JELAS pacu Muslimat Sarawak proaktif berjuang

KUCHING: Jelajah Munaqasyah Ucaptama Ketua Muslimat PAS Malaysia (JELAS) telah berlangsung meriah dengan kehadiran anggota Muslimat dari lapan PAS Kawasan seluruh negeri Sarawak di Hotel Serapi, di sini semalam.

Advertisement

Program kerjasama Dewan Muslimat PAS Malaysia dan Dewan Muslimat PAS Sarawak ini bertujuan menjelaskan lagi pemahaman ahli Muslimat terhadap hala tuju semasa sayap PAS ini seperti terkandung dalam ucaptama tersebut.

Malah, asas kepada pembinaan pelan tindakan Muslimat PAS ini turut diperkukuhkan lagi menerusi perbahasan dari wakil semua kawasan terbabit dalam menyahut gerak kerja seiring menjayakan misi, visi dan strategi bakal dilaksanakan.

Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Noor dalam pembentangannya menyentuh aspek muhasabah gerak kerja, strategi memenangkan Islam dan mengekalkan sokongan rakyat menerusi tujuh tindakan bersepadu.

Manakala Ketua Muslimat PAS Sarawak, Ustazah Juliani Adin meniupkan roh perjuangan dengan menyentuh mengenai kepentingan istiqamah selain bersikap proaktif dan sentiasa mengharap pertolongan Allah.

Majlis juga dimeriahkan dengan pelancaran Buletin Kamek Prihatin terbitan Lajnah Penerangan dan Media Baru Muslimat PAS Sarawak yang memaparkan gerak kerja Muslimat PAS yang akan diedarkan percuma kepada awam. – HARAKAHDAILY 27/10/2019

IMG 20191027 WA0010