PAS dan Umno Bentong semakin serasi ‘berdua’

    BENTONG: Menurut Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat, Subky Latif di Himpunan As-Sabiqun di Kota Bharu baru-baru ini, Muafakat Nasional PAS-Umno bukan bermaksud PAS dan Umno bersatu, tetapi ‘berdua’.

    Advertisement

    “Sekarang ini kedudukannya, kita (PAS) bukan ‘bersatu’ dengan Umno, tetapi kita berdua. PAS dan Umno berdua. Ke mana-mana pun berdua. (Di mana) PAS ada, Umno ada,” jelasnya.

    Seiring semangat ‘berdua’ ini, PAS Kawasan Bentong telah hadir meraikan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah Majlis Perbandaran Bentong, di sini malam kelmarin dahulu.

    Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang Bersama Kepimpinan Masyarakat Setempat ini adalah antara siri lawatan kerja beliau turun ke setiap daerah di mana Bentong menjadi destinasi terakhir dalam susunan program tersebut.

    Kepimpinan PAS telah dinakhodai oleh Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua PAS Bentong, Khairudin Abdullah dan Ustaz Roslan Mad Esa hadir bersama-sama Ahli Jawatankuasa PAS Bentong yang lain.

    ‘Singa’ PAS Bentong, Ustaz Roslan menyeru seluruh ahli PAS dan Umno agar sama-sama menghargai kebersamaan ini dengan peringatan bahawa muafakat dibina adalah demi masa depan nusa dan bangsa.

    “Apa yang pasti muafakat ini tidak sama sekali meminggirkan masyarakat majmuk di Malaysia. Buktinya kehadiran ‘full house’ malam ini menyaksikan bahawa rakyat sudah bersedia untuk mentadbir kerajaan di bawah Muafakat Nasional,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 25/10/2019