Penuhi disiplin parti sebahagian tarbiyah diri

BUKIT GANTANG: Ahli-ahli Muslimat PAS perlu sentiasa bermuhasabah dan mentarbiyah diri membentuk pekerti tinggi dan akhlak mulia dengan melaksana kewajiban ibadah seharian, melazimi amalan sunat, menjaga aurat, perilaku dan pergaulan seharian.

Advertisement

Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Perak, Ustazah Hasna’ Abdul Samad menitip pesanan tersebut sewaktu menyampaikan taujihat sempena Program Munajat AKIFI Penyatuan Ummah Parlimen Bukit Gantang kelmarin dahulu.

Program berkala dalam membina kekuatan rohani dan kesatuan anggota ini telah berlangsung di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Yunus, Markaz Tarbiah PAS Kawasan, Kampung Bukit Chempedak, di sini.

Katanya, Muslimat juga perlu mendisiplinkan diri dengan hadir ke program-program parti, mesyuarat, usrah, tamrin dan sebagainya, selain bersedia mentaati arahan pimpinan manakala pimpinan pula sanggup mendengar suara anggota bawahan.

“Muslimat yang berakhlak mulia akan menjadi contoh dan suri tauladan kepada masyarakat sekali gus membentuk imej positif kepada PAS,” ujarnya memahamkan sekitar 110 peserta program ini.

Majlis turut disertai oleh perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Bukit Gantang di mana program berkala ini diisi dengan bacaan surah Yaasiin, Munajat AKIFI, taujihat dan solat Asar berjemaah. – HARAKAHDAILY 27/10/2019