Demo solidariti NC UM: Mahasiswi ditahan polis

KUALA LUMPUR: Seorang mahasiswi ditahan sewaktu demonstrasi aman menyatakan solidariti kepada Naib Canselor Universiti Malaya (UM) di luar pagar universiti tersebut hari ini.

Advertisement

Beliau ditahan kerana didakwa tidak membawa MyKad ketika polis mengarahkan supaya semua peserta himpunan aman bersurai kira-kira jam 2.30 petang.

Mahasiswi terbabit ialah Maizatul Afeerah Ayob yang merupakan Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswi (Sigma).

Dalam masa yang sama, pihak polis juga telah merampas mikrofon dan pembesar suara.

Terlebih dahulu, demonstrasi tersebut bertujuan untuk menyatakan solidariti kepada Naib Canselor UM, Dato’ Dr Abdul Rahim Hashim apabila didakwa ada rancangan oleh pihak tertentu untuk meletak jawatan.

Ia susulan tindakan seorang graduan UM, Wong Yan Ke melakukan protes terhadap Abdul Rahim selepas menerima skrol ijazah pada hari Konvokesyen Universiti Malaya kali ke-59 baru-baru ini.

Demonstrasi itu bermula sejurus selepas Solat Jumaat di masjid Ar Rahman berhampiran UM, kira-kira jam 1.40 tengah hari.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Ikhwan Nasyriq Salihin berkata, pada peringkat awal pihaknya telah menghantar surat kepada pihak UM untuk membuat perhimpunan di hadapan Canselori, namun tiada sebarang maklum balas.

“Sehinggalah kami diberitahu bahawa pintu pagar utama telah ditutup dan kita meneruskan perhimpunan di hadapan pagar utama UM,” katanya.

Beliau turut mendesak supaya pihak universiti membuat siasatan terhadap pertubuhan badan pelajar yang ada hubung kait dengan Yan Ke seperti UMANY diharamkan kerana akan mengganggu gugat prestasi dan maruah UM pada masa akan datang.

Ikhwan juga mendakwa bahawa pertubuhan tersebut ada perkaitan dengan parti politik DAP kerana Yan Ke dan rakan-rakannya sangat aktif dan rapat dengan DAP. – HARAKAHDAILY 25/10/2019