mereka datang bukan tangan kosong, tetapi terselit perangkap di dalam beg. Perangkap yang dimaksudkan ialah hutang (Debt Trap) sehinggalah Sudan ‘dinobatkan’ sebagai ranking tertinggi dalam berhutang pada 90-an.

Begitulah plan IMF dan Bank Dunia sejak sekian lama. Seolah olah Amerika sedang mengintai dari jauh, potensi Sudan sehingga ‘berani’ memberi pinjaman kepada negara itu. Antara yang menjadi kemungkinan ialah faktor ‘minyak’. Apatah lagi sejak 90-an Sudan, diperintah oleh Omar Bashir yang dilabel sebagai pendana keganasan oleh Amerika. Tidak pelik, kerana di Sudan ketika itu berkolaborasi dengan Gerakan Islam Ikhwan. Boleh lihat antara realiti sebenar dan ‘alasan yang dicipta’

Kekayaan minyak Sudan dan kelaparan negara luar

Omar Basyir yang pada mulanya rapat dengan Ikhwan yang dipimpin oleh Dr Hassan At Turabi akhirnya berkrisis sehingga beliau (at Turabi) dipenjara pada 1999 beberapa kali sehinggalah meninggal dunia pada 2016. Era penangkapan at Turabi itu dilapik dengan alasan mengekang keganasan kononnya dan pemulihan ekonomi. Perselisihan ini berlanjutan sehinggalah kematiannya.

Pergolakan politik yang dimainkan ini membuka ruang kepada pemerhati pemerhati luar yang ‘laparkan’ petroleum Sudan. Operasi pencarian petroleum di Sudan sudah bermula sejak 70-an lagi. Mungkin atas faktor tekanan ekonomi yang dahsyat dan pelbagai faktor lagi khususnya era 90-an, akhirnya Sudan muncul dengan Syarikat Greater Nile Petroleum Operating Company (GNPOC) pada 1997 yang menjalankan operasi cari gali minyak dengan lebih serius.

Syarikat ini berjaya membina paip minyak yang dikenali sebagai Greater Nile Oil Pipeline sejauh 1600 KM yang mula operasi pada 1999. Hal inilah yang menarik minat kuasa kuasa besar dunia yang ‘kelaparan’ antaranya China untuk mencari ruang ber’bisnes’ di sana. Sehingga ke saat ini China sudah melaburkan lebih USD300 Billion untuk Sudan. Sumber minyak lebih banyak terdapat di Selatan Sudan. Maka, memang ‘wajar’ Sudan dipecahkan daripada telaga minyaknya yang penting itu.

Pada 2003-2004, tercetusnya Konflik Darfur yang melibatkan lebih 200,000 nyawa terbunuh manakala 2.5 juta lagi menjadi pelarian. Konflik ini tercetus pasca 11 September 2001 yang menjadi alasan Amerika untuk menceroboh negara-negara lain atas alasan memerangi keganasan. Dalam beberapa analisis menunjukkan bahawa Darfur adalah kawasan yang kaya dengan minyak.

Darfur: Percaturan alasan lapik

Dalam satu tulisan yang bertajuk Bashir Sets Up Panel to Probe Human Rights Abuses in Darfur  yang disiarkan pada 9 Mei 2004 menukilkan kata-kata Menteri Luar Negeri Sudan ketika itu, Muhammad Najib El Khair. “Keadaan di Darfur bukan satu pembersihan etnik atau pembunuhan beramai-ramai, ia semata-mata berpunca daripada perebutan sumber bumi”

Katanya lagi; “US telah berjaya menemukan sumber minyak di wilayah tersebut, namun, kami telah memberi kepercayaan kepada syarikat-syarikat daripada Asia untuk melakukan operasi carigali.” Inilah tanda-tanda campur tangan US di dalam kekacauan di Darfur. Darfur yang terletak di wilayah Barat Sudan itu sangat kaya dengan hasil-hasil bumi seperti Uranium, gas asli dan emas. Selain itu, latar belakang Darfur juga memberi petunjuk campur tangan US dalam konflik Sudan.

Darfur merupakan pusat kegiatan Islam di Sudan dan wilayah tersebut mempunyai peranan penting di dalam menyatukan Sudan dengan Afrika dan Islam dengan Afrika. Umat Islam di Darfur sangat kuat untuk melaksanakan sistem Islam secara menyeluruh. Kecenderungan tersebut tentunya sesuatu yang amat dibimbangi oleh Barat. Setelah timbul kekacauan di Darfur, Amerika beriya iya nak campur tangan dalam konflik tersebut.

