PAS usaha insafkan Umno untuk Penyatuan Ummah

IMG 20191029 WA0001

PADANG RENGAS: Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin mendedahkan bahawa PAS telah lama berhasrat untuk ‘melemahkan’ Umno sebagai suatu strategi ke arah Penyatuan Ummah yang akhirnya berlaku pada hari ini.

Advertisement

“Dalam satu Liqa’ Fikri yang dianjurkan oleh PAS di Pulau Pangkor tiga tahun sebelum PRU14, kita bincang. Tetapi saya tertarik dengan ucapan Presiden PAS pada ketika itu. Dia sebut, kita kena berusaha untuk melemahkan Umno.

“Ustaz (Abdul) Hadi (Awang) cakap begitu, saya catit. Sebab saya rasa luar biasa,” dedah beliau semasa berucap pada Ceramah Ummah Muafakat Nasional anjuran PAS Kawasan Padang Rengas di Musolla Al-Ehsan, Kampung Paya Ranggam, di sini kelmarin dahulu.

Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Dr Fathul Bari Mat Jahya serta Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Ahli Jawatankuasa Umno Perak, Dato’ Mohamad Khusairi Abdul Talib.

Namun, strategi PAS itu jelas beliau bukan semata-mata untuk meraih kuasa atau meraih kepentingan sempit peribadi, bahkan untuk kebaikan umat Islam di Malaysia yang diumpamakan seperti ‘orang celik di dalam bilik gelap’.

“Kita kena lemahkan Umno. Untuk apa? Untuk Umno insaf. Waktu tu kita ajak, marilah kita ‘nyalakan api’ supaya orang ‘celik’ dapat lihat. (Tapi) Umno tak layan. Dia layan sikit-sikit. Kalau pakai mancis, tu sekejap padam, sekejap padam.

“Tak boleh (begini). Bahaya ni (untuk umat Islam). Kita mesti lemahkan Umno untuk dia insaf. Bukan untuk kita ambil tempat tu,” ujar beliau menerangkan matlamat dilaksanakan itu.

Justeru menurut beliau lagi, PAS memutuskan untuk meletakkan calon di lebih 150 kerusi Parlimen pada PRU14 yang mengakibatkan PAS kehilangan wang deposit pilihan raya melebihi RM600,000.

“Maka ini hikmah Tuhan. Kalahkan Umno, PAS pun kalah, DAP mula naik tunjuk taring (dan) PAN jadi ‘Pak Turut’ kepada DAP. (Lalu ia) membawa cahaya yang mula menyinar. Menyebabkan orang Melayu beragama Islam merasakan perlunya kita ‘nyalakan api’ ini dengan lebih cepat,” jelasnya.

Hinggalah akhirnya pada ada 14 September lalu termeterai Piagam Muafakat Nasional di antara PAS dan Umno yang menurut Tuan Guru Hashim bekas Adun Arau itu, telah mengubah landskap politik umat Islam di Malaysia.

“Minta maaf saya sebut. Dato’ Dr (Fathul Bari) yang sebelum itu bertanding (di) tempat saya. Ayah dia tu kawan baik saya. Dia (Fathul Bari sanggup) pi lawan.

“(Tetapi) hari ini kami seronok duduk dalam satu pentas. Itu cara Allah menentukan bagaimana nak satukan antara orang Umno dengan PAS,” ujar beliau di akhir ucapan. – HARAKAHDAILY 29/10/2019