Ta’awun PAS-Umno selari sirah Fathul Makkah

TAPAH: Penyatuan ummah hingga membentuk sebuah pemerintahan negara tidak berlaku secara perang dan pertumpahan darah, bahkan sekalian musuh juga tidak didendami, sebaliknya diberikan kemaafan.

Advertisement

Malah, segala perasaan sengketa dibuang dengan semua penduduk dituntun kepada seruan untuk ta’awun yakni bantu-membantu ke arah kebaikan demi kesejahteraan seluruh rakyat, negara dan agama.

Demikian intipati dari ayat 2 surah al-Maidah dan sirahnya yang dikupas Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Negeri Perak, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman dalam Liqa’ Fikri PAS Perak, kelmarin.

Program berkala yang mendapat sambutan meningkat setiap bulan dan turut dihadiri ramai pimpinan PAS di pelbagai peringkat dalam negeri Perak itu telah dilangsungkan di Markas Tarbiyah PAS Tapah, Jalan Bidor, di sini.

Kemuka beliau, peristiwa Fathul Makkah oleh Rasulullah S.A.W dan para Sahabat R.A itu selari, malah menjadi ibrah  perkara asas dalam hubungan ta’awun siyasi antara PAS dan Umno sebagaimana perdamaian sejarah agung itu.

“Kemenangan umat Islam di dalam peristiwa Fathul Makkah oleh umat Islam yang dipimpin oleh Rasulullah itu tidak pun menumpahkan setitis darah (ke atas kaum Musyrikin).

“Malah, selepas dari kemenangan tersebut, Rasulullah bersama umat baginda tidak mengambil sikap dendam pun terhadap tawanan perang ketika itu meskipun sudah ramai para Sahabat yang terkorban dibunuh oleh tangan-tangan mereka.

“Setiap ahli PAS mesti menghilangkan segala perasaan sengketa terhadap Umno dan berusaha menumpukan kepada pembinaan semula hubungan bersama mereka untuk (saling) bantu-membantu ke arah perkara yang baik.

“Hubungan ini perlu dimurnikan demi menghadapi mudarat yang lebih besar di hadapan kita. Kita semua mesti yakin, bahawa ta’awun ini adalah demi kesejahteraan rakyat meliputi kepentingan Islam, bangsa dan negara,” ujar bekas calon Dun Trong PRU14 itu. – HARAKAHDAILY 23/10/2019