Ini menjadikan alasan yang kuat untuk katakan konflik ini dicetuskan oleh Amerika. Walaupun perang saudara dilihat makin surut pada 2005, namun ia masih berterusan atas nama golongan minoriti. Kebangkitan golongan minoriti beragama Kristian sejak sekian lama ini berterusan sehingga menyebabkan terpecahnya Sudan Utara dan Sudan Selatan secara rasmi pada 2011. Hakikatnya ini cuma alasan lapik untuk menutup agenda penguasaan ‘kuasa asing’ terhadap minyak Sudan.

Penggulingan dengan alasan lapik kaki

Campur tangan asing yang berlapikkan dengan pelbagai alasan bodoh masih lagi diteruskan untuk kacau Sudan sekalipun Sudan Selatan telah diiktiraf kewujudannya. Pada April 2019 Presiden Omar Basyir digulingkan setelah 30 tahun memerintah. Apa yang kita boleh faham, Barat agak susah nak campur tangan walaupun sudah pelbagai isu dicipta. Lalu mereka pergunakan rakyat-rakyat yang bodoh untuk gulingkan pemerintah mereka.

Proses penggulingan yang bermula sejak akhir 2018 oleh Forces of Freedom and Change (FFC) yang menggabungkan beberapa pertubuhan di bawahnya, antaranya Sudanese Professionals Association (SPA). SPA memainkan peranan penting dalam mempromosikan kebangkitan melalui internet. SPA disyaki dianggotai oleh ‘tangan-tangan ghaib’ untuk campur tangan dalam penggulingan Omar Basyir.

Apa yang kita boleh lihat, sepanjang tempoh demontsrasi diadakan, rata-rata para demonstran terdiri dari kalangan anak-anak muda mungkin terbakar dengan sentimen dan emancipation’ yang ditiupkan di dalam media sosial oleh SPA khususnya. Selain isu menaikkan gaji dan kebajikan pekerja, antara yang dimainkan juga ialah penindasan golongan wanita, jenayah rogol dan diskriminasi. Anak-anak muda yang tertipu dengan agenda ala-ala Post Truth ini bangkit dan berhimpun di dataran.

Tentera yang mengekang kebangkitan mengambil pendekatan menyekat internet pada talian berbulan-bulan sehinggalah selesai penggulingan. Sehingga saat ini masih lagi dalam tempoh peralihan yang dipanggil 2019 Sudanese Transition To Democracy. Fakta yang terzahir ini hanyalah ‘lapik kaki’. Apakah alasan sebenar penggulingan? Tertindas sangatkah golongan pekerja dan wanita sehingga perlu bangkit sedemikian?

Ikon Nubian Queen dan Emancipation 

Sepertimana yang diceritakan dari awal tadi bahawa kita perlu melihat isu ini secara luas, bukan hanya sekadar ‘spastik’. Hari ini munculnya ikon ‘Nubian Queen’ yang tersebar secara meluas. Gambar seorang perempuan Alaa Saleh yang berumur 22 tahun berdiri di atas kereta [Gambar]. Apabila gambar ini disebarkan dan di’pop’kan oleh media Barat, maka kita perlu memberi perhatian terhadap agendanya.

Nubian Queen merujuk kepada Bangsa Awal di Sudan dan Selatan Mesir. Dikatakan masyarakat inilah yang membina piramid. Manakala Alaa Saleh [Gambar] pula adalah seorang penggerak SPA yang pro Barat. Gambarnya diikonkan secara sengaja sebagai simbol kepada emancipation (pembebasan) golongan wanita yang tertindas sepertimana yang diapi-apikan oleh media SPA. Semalam, 21 Oktober BBC menyiarkan gambar generasi awal orang Yahudi yang menempati Sudan dengan tajuk “Sudan’s Lost Jewish Community”.

Dalam catatan sejarah, Kerajaan Nubia pernah diperintah oleh Ratu. Antaranya Shanakdathete (170 SM-150 SM), Amanirenas (40 SM-10 SM), Amanishakheto (10 SM-1 SM), Amanitore & Natakamani (1-20M) Terdapat juga permaisuri lain seperti, Amantitere (22-41M), Amanikhatashan (62-85M), Maleqorobar (266-283M) dan Lahideamani (306-314M). Kerajaan yang diperintah oleh ratu ini ada membina piramid-piramid mereka tersendiri di kawasan Perlembagan Nil.

