Perang idealogi dalam sejarah Islam

IRAQ dan peradaban Yunani

Apabila kita mengkaji sejarah Umat Islam, kita akan dapati bahawa Umat Islam pernah melalui zaman yang rencam, apabila berlakunya pertembungan idealogi. Idealogi yang saya maksudnya ialah kelompok Muktazilah, Jabariah, Qadariah dan senagainya. Muktazilah dilihat lebih mendahulukan rasional berbanding syariat. Mereka terkesan dengan falsafah Yunani yang lebih bersifat Liberal dan rasional.

Rasional yang dimaksudkan ialah mempertuhankan akal berbanding syariat. Mereka menganggap syariat mesti diukur dengan rasional akal. Manakala Liberal pula merujuk kepada idealogi mereka yang mengambil sikap ‘tidak mahu terikat dengan dalil al-Quran dan Hadis’. Iaitu mereka bebas memberi pendapat, sehingga melanggar prinsip prinsip syariat.

Jika dilihat dari segi sejarahnya, pertembungan ini banyak berpusat di Iraq yang berada di bawah pemerintahan Parsi sejak kurun ke-6 sebelum Masihi. Kemudian dikuasai oleh Alexender Macedonia dari Greece Yunani, dan menjadi sebuah pusat ilmu yang cukup bersejarah di awal perkembangan falsafah. Namun era Macedonia (356-323 SM) dilihat falsafah sudah sampai ke peringkat School Of Thought.

Kemudian berlaku beberapa siri penjajahan sehinggalah zaman pemerintahan Saidina Abu Bakr As Siddiq R.A, Iraq dimerdekakan oleh Islam pada 633 M. Iraq ketika itu masih terkenal dengan warisan-warisan ilmu falsafah zaman Yunan, dan sekolah-sekolah aliran pemikiran masih wujud dan segar. Suasana keilmuan ketika itu mendorong Umat Islam untuk berhijrah ke Iraq untuk mendalami pelbagai bidang ilmu.

Falsafah dan kesufian (Sufism)

Di kalangan Sahabat Nabi S.A.W yang masyhur ialah Abu Musa al Asy’ariy. Selepas kewafatan Baginda S.A.W, beliau terlibat dalam beberapa siri peperangan sehinggalah akhirnya menetap di Kufah (Iraq). Di Kufah, beliau telah mengislamkan Abu Sulaiman. Abu Sulaiman atau nama sebenarnya Muslim menisbahkan dirinya dengan Al Asy’ariyyin kerana diislamkan oleh Sahabat Nabi S.A.W tersebut.

Anak Abu Sulaiman, bernama Hammad merupakan guru kepada Imam Abu Hanifah (699-767) di Kufah yang terkenal dengan dunia falsafah. Justeru tidak pelik manhaj Imam Abu Hanifah ‘sangat rare’ berbanding mazhab yang lain kerana membesar dalam suasana perbincangan ilmiah di Kufah, apatah lagi Kufah telah menjadi ibu kota pemerintahan Khilafah di zaman Saidina Ali R.A.

Di zaman pemerintahan Umawiyyah, menggambarkan bagaimana suasana pemerintahan negara yang tertiru budaya pemerintahan Rom. Raja-raja yang hidup bermewahan, istana yang tersergam indah, dan sebagainya. Budaya ini terserap masuk di dalam Bani Umayyah dan seterusnya Bani Abbasiah. Disebabkan faktor ini, beberapa tokoh agamawan mula mengambil jalan ‘zuhud’ menjaga diri daripada ‘fitnah dunia’.

Kesufian atau kezuhudan ketika itu terdapat dalam beberapa aliran yang berbeza-beza. Ahli sufi di Madinah dan Mesir lebih cenderung dengan pendekatan salaf. Berbeza dengan Basrah dan Kufah yang seakan-akan terkesan dengan budaya falsafah. Kufah dan Basrah kedua duanya di dalam Iraq yang mana ketika itu merupakan pusat ilmu yang cukup gemilang.

Idealogi Jabariah VS Qadariah

Antara yang terkenal di Kufah ialah Ja’ad bin Dirham (666-724) yang terkesan dengan falsafah. Beliau mula mencetuskan idea bahawa ‘al Quran itu makhluk’. Beliau mengasaskan fahaman Jabariah yang bertentangan dengan aqidah salaf ketika itu. Beliau yang berasal dari Khurasan dan membawa idealogi pelik ini, menjadi buruan Bani Umayyah. Beliau melarikan diri ke Kufah, dan bertemu dengan Jahm bin Safwan (696-745).

