Risikan dan waspada: Antara sunnah yang dilupakan

PERISIKAN Nabi Muhammad S.A.W dalam perang

Advertisement

Umat Islam hari ini dilihat terikat dengan acuan pemikiran Sekularism, seolah-olah begitu sukar untuk melepaskan diri daripada rantaian ini. Antara faktor utamanya ialah ketebalan radiasