Semangat juang Pak Rahim wajar dicontohi

TAIPING: Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri telah menziarahi anggota Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Perak, Abdul Rahim Abdul Shukor di kediamannya di Taman Changkat Larang Aman, Kamunting, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Menurut Ustaz Hafez, Abdul Rahim atau lebih dikenali sebagai Pak Rahim berasal dari Taiping ini merupakan seorang anggota AMAL yang sangat komited menjalankan tugas di peringkat Kawasan, Negeri mahupun himpunan-himpunan besar PAS.

“Beliau merupakan bekas Angkatan Tentera Batalion 22 GK (pasukan khas) yang memiliki Pingat Perkhidmatan AM (PPA) 4 tahun servis dan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) Sayap GGK AirBorn yang berkhidmat selama 18 tahun.

“Kini biarpun telah berusia 67 tahun, semangat dimiliki Pak Rahim untuk berkhidmat sebagai anggota AMAL PAS ini tidak pernah lumpuh. Tempoh hari semasa HPU914, beliau tetap hadir bertugas menjaga lalu lintas meskipun dikhabarkan dalam keadaan kurang sihat.

“Pak Rahim juga merupakan bekas Ahli Lembaga Pengarah Jabatan Amal Perak itu pernah menerima anugerah Jasamu Dikenang sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Perak pada tahun 2013,” ujarnya.

Ustaz Hafez menyifatkan semangat perjuangan yang ada pada veteren PAS ini wajar dicontohi oleh seluruh ahli PAS khususnya anak muda agar sentiasa melibatkan diri dalam perjuangan PAS.

Dalam pertemuan itu, Pak Rahim turut menyatakan bahawa beliau merindui berkerja di lapangan ummah, namun kesihatannya tidak mengizinkan untuk beliau berkhidmat buat masa ini. – HARAKAHDAILY 27/10/2019