Jahm bin Safwan terpengaruh dengan dakwaan sesat daripada Ja’ad bin Dirham, lantas mengasaskan ajaran sesat Jahmiyyah yang bertunjangkan falsafah. Ja’ad bin Dirham dikatakan terpengaruh dengan ajaran seorang tokoh Yahudi yang bernama Banan bin Sam’an yang mencedok ilmu daripada Talut bin Ukhtu Lubain al A’sam yang pernah menyihir Nabi S.A.W.

Hasil daripada idealogi Jabariah, mencetuskan tanggapan bahawa kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh Bani Umayyah semuanya kuasa Allah. Tiada langsung kaitan dengan kezaliman pemerintah. Hal ini mendorong kepada ‘kemunculan semula’ Qadariah beberapa puluh tahun kemudiannya bagi menolak dakwaan karut Jabariah.

Kemunculan ajaran-ajaran pelik yang bertunjangkan falsafah ini ditangkis oleh Imam Abu Hanifah yang se-lokasi dengan mereka, dengan mengarang kitab Fiqhul Akbar, yang menyusun ilmu kalam bertunjangkan al Quran dan Sunnah. Pertempuran idealogi dan perbincangan ilmiah seperti ini sangat subur di Kufah, sama ada dari sudut ‘kebaikan’ atau keburukan’.

Idealogi Murji’ah VS Muktazilah

Selain daripada Kufah, antara tempat yang subur dengan ilmu ialah Basrah. Antara yang masyhur di Basrah (Iraq) ialah seorang Tabiin yang bernama Imam Hassan al Basri R.A. Beliau banyak menadah ilmu daripada para Sahabat Nabi S.A.W. Antara lain yang menuntut ilmu di Basrah ialah Wasil bin Atho’ yang banyak mengelilingi Iraq untuk mengutip segala ilmu di situ. Termasuklah idealogi-idealogi falsafah, sehinggakan menjadi cetusan awal fahaman Muktazilah.

Dari segi sejarahnya, Muktazilah bermula daripada pengasingan Wasil bin Atho (700-748) yang tidak bersetuju dengan pandangan Imam Hassan al Basri RA (642-748). As Syahrastani menceritakan sejarah awal kemunculan Muktazilah di dalam kitab al Milal wan Nihal. Kisahnya bermula apabila ada seseorang mengadu kepada Imam Hassan al Basri tentang golongan Murji’ah yang meringan-ringankan dosa besar.

Murji’ah tidak rasa bersalah dengan dosa besar seolah-olah mereka berkata “Buat maksiat saja pun.. belum kafir lagi..”. Orang ini bertanyakan bagaimana status aqidahnya? Imam Hassan al Basri belum lagi memberi jawapan, tiba-tiba Wasil bin Atho yang turut berada di situ mengatakan bahawa mengikut rasionalnya, orang seperti itu bukan beriman sebenar-benarnya, dan bukan kafir sebenar-benarnya. Akan tetapi mereka itu berada di tengah-tengah antara dua kedudukan ini (بين منزلتين). Setelah itu beliau bangkit dan duduk di satu sudut.

Justeru kita memahami pertembungan idealogi di sini iaitu kemunculan Muktazilah merupakan tindak balas terhadap golongan Murji’ah yang meremehkan bab dosa. Tetapi penghukuman Wasil bin Atho tidak bersandarkan syara’, dan lebih kepada rasionalnya semata-mata. Banyak riwayat menceritakan asal usul perkataan ‘Muktazilah’. Walau bagaimanapun dari segi sejarahnya, perselisihan ini terjadi di penghujung zaman Umawiyyah.

Bani Umayyah VS Bani Abbasiah

Sepertimana yang diceritakan, permulaan idealogi Muktazilah yang bermula di Basrah ini,  diperkenalkan oleh Wasil bin Atho’, manakala Imam Hassan al Basri adalah merupakan guru beliau. Kedua-duanya hidup di zaman krisis Bani Umayyah. Imam Hassan al Basri antara tokoh yang menentang dasar penggantian khalifah dengan kaedah warisan. Walaupun demikian, beliau tidaklah menyokong kebangkitan Abbasiah yang turut didukungi oleh kelompok Syiah.

Kelompok Syiah yang sudah sekian lama menyimpan dendam terhadap Umayyah, akhirnya turut sama dalam kebangkitan ini sehingga menjatuhkan dinasti tersebut. Wasil bin Atho’ hidup di zaman penghujung Bani Umayyah ini menyaksikan pertembungan yang sengit dengan Abbasiyah. Siri-siri perang saudara sesama Umat Islam diakhiri dengan kekalahan Bani Umayyah pada 750 dan digantikan dengan Abbasiah.

