Tuduh Melayu rasis: Amaran Tun M, TGHH senada

TERUJA membaca tulisan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini yang mempertahankan penganjuran Kongres Maruah Melayu dari tuduhan rasis dan yang mempertahankan penganjurnya dari desakan-desakan untuk dipecat.
Ini adalah petikan tulisan Tun Dr Mahathir:

Advertisement

“7.     Tidak boleh diterima, apabila kumpulan etnik lain boleh mengadakan perhimpunan mereka untuk membincangkan urusan mereka, manakala orang Melayu tidak boleh, kerana didakwa perhimpunan mereka adalah rasis.”

“8.     Dan kini ada permintaan bahawa orang Melayu yang memulakan Kongres Maruah Melayu akan dipecat.”

“9.     Apabila bekas tanah jajahan Negara-negara Eropah mendapat kemerdekaan, ramai yang mendiskriminasi orang bukan Bumiputera. Ada yang terpaksa meninggalkan negara ini. Ada yang diserang dengan ganas.”

“10.     Tidak demikian di negara ini. Orang bukan Bumiputera diterima sebagai warganegara. Sebenarnya, 1 juta orang bukan Bumiputera diberi kewarganegaraan walaupun mereka tidak layak.”

“11.     Ia menyakitkan saya untuk berfikir di negara mereka sendiri orang Bumiputera tidak sepatutnya mengadakan perhimpunan mereka sendiri tanpa dituduh bersifat rasis.”

Kebetulannya hari ini juga muncul tulisan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut mempertahankan ‘suara Melayu yang menyebut tentang hak mereka yang dirasakan makin terpinggir di negara Malaysia’ dari tuduhan rasis.

Ini adalah petikan tulisan Datuk Seri Abdul Hadi:

1.     “Akhir-akhir ini suara Melayu yang menyebut tentang hak mereka yang dirasakan makin terpinggir di Negara Malaysia dilabelkan rasis. Namun bangsa lain yang mencabar Melayu dan menyatakan apa sahaja hak bangsa mereka tidak pula dikatakan rasis kerana atas nama hak asasi manusia.”

2.    “Masalah utama bukannya rasis, tetapi hak mereka yang dilihat telah dipinggirkan di atas buminya sendiri oleh pihak lain. Apatah lagi situasi sekarang turut dipengaruhi oleh kegelojohan parti kaum yang ekstrem untuk mendapat kuasa politik di hadapan mata melalui amalan demokrasi yang dipengaruhi oleh sifat perkauman melampau dan tidak mengenang budi Melayu Islam terhadap mereka.”

3.     “Kalau Melayu rasis, maka sejak awal lagi bangsa pendatang tidak mendapat kerakyatan, hak berpolitik untuk menjadi ahli Parlimen, Menteri Besar atau Ketua Menteri, menguasai ekonomi, mengamalkan agama dengan bebas, menggunakan bahasa ibunda dalam pendidikan sehingga mencapai kedudukan sebagaimana yang ada ini.”

4.     “Ingat! Islam mengajar orang Melayu bahawa kesabaran itu ada batas sempadannya. Hanya Melayu yang terlalu bodoh dan lemah roh Islam serta hilang jiwa bangsanya sahaja tidak peka, sehingga hilang jati diri di atas tanah airnya sendiri.”

5.     “Munculnya Muafakat Nasional dan Kongres Maruah Melayu menunjukkan kebangkitan Melayu tanpa mengira pembangkang, kerajaan, fahaman politik, NGO, ilmuwan dan mahasiswa. Itu belum lagi dikerah seluruh rakyatnya sehingga ke pedalaman untuk bangkit mempertahankan hak.”

Saya setuju sepenuhnya dengan penegasan yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Abdul Hadi ini, iaitu bahawa kalau orang-orang Melayu rasis maka sejak awal lagi tidaklah orang-orang bukan Melayu diberi kerakyatan walaupun mereka tak layak.
Malangnya, orang-orang bukan Melayu sekarang ramai yang sudah lupa diri hingga mereka, khususnya pemimpin-pemimpin DAP, sengaja tak mahu akui pengorbanan besar yang dibuat oleh orang-orang Melayu dan terus-terusan mahu menekan orang-orang Melayu.

Sedih sekali bila yang terpaksa menyebut perkara ini sekarang adalah pemimpin-pemimpin Melayu seperti Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Abdul Hadi sedangkan waktu baru merdeka dulu yang menyebut perkara ini adalah pemimpin-pemimpin bukan Melayu.
Pemimpin-pemimpin bukan Melayu sekarang kena baca dan hadam ucapan Dato’ V. T. Sambanthan yang merupakan Ahli Parlimen Sungai Siput merangkap Menteri Kerjaraya, Pos dan Telekomunikasi di Parlimen pada 1 Jun 1965.

Dalam ucapan ini, Dato’ V. T. Sambanthan:

(1)     Dalam PRU 1955, komposisi pengundi negara waktu itu adalah 88 peratus orang-orang Melayu, 8 peratus orang-orang Cina dan 4 peratus orang-orang India tetapi orang-orang Melayu bermurah hati memberi 40 peratus kerusi kepada orang-orang Cina dan India.

(2)     Selepas menang PRU 1955, orang-orang Melayu masih ada 88 peratus pengundi dengan mereka tetapi, walaupun orang-orang Cina dan India tidak diterima di Thailand, Vietnam, Cambodia, Sri Lanka dan Burma, orang-orang Melayu tetap terima mereka.

(3)     Lanjutan itu, pada tahun 1957 sahaja, kerajaan waktu itu telah ketepikan syarat-syarat penguasaan bahasa Melayu untuk dapat kerakyatan negara menyebabkan ratusan ribu orang-orang Cina, India, Sri Lanka dan lain-lain terus diterima sebagai rakyat. 
Ini kata-kata Dato’ V. T. Sambanthan seterusnya yang dikekalkan dalam bahasa asalnya supaya orang-orang bukan Melayu yang sudah lupa diri ini mudah faham:

(1)     “Why did the Malays do this? Is it to propitiate Malay rule in this country? Is it to keep themselves all the time in power that they watered down their own authority? It would be stupid, utterly stupid, for them to do that, if they wanted to control this country for all time. They could have done it by the simple expedient that one observed in Ceylon, Burma and other countries deny the opportunity of citizenship to these people.” 

(2)     “By a voluntary act the Malay leadership itself watered down their own political power. Can you see it anywhere else? Even the huge nations of the West the United States. Can 100,000 Malaysians go to the United States tomorrow and become citizens there? Could you do it in Germany, in Turkey, in Albania, in Russia, or in any part of the world, I ask. The answer is “No”.”

(3)     “In the United States they have got a quota, in Australia you cannot put your foot down and step into it, and yet here, we find the course of history changed. A different pattern-a different pattern of brotherhood, of understanding, of goodwill-a different pattern based upon morals, ethics; a good decent, humanistic pattern. And so in 1957, we had freedom. We had more and more become citizens.”

Oleh itu, ingatlah baik-baik kata-kata Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Abdul Hadi ini:

“Ia menyakitkan saya untuk berfikir di negara mereka sendiri orang Bumiputera tidak sepatutnya mengadakan perhimpunan mereka sendiri tanpa dituduh bersifat rasis.”

“Ingat! Islam mengajar orang Melayu bahawa kesabaran itu ada batas sempadannya.” – HARAKAHDAILY 25/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily  tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.