Warga emas terkorban tanah runtuh di Ijok

LARUT: Ekoran hujan lebat tanpa henti hampir sebulan di sekitar Dun Kubu Gajah telah menyebabkan tragedi tanah runtuh berlaku di Kampung Teras, Ijok Batu Kurau, di sini semalam.

Advertisement

Malangnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6 petang ini telah menyebabkan seorang warga emas berusia 60 tahun, Hanudin Bahazin terkorban akibat tertimbus runtuhan tanah.

Tragedi ini merupakan pertama kali dalam sejarah di sini yang telah mengorbankan nyawa di mana terdapat tiga rumah turut terkesan akibat daripada kejadian di kampung berkenaan.

Menurut penduduk, terdapat mangsa lain di sebelah rumah yang hampir menerima nasib sama, namun mangsa berjaya menyelamatkan diri meskipun cedera di bahagian kaki ketika keluar dari rumah.

Adun Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahya meluangkan masa hampir 5 jam di tempat kejadian, selain turut mendapat maklumat daripada Ketua Polis Daerah, DSP Mohd Sabri Saad.

Ustaz Khalil juga telah meluangkan masa bersama pihak keluarga mangsa yang menceritakan detik-detik cemas ketika tragedi tanah runtuh berlaku.

Menurut keluarga dan masyarakat kampung, almarhum yang lebih mudah disapa dengan panggilan Pak Ngah Nordin merupakan Bilal di Masjid Toh Paduka, Kampung Masjid, Ijok.

Agensi utama terlibat dalam operasi di lokasi kejadian ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahan Awam dan pihak Polis.

Turut sama membantu ialah Jabatan Amal Malaysia PAS Kawasan Larut yang tiba membawa bekalan makanan untuk mangsa dan petugas.

Hadir bersama ialah Adun Selama, Ustaz Akmal Kamarudin serta Pesuruhjaya PAS Perak merangkap Adun Gunung Semanggol yang hadir di Hospital Selama. – HARAKAHDAILY 26/10/2019  

IMG 20191026 WA0024 

IMG 20191026 WA0025

IMG 20191026 WA0026