Kebakaran rumah pam diesel angkara nelayan Vietnam?

SAYA ingin merujuk kepada kejadian kebakaran yang baru berlaku sekitar pukul 6 petang tadi di Pelabuhan Perikanan Chendering, Kuala Terengganu, melibatkan kemusnahan Rumah Pam Diesel milik Persatuan Nelayan Kawasan Marang.

Advertisement

Satu salinan laporan polis berhubung kejadian ini telah saya terima dan kejadian ini dilaporkan berpunca dari nelayan-nelayan Vietnam yang bermain mercun berhampiran.

Saya memandang serius hal ini dan demi kepentingan awam sejauh manakah bilangan kehadiran nelayan-nelayan Vietnam ini yang saya berterusan menerima maklumat bilangan mereka yang ramai menyebabkan mereka semakin berani melakukan aktiviti yang membimbangkan warga tempatan.

Saya berharap pihak berkuasa menyiasat sama ada kebakaran ini satu kemalangan atau perbuatan sabotaj yang disengajakan.

Apapun alasannya, isu nelayan Vietnam ini sudah banyak kali saya bangkitkan di Parlimen, malah lebih 500 orang nelayan dari Kelantan, Terengganu dan Pahang telah berkumpul di Parlimen Julai yang lalu kerana cukup kecewa masalah ini masih berterusan.

Saya telah menemukan 10 orang wakil nelayan dengan Menteri Pertanian dan Timbalan beliau serta Ketua Pengarah Perikanan pada hari berkenaan dan Menteri berjanji keadaan akan lebih baik selepas 3 bulan. Malangnya keadaan masih lagi sama, tiada perubahan.

Saya minta Perdana Menteri supaya campurtangan isu ini supaya penyelesaian yang lebih berkesan dapat diambil kerana saya dapati hanya YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mempunyai ketegasan, kesungguhan dalam memimpin negara sementara yang lain macam kurang serius dalam bertindak.

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
24 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 24/10/2019