‘Jamin’ masa depan anak cucu dengan Islam

    IPOH: Agenda Penyatuan Ummah bermatlamat untuk mengembalikan pemerintahan Islam yang adil kepada semua, selain umat Islam wajib sedar betapa mereka tidak boleh berada dalam zon selesa kerana telah mempunyai tanah dan rumah.

    Advertisement

    Demikian intipati dipertegaskan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dalam ucapannya pada program Gelombang Munajat AKIFI yang telah dilangsungkan di Wisma Umno Ipoh Timur, di sini baru-baru ini.

    “Sedangkan masa depan anak cucu kita belum tentu lagi dapat menikmati keselesaan dan keamanan di tanah air sendiri jika kita tidak bersungguh mempertahankannya.

    “Umat Islam seharusnya menjadikan sejarah terdahulu sebagai iktibar sepertimana Kerajaan Islam di Andalusia yang telah memimpin selama 800 tahun, namun dalam sekelip mata beralih pemerintahan kepada tentera salib.

    “Ianya disebabkan oleh kealpaan umat Islam yang berpecah belah dan menjadi lemah yang mengakibatkan ramai terbunuh dan dipaksa memeluk agama Kristian,” ucapannya.

    Program ini telah dijayakan Muslimat PAS Kawasan dan Wanita Umno Bahagian bagi Parlimen Ipoh Timur dengan pengisian al-Mathurat, doam solat fardu berjemaah dan tazkirah ringkas pimpinan Ustazah Nuridah sendiri.

    Justeru, Ustazah Nuridah mengajak Muslimat dan Wanita memastikan diri, keluarga, masyarakat dan kepimpinan negara Malaysia ini memartabatkan Islam dalam segenap lapangan dan urusan kehidupan.

    Tegasnya, ternyata hanya Islam agama yang memberi keamanan dan keselamatan buat semua, malah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk memastikan risalah Islam ini dihayati dan diperjuangkan dalam kehidupan secara keseluruhannya.

    Sementara itu, Ketua Muslimat PAS Ipoh Timur, Hanisah Hassan berkata, gelombang ummah ini hanya boleh berlaku dan kuat apabila umat Islam bersatu padu di atas nama dan roh untuk mempertahankan Islam.

    “Sekali gus (melalui program ini) menyuntik obor perjuangan dalam kalangan peserta melalui penekanan tiga elemen utama iaitu Alim, Haraki dan Sufi yang harus difahami,” ujarnya.

    Hadir memimpin Wanita Umno pada majlis itu adalah Ketua Wanita Umno Ipoh Timur, Maisarah Abdullah bersama menjayakan agenda penuh sejarah kedua pihak itu. – HARAKAHDAILY 28/10/2019