Media PAS Perak bersiap ketengah keupayaan PAS

TAMBUN: Kebolehan tokoh-tokoh PAS dalam pelbagai aspek haruslah ditonjolkan melalui laporan pemberitaan bagi memberi keyakinan kepada masyarakat khususnya betapa parti ini berkemampuan memimpin hal ehwal rakyat.

Advertisement

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, medium berita perlu dimanfaatkan semaksimumnya untuk memperkenal pimpinan PAS serta mengenengahkan agenda Islam yang dapat diterjemah ke kehidupan rakyat.

Menurut beliau, PAS Perak kini sentiasa dinamik dengan perubahan media massa khususnya alam maya dalam menjadikan penyampaian maklumat lebih efektif dan boleh dilaksanakan bagi memugar minda serta keupayaan pimpinan PAS.

“Ianya terbukti berjaya apabila PAS Perak berada di kedudukan tertinggi dalam pemberitaan di HarakahDaily seluruh Malaysia berbanding negeri-negeri lain sehingga kini.

“Usaha berterusan para pemberita amat penting untuk menyampaikan pandangan pimpinan terhadap isu semasa kepada awam dalam segala perspektif dan tidak hanya dilihat mahir bidang agama sahaja,” ujarnya yang juga Adun Gunung Semanggol.

Saranan tersebut disampaikan beliau dalam Majlis Perasmian Penutup Kursus Editorial Harakah Peringkat Negeri Perak di Pusat Tarbiyah PAS Kawasan Tambun, Taman Meru di sini kelmarin. 

Kursus bagi peringkat Editor ini sebagai lanjutan kepada kursus kewartawanan yang telah dilaksanakan sebelum ini bersama Pengarang Harakahdaily, Ustaz Izwan Abdul Halim menerusi bimbingan secara teori dan praktikal.

Sebelum itu, Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri dalam ucapannya menegaskan para Wartawan Rakyat juga berperanan menyebarkan mesej Islam melalui pemberitaan kepada orang bukan Islam.

“Terus perkemaskan jentera penerangan dan media agar lebih ke hadapan dalam memastikan maklumat tepat mengenai PAS sampai kepada masyarakat keseluruhannya,” pesan beliau menyuntik kesepaduan gerak kerja peserta.

Program ini dihadiri Ketua Penerangan PAS Kawasan bersama Ketua Wartawan Rakyat Kawasan seluruh negeri Perak yang sekali gus menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha memperkasa agenda penerangan dan media baru. – HARAKAHDAILY 28/10/2019