DAP jangan ganggu, tekan, hina PDRM dan KDN

BARU-baru ini, DS Anwar Ibrahim telah menasihatkan semua pihak supaya memberi ruang dan tidak menekan PDRM dan KDN dalam menjalankan tugas-tugas mereka bersabit dengan keganasan dan sebagainya. Jangan mengganggu proses siasatan, jauh sekali mempersoalkan, tegas beliau.

DS Anwar Ibrahim memang sesuai sangat memberi nasihat ini kerana salah satu dakwaan yang dikenakan ke atas beliau di mahkamah pada tahun 1998 dulu ialah kerana beliau campur tangan dalam siasatan Badan Pencegah Rasuah ke atas Setiausaha Sulit beliau yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

Malangnya, akhir-akhir ini, saya dapati pemimpin-pemimpin DAP bukan setakat mengganggu dan menekan PDRM dan KDN dalam menjalankan tugas-tugas mereka, malah sudah sampai ke tahap menghina kebijaksanaan dan motif PDRM dan KDN dalam isu penahanan pemimpin-pemimpin DAP di bawah SOSMA kerana terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE dan dalam isu pengharaman komik bertajuk “Inisiatif Jalur & Jalan: Meraih Manfaat Bersama” yang dikaitkan dengan DAP. 

Dalam isu pengharaman komik, sudah tiga pemimpin tinggi DAP bersuara, iaitu:

(i)     Lim Kit Siang, Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, yang berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan KDN mengharamkan komik ini atas alasan ia mempromosi perjuangan Komunis kerana beliau percaya penulisnya, Hew Kuan Yau, bukan Komunis atau Simpatisan Komunis. Seterusnya Lim Kit Siang menyeru KDN menyemak semula pengharaman komik ini.

(ii)     Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Tanjong merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, yang mendakwa mungkin KDN ada niat tertentu waktu mengharamkan komik ini, dan sepatutnya KDN teliti dahulu dengan mendapatkan bantuan pakar sejarah. Seterusnya Chow Kon Yeow menyeru KDN meneliti semula kandungan komik selain memahami niat sebenar penerbit.

(iii)     Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Teluk Intan merangkap Timbalan Speaker Dewan Rakyat, yang menggesa KDN mengkaji semula pengharaman komik ini dan perlu serta-merta menghentikan siasatan ke atas penulisnya.

Dalam isu penahanan pemimpin-pemimpin DAP di bawah SOSMA pula tiga pemimpin DAP sudah bersuara, iaitu:

(i)     Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang, yang mendesak kerajaan membebaskan mereka yang ditahan sebelum Deepavali selain mendakwa tindakan polis menahan pemimpin-pemimpin DAP atas alasan cuba menghidupkan kumpulan pengganas yang telah mati hampir sedekad adalah tindakan paling melucukan tahun ini.

(ii)     Kasthuri Patto, Ahli Parlimen Batu Kawan, yang merayu kepada kerajaan supaya mendakwa mereka di mahkamah atau melepaskan mereka sebelum Deepavali dengan menyatakan untuk gunakan SOSMA ke atas mereka, itu tak dapat diterima, ia melanggar hak asasi dan kebebasan mereka.

(iii)     Ganabatirau Veraman, Ahli Exco Kerajaaan Selangor merangkap Adun Kota Kemuning, yang mendesak kerajaan menimbang semula keputusannya dan membebaskan mereka yang ditahan sebelum Deepavali serta mempersoalkan keperluan menahan mereka lebih lama jika ada bukti untuk mendakwa mereka.

Kesemua kenyataan pemimpin-pemimpin DAP ini tidak sepatutnya dibuat kerana ia merupakan satu bentuk gangguan dan tekanan yang tidak patut dibuat ke atas PDRM dan KDN, lebih-lebih lagi kerana mereka ada jawatan tinggi dalam kerajaan seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ahli Exco Kerajaaan Selangor dan Ahli-ahli Parlimen.

Sebelum berkuasa, mereka juga yang mendesak kerajaan supaya menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak mahu orang-orang politik campur tangan dalam tugas-tugas agensi-agensi kerajaan tapi kini bila mereka berkuasa perkara yang sama mereka lakukan bila ia membabitkan kepentingan mereka.

Ayat-ayat seperti “tindakan polis menahan pemimpin-pemimpin DAP adalah tindakan paling melucukan tahun ini” dan “mungkin KDN ada niat tertentu” juga adalah penghinaan dan tohmahan berat kepada PDRM dan KDN. Ia juga seolah-olah satu undi tidak percaya pemimpin-pemimpin DAP ke atas Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas PDRM dan KDN.

Saya mohon pemimpin-pemimpin DAP hentikan segala gangguan, tekanan dan hinaan ke atas PDRM dan KDN kerana ia sangat menjatuhkan moral dan semangat pegawai-pegawai PDRM dan KDN yang tulus dan tekun bekerja. Saya juga mohon Tan Sri Muhyiddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, kekal tegas dan tidak akur dengan gangguan, tekanan dan hinaan ini. Jika mereka tunduk nescaya kewibawaan mereka akan merudum di mata rakyat.

Sekian.

“Islam Memimpin Perpaduan”


DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus

Kongsikan maklum balas anda mengenai isu ini di pautan berikut:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2842445945765417&id=569086473101387HARAKAHDAILY 26/10/2019

Advertisement