Empayar Islam berada di zaman kemuncak kebesarannya di era Saidina Umar al Khattab RA (581-644). Rom dan Parsi masing-masing merasa gerun dengan kemunculan Islam sebagai kuasa besar ketika itu. Namun kestabilan ini tergugat dengan krisis Perang Jamal, Perang Siffin dan kemunculan kumpulan-kumpulan Islam. Bani Abbasiah yang muncul menggantikan Bani Umayyah pada 750 pasca perang saudara, memperlihatkan peralihan corak kepimpinan.

Abdullah As Safah merupakan khalifah pertama Bani Abbasiah dilihat ‘lebih mesra’ dengan Yahudi, Kristian dan Parsi. Pemerintahannya lebih kepada ‘membina semula kerosakan’ akibat perang yang berpanjangan, sejak zaman Saidina Uthman, sehinggalah penghujung kejatuhan Bani Umayyah. Abdullah As Safah meninggal pada 754 dan digantikan oleh Abu Jaafar al Mansur, yang merupakan abang beliau.

Kerencaman Era Baru Abbasiah 850 M

Zaman ini walaupun diperintah oleh khalifah, namun budaya kuku besi masih ada. Antara yang menjadi mangsa kuku besi ialah Imam Malik bin Anas R.A (713-796) kerana bertegas dalam isu talaq yang dipaksa. Setelah itu, pemerintahan beralih tangan kepada Muhammad bin Mansur al Mahdi (744-785). Pada zaman ini, Imam Abu Hanifah (699-767) enggan menerima tawaran jawatan sebagai qadhi, lantas dipenjarakan sehingga akhir hayatnya.

Lalu al Mahdi menawarkan jawatan tersebut kepada Sufian ath Thauri. Beliau juga menolak jawatan tersebut dan terpaksa melarikan diri ke Basrah. Setelah berlalu zaman al Mahdi, diganti pula oleh Khalifah Muhammad Musa bin Mahdi (764-786) dan seterusnya Khalifah Harun Ar Rasyid (766-809). Di zaman beliau, Imam Syafie pernah dirantai dan diheret dari Yaman ke Baghdad disebabkan tuduhan bahawa beliau adalah pimpinan Syiah. Namun, beliau dibebaskan selepas itu.

Di zaman ini bermulanya pembinaan sebuah perpustakaan agung yang dikenali sebagai Baitul Hikmah. Namun, ia tidak sempat siap. Selepas Khalifah Harun ar Rasyid tiada, digantikan oleh Muhammad al Amin (787-813). Pemerintahan bergolak apabila berebut kuasa dengan al Ma’mun (786-833). Setelah Al Ma’mun berjaya memegang tampuk, beliau mengubah dasar negara. Perubahan dasar negara ini dilihat sebagai cetusan kepada ‘era baru’ pemerintahan Abbasiah yang bermula 850.

Khalifah al Ma’mun telah menyempurnakan binaan ayahnya, Baitul Hikmah sehingga siap. Beliau lebih mementingkan keilmuan berbanding konflik. Maka, beliau memerintahkan agar karya-karya luar dibawa masuk, khususnya dari Yunani, Byzantium dan lain-lain. Manuskrip-manuskrip itu diterjemah dan disusun semula untuk dikaji dan diteliti, termasuklah method Rasionalism dan Liberalism.

Idealogi yang dipaksa-terima

Di zaman al Ma’mun, idealogi Muktazilah yang asalnya tidak berapa subur, kembali menyegar apabila ia dijadikan sebagai sebuah aliran rasmi di dalam pemerintahan. Ini kerana beliau lebih cenderung kepada falsafah dan idealogi-idealoginya yang mana ia lebih berpusat di sekitar Iraq. Saya telah nyatakan di awal tadi. Hal ini mencetuskan isu yang bersejarah dalam Islam iaitu dakwaan Muktazilah bahawa al-Quran itu ‘makhluk’.

Al Ma’mun bersikap fanatik terhadap pegangannya sehingga menangkap sesiapa yang menentang ‘dasar negara’ ini. Tiada yang berani bersuara menentang ‘kejahilan’ aliran muktazilah ini. Semuanya membisu atas alasan rukhsah (keringanan), melainkan Imam Ahmad bin Hanbal R.A (780-855). Beliau dipenjara dan diseksa oleh Al Ma’mun dan dipaksa untuk mengatakan bahawa al-Quran adalah makhluk.

Melihat penderitaan yang dialami oleh Imam Ahmad R.A, ramai rakan-rakannya meminta beliau melafazkan sahaja apa yang diarahkan. Ini bagi menyelamatkan dirinya. Rakan-rakannya memberitahu walaupun lafaz itu salah dari sudut akidah, tetapi ia dibolehkan atas nama rukhsah (keringanan) bagi menyelamatkan nyawa. Imam Ahmad menolak permintaan tersebut. Beliau dengan tegas menjawab:

Advertisement



“اذا سكت العالم تقية والجاهل ينطق فمتى يظهر الحق؟”

‘Jika ulamak diam kerana menyelamatkan diri, dan orang jahil pula bersuara, maka bilakah akan terzahir kebenaran?’



