TTS medan ahli bertemu, laksana agenda ARC

    PERMATANG PAUH: Alternative Riding Club (ARC) Pulau Pinang telah mengadakan Usrah Santai atau sinonim dengan kelab permotoran dipanggil ‘Teh Tarik Station’ (TTS), di sini kelmarin.

    Advertisement

    Menurut Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Pulau Pinang, Muhammad Akmal Abdul Rahman, TTS adalah aktiviti bulanan ARC Pulau Pinang yang bernaung di bawah DACS Pulau Pinang.

    “Edisi kali keempat bagi tahun 2019 ini memilih Permatang Pauh sebagai lokasi pertemuan,” katanya pada majlis dihadiri 124 peserta termasuk ahli keluarga masing-masing.

    Program ini menjadi platform pertemuan ahli ARC seluruh negeri ini bagi menyertai aktiviti permotoran berlandaskan Islam disamping menjayakan agenda kelab, riadah, ukhuwah dan dakwah.

    Penasihat ARC Malaysia yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamuddin menjadi tetamu istimewa di mana turut berkongsi ilmu penunggangan sebenar.

    Beliau telah berpesan agar ahli ARC menjadi contoh tauladan kepada pengguna jalan raya dengan mempamer cara penunggangan selamat dan mematuhi undang-undang jalan raya.

    Sebelum itu, program ini turut bersama Ketua Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh, Ustaz Muhammad Fawwaz Md Jan yang mengisi slot usrah dan soal jawab agama bersama para peserta. – HARAKAHDAILY 25/10/2019