Kisah ‘Sahak Bom’ dan manifesto PH

ALOR SETAR: Kisah ‘Sahak Bom’ bukan sahaja mencuit hati para Adun dalam Persidangan Dun Kedah tetapi lebih mempunyai makna mendalam yang tersirat.

Advertisement

sanusi1Ia mengisahkan perbualan dua orang nelayan darat di Empangan Gubir diceritakan oleh Muhammad Sanusi Mohd Nor (PAS-Jeneri) sewaktu membahasan Bajet 2020 negeri.

“Salah seorang nelayan itu bernama Sahak Bom. Mereka berbual berkenaan hasil tangkapan ikan. Apabila beliau mendengar kawannya dapat menangkap ikan sebesar ‘seat’ motosikal, maka beliau pun memberitahu tangkapannya lagi besar.

“Kata Sahak Bom, ikan yang dia tangkap lagi besar. Belah perut ada penjual ais krim, bukan dia sahaja malah dengan tong ais krimnya pun ada sekali,” cerita Sanusi dalam dialek masyarakat Sik.

Sebelum sempat ahli Dun berhenti ketawa, Ketua Pembangkang Dun Kedah itu memaklumkan, Sahak Bom itu kali terakhir ditemui ketika sedang menulis manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu.

Sementara itu, lain pula dengan kisah yang dibawa oleh Ustaz Salim Mahmood (PAS-Bukit Lada), yang membuatkan Adun-Adun pembangkang menitis air mata.

Beliau menceritakan kisah seorang ibu menggoreng batu memujuk anaknya yang lapar lantaran ketiadaan makanan sehingga si anak tertidur, kemudian terjaga dan diberi alasan makanan belum lagi masak.

“Tidurlah anakku, masakan belum masak, bila masak nanti, ibu akan kejutkan kamu. Begitulah kata si ibu berulang-ulang hinggalah ke pagi,” kata beliau dalam Bahasa Thailand kemudian diterjemahkan ke Bahasa Melayu.

Justeru itu, Ustaz Salim mengingatkan janganlah hanya projek-projek mega sahaja dibentangkan di dalam Bajet 2020 sedangkan penduduk kampung memerlukan pembelaan.

Mereka, katanya umpama seperti kanak-kanak di dalam kisah itu yang menunggu makanan kerana kelaparan. – HARAKAHDAILY 24/10/2019