Tahniah pasukan Kedah ke perlawanan akhir

POKOK SENA: Pengerusi Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Sukan PAS Kedah, Muhamad Radhi Md Din, mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Kedah kerana berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

Advertisement

Menurut beliau, keputusan seri 5-5 pada perlawanan separuh akhir kedua antara Kedah dan Pahang malam tadi di Stadium Sultan Ahmad Shah, Kuantan membolehkan pasukan negeri Jelapang Padi itu melayakkan diri ke perlawanan akhir.

“Kejayaan Kedah menjaringkan lima gol pada malam tadi menjadikan pasukan itu layak ke perlawanan akhir.

“Keputusan seri 5-5 menjadikan ‘aggregate’ 8-8 dan Kedah layak atas away goal,” jelas bekas jurulatih pasukan bola sepak Kedah itu.

Justeru itu, beliau mengharapkan kemenangan berpihak kepada Kedah pada perlawanan akhir menentang JDT yang dijadualkan pada 2 November ini.

Katanya lagi, malam tadi kedua-dua pasukan mempamerkan kesungguhan yang tinggi dan dilihat semua para pemain begitu komitmen berjuang untuk kemenangan pasukan masing-masing.

“Mereka berjaya memberi kepuasan kepada para penyokong atas mutu perlawanan yang baik.

“Tahniah kepada semua pemain dan para jurulatih di atas kesungguhan dan komitmen yang padu ini,” sambung beliau lagi. – HARAKAHDAILY 27/10/2019