Bangsa Nubia juga ada percampuran darah dengan Bani Israel dan satu ketika dahulu pernah bangun sebagai pemerintahan Kristian selama 700 tahun iaitu selepas penyelewengan Injil pada kurun ke 4 Masihi. Pada 2002 Derek Welsby menulis buku The Medieval Kingdoms of Nubia. Pagans, Christians and Muslims Along the Middle Nile menceritakan adat Kerajaan Nubia, pengganti kerajaan mestilah melalui jalur perempuan yang disebut sebagai ‘matrilineal’.

Pada 2013, Roland Werner telah mengarang buku Das Christentum di Nubien: Geschichte und Gestalt einer afrikanischen Kirche’ dalam bahasa Jerman menceritakan bagaimana wanita mendapat status sosial yang tinggi, mereka mempunyai akses kepada pendidikan, boleh memiliki, membeli dan menjual tanah dan sering menggunakan kekayaan mereka untuk memberi gereja dan lukisan gereja.

Pelbagai kemungkinan gambar ini diikonkan. Tapi yang paling jelas ialah Emansipasi kaum wanita (Emancipation Of Women) yang diterjemahkan daripada sejarah Kerajaan Nubia terdahulu yang diperintah oleh ratu dalam tempoh yang panjang. Di Sudan, setelah mereka mengapi-apikan isu kewanitaan, mereka promosikan pula ikon ke’raja’an wanita. Seolah olah golongan wanita ditindas teruk.

Antara Emancipation Of Women dan Yinon Plan 

Emancipation Of Women merupakan muqaddimah kepada kelahiran Feminisme dan segala fahaman-fahaman lain yang berkaitan dengan kewanitaan. Apa yang terjadi di Sudan, setelah mereka gulingkan Omar Basyer, tiba-tiba muncul ‘liga bola sepak wanita’. Reuters melaporkan kenyataan Perdana Menteri baru Sudan, Abdalla Hamdok, tentang liga bola sepak wanita mengatakan, “Penyertaan wanita di seluruh masyarakat adalah keutamaan bagi kerajaannya”.

Menteri Belia dan Sukan pula menyatakan “Sekarang ada kehendak politik untuk menjadikan sukan wanita sebagai salah satu daripada tunggak pembangunan negara dan kami akan berusaha untuk menyediakan infrastruktur untuknya”. Jelas menunjukkan bahawa ia merupakan muqaddimah ke arah ‘serangan pemikiran’ orang Sudan, setelah mana mereka selama ini berada di bawah pengawasan Syariat Islam, tetapi diharu birukan oleh Barat.

Sepertimana yang saya ceritakan tadi, adakah benar-benar mereka terkongkong sehingga perlukan kebangkitan? Atau boleh jadi mereka cuma menjadi catur yang dialatkan untuk campur tangan kuasa asing untuk mendapatkan kekayaan Petroluem di Sudan, dan juga kepentingan laluan Tanduk Afrika. Yang terutama ialah Yinon Plan yang bergerak seiringan dengan projek New Middle East.

Yinon Plan adalah sebuah artikel yang diterbitkan pada Februari 1982 dalam jurnal bertajuk ‘Direction’  yang bertajuk ‘A Strategy for Israel in the 1980s’. Ia digambarkan sebagai contoh awal mencirikan projek-projek politik di Timur Tengah dari segi logika bahagian mazhab. Antara yang dirancang oleh Oded Yinon mengharu birukan Sudan dan beberapa negara di Afrika. The Atlantic, pada tahun 2008, dan Jurnal Angkatan Tentera AS, pada tahun 2006, kedua-duanya menerbitkan peta luas yang mengikuti garis besar Yinon Plan ini.

Yinon Pelan menyeru ke arah mengerat Iraq, pembebasan Lubnan, Mesir, dan Syria, pemisahan Iran, Turki, Somalia, dan Pakistan. Pelan Yinon juga menyeru pembubaran Mesir, Sudan, Libya, dan seluruh wilayahnya. Selain itu, dalam satu temubual pada Mac 2017, Bekas Jeneral Tentera US Wesley Clark menceritakan bagaimana mereka merancang untuk ‘mengambil’ 7 negara dalam tempoh 5 tahun, bermula dengan Iraq, kemudian Syria, Lubnan, Libya Somalia, Sudan dan akhir sekali Iran. – HARAKAHDAILY 23/10/2019 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.