Rangsangan terhadap Idealogi Muktazilah

Perkembangan falsafah secara tidak terkawal ini memberi kesan pro dan kontra. Kesan pro-nya ialah kelahiran tokoh-tokoh falsafah Islam, antara yang terawal ialah al Kindi (801-873). Manakala kesan buruknya ialah kesuburan idealogi-idealogi yang bercanggah dengan Islam. Sebagai contoh, idealogi yang dibawa oleh Wasil bin Atho yang saya ceritakan awal tadi, walaupun pada mula kemunculannya tidaklah mendapat sambutan.

Tetapi apabila masuknya idealogi-idealogi dari Yunani ini sedikit sebanyak merangsang kembali perkembangan Muktazilah. Antara yang terkesan dengan idealogi beliau, ialah Abu Ali al Juba’ie (849-916) yang merupakan bapa tiri kepada Imam Abu Hassan al Asy’ari pengasas Aliran Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan merupakan keturunan Sahabat Baginda S.A.W, Abu Musa al Asy’ariy yang diceritakan di awal tadi.

Abu Ali al Juba’ie antara yang terkesan dengan perkembangan falsafah di zamannya. Antaranya beliau bermusafir ke Basrah seawal umur kanak-kanak. Beliau hidup di dalam suasana ‘ilmu kalam’ dan membesar sebagai tokoh Muktazilah. Muktazilah berkembang hebat sambil didukungi oleh Khalifah sehinggalah mewujudkan satu suasana bidaah yang cukup besar ketika itu.

Di saat inilah munculnya Imam Ath Thahawi (wafat 933) dari Mesir menyusun ilmu Tauhid dengan meletakkan sebanyak 105 point sebagai pegangan utama yang bersandarkan kepada dalil yang shahih. Manakala Imam Maturidi (wafat 944) dari Uzbekistan juga menyusun ilmu Tauhid. Antara yang sezaman dengan Imam Thahawi dan Imam Maturidi, ialah Abu Hassan al Asy’ariy (873-936) yang tinggal di Iraq.

Pertentangan dengan Muktazilah dan golongan Sufism

Imam Abu Hassan al Asy’ari merupakan anak tiri Abu Ali al Juba’ie. Imam Abu Hassan pada permulaannya mendalami ilmu kalam daripada Abu Ali al Jubaie sehinggalah sampai satu masa bapa tirinya itu tidak mampu menjawab soalan yang dilontarkan oleh beliau. Bermula saat itu, beliau meninggalkan Muktazilah dan menyusun manhaj ilmu Tauhid tersendiri

Walaupun kedua-dua Imam al Maturidi dan Abu al Asy’ariy dikatakan pengasas Ilmu Tauhid Sifat 20, di sana masih ada perselisihan antara mereka. Kedua-dua tokoh ini berhadapan dengan golongan Muktazilah yang banyak bermain akal di zaman mereka di lokasi yang berbeza, iaitu di Basrah (Iraq) dan Uzbekistan. Imam Abu Zuhrah berpendapat bahawa pendekatan Imam al Maturidi lebih dekat dengan penolakan terhadap Muktazilah.

Manakala ahli sufi yang diceritakan di awal tadi semakin menjauhi alam pemerintahan. Mereka banyak berkhalwat, duduk di bukit-bukit dan gua-gua. Imam al Ghazali R.A menukilkan kisah di dalam Minhajul Abidin, apabila menyaksikan betapa banyaknya unsur-unsur merapu yang dilakukan oleh Muktazilah, Abu Ishaq al Isfirayayni (949-1027) pergi ke kawasan bukit di Lubnan dan menyeru ahli-ahli sufi yang sedang berkhalwat di sana:



يا أكلة الحشيش تركتم أمة محمد صلى اللـه عليه وسلم في أيد المبتدعة واشتغلتم ههنا بأكل الحشيش؟ قالوا إنا لا نقوى على صحبة الناس وإنما أعطاك اللـه قوة فلزم ذلك، فصنف بعده كتابه الجامع بين الجلي والخفي

“Wahai pemakan pemakan ganja, kamu telah meninggalkan Umat Nabi Muhammad S.A.W di tangan pelaku bid’ah, sedangkan kamu di sini sibuk mengunyah ganja?

“Mereka menjawab: Kami tidak mampu lagi untuk bersama masyarakat. Allah bagi kekuatan kepada kamu, teruskanlah. “



Lalu, beliau pun mengarang kitab الجامع بين الجلي والخفي

HARAKAHDAILY 27/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.