Perebutan Hanipa dan Khalid bukan lagi rahsia

KUALA LUMPUR 06 OGOS 2018. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin ketika sidang media pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. NSTP/ASYRAF HAMZAH

MASALAH perebutan sesuatu perkara dalam politik tidak dapat dielakkan. Ia adalah kerana persaingan yang sangat kuat bagi mencapai kedudukan. Apabila ada kedudukan, maka akan adalah kuasa. Justeru, untuk mendapatkan semua itu pada peringkat teratas, ahli politik perlu mengadakan kumpulan sokongan mereka sendiri. Biasa juga dipanggil kartel. Dan bagi kartel yang kuat, pasti ramai yang mengimpikan menjadi salah seorang darinya.

Dalam PAN juga tidak terkecuali. Bagi yang memahami gerak langkah ahli politik, tidak sukar membaca keadaan pergolakan antara kepimpinan PAN yang sekarang cuba menunjukkan taring masing-masing. Selepas beberapa nama besar PAN telah tumbang walaupun diberikan peluang sekali lagi setelah kalah pusingan pertama dahulu. Pastinya mereka yang masih ada, takut ditendang sekali lagi. Apatah lagi dengan ratusan cawangan PAN yang bersiko dibatalkan.

Apabila Hanipa Maidin membuat hantaran dalam FB beliau semalam berkenaan asobiyyah, ia menyerlahkan lagi benarnya perebutan dalam yang amat sukar disembunyikan itu. Ia dihantar kira-kira dua hari selepas Khalid Samad mengkritik PM, Tun Mahathir atas makna rasis diberikan PM yang bagi Khalid sangat menyeleweng. Cuma bezanya, Hanipa memilih menyerang Presiden PAS, sasaran kesukaan beliau, semenjak ketika dalam PAS lagi.

Hanipa ‘menganjing’ Presiden PAS dengan katanya pesan Presiden PAS jangan berjuang atas dasar assobiyah. Itu yang beliau diajarkan dahulu. Namun sekarang Presiden PAS pula berjuang asobiyyah bersama Umno, katanya. Dan tidak terhenti di situ sahaja, Hanipa menyuruh Presiden PAS bersara selagi masih waras. Agak pelik dengan kenyataan Hanipa ini bila dia menyuruh Presiden PAS bersara ketika masih waras. Oleh kerana Presiden PAS waraslah maka beliau berkata ‘kesabaran kami ada had, henti tuduh orang Melayu ‘rasis’. Hanipa mengaku Presiden PAS masih waras. Jika beliau tidak waras seperti Hanipa, pastinya beliau menyokong DAP sekarang yang semakin ‘gila’ dengan tindakan-tindakan mereka.

Saya juga menyertai banyak usrah-usrah, kuliah-kuliah dan juga ceramah-ceramah politik PAS. Saya dengar dan faham dengan jelas bahawa menyokong sesama bangsa dibolehkan selama mana ianya membawa kebaikan. Yang diharamkan menyokong apabila ianya di atas nama dan kebatilan. Sebagaimana PAN menyokong DAP sekarang, walaupun bukan asobiyyah, Hanipa keturunan  India dan majoriti DAP dari keturunan Cina, tetapi atas nama kebatilan seperti DAP menyeru untuk mendirikan negara Kristian dan mengagungkan Komunis, ia adalah haram.

Sikap kasih sayang Nabi kepada bangsa Arab, kerana kasihkan mereka, adakah dilihat sebagai asobiyyah? Pastinya tidak, kerana fitrah manusia mengasihi orang yang dekat dengan mereka. Apabila Rasulullah berdakwah, Baginda pergi ke kaum Baginda dahulu. Sama juga dengan para Rasul yang lain, diutuskan kepada kaum mereka. Tetapi Rasulullah memberi amaran, jika Fatimah, anak kesayangan Baginda mencuri, maka tangannya akan dipotong. Tidak dibantu dalam hal kebatilan, walaupun keluarga. Jika dituduh PAS melindungi orang Umno, biarkan didapati bersalah dahulu oleh mahkamah. Itu prinsip PAS.

Dalam pada Hanipa cuba menjadi pakar psikiatrik dan sekali gus ulamak menafsirkan secara salah hadis, beberapa hari lalu, tular sedutan video dia dengan jelas menghina Ahli Parlimen Pengerang dengan mengatakan Azalina dilihat sekejap lelaki, sekejap perempuan. Tafsir Quran mana pula agaknya dia pakai? Ya Azalina tak tutup aurat, itu dosa, kita tidak nafikan. Tetapi hina? Adakah Ahmad Awang yang ajar tafsir baru? Jelas di sini kita dapat melihat siapa sebenarnya yang tidak waras. Kitab agama dibuka dan disyarah kepada lawan, tetapi diri, bebas berbuat dosa.

Saya tidak hairan, nanti ditafsirkan pula Hanipa ayat:

Advertisement



“Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasulnya dan ulil amri di kalangan kamu”



Sebagai kewajipan taat kepada DAP dengan ketaatan sebagai khalifah. Mungkinkah bagi PAN, inilah yang dimaksudkan tafisran ayat, dengan berlumba-lumba berbuat kebaikan? Bagi kebaikan DAP, mungkin? Bukan boleh buat kira dengan si gila, lagikan tuhan, zat termulia, pernah dia pernah buat main-main, ‘kalau saya jadi tuhan’. Apalah sangat hukum yang lain, kan?

Maka apabila Khalid Samad dipuji oleh bukan Melayu Islam, bagaikan pahlawan Malaysia Baru di mata DAP atas definisi dan makna rasis itu, Hanipa pasti tidak akan membiarkan kepujian itu hanya kepada Khalid. Mesti juga dia mahu merangkulnya. Tetapi kalau dihentam juga PM, orang akan nampak seperti meniru. Jadi Presiden PAS lah yang paling sesuai untuk dibelasah atas nama asobiyyah yang didakwa dia belajar itu dahulu.

Khalid Samad sudah agak jauh meninggalkan Hanipa. Khalid menjadi Menteri penuh, Hanipa hanya Timbalan. Khalid sudah hampir menyelesaikan masalah pengambilan tanah di Kampung Baru, dengan penawaran terakhir ialah mungkin akan digunakan akta pengambilan tanah secara paksa, setelah cara memujuk kelihatan gagal. Manakala Hanipa hanya mampu ketawa sendiri atas lawak yang dia buat di Parlimen. Pastinya DAP lebih memuji Khalid.

Dalam PAN, apabila dipuji dan dipuja DAP, maka amat cerahlah peluang diangkat ke jawatan yang lebih tinggi. Dan jika sudah sampai ‘level’ dapat bertepuk tampar tangan bersama sebagaimana Presiden PAN dengan Setiausaha Agung DAP, maka ianya suatu tuah sebagaimana tuah ayam yang nampak di kaki. Ingat tak Khalid meraikan tahun ayam bersama DAP dahulu? Hanipa juga sebenarnya seberani Khalid, dia boleh pergi jauh, tetapi memerlukan sedikit masa lagi. Sabarlah Hanipa, namamu juga pasti akan dikenang DAP sebagai salah satu kartel mereka. Tetapi jika tidak sempat di dunia, mungkin nanti akan diukir di nesanmu.

MOHD NASIR ABDULLAH
28 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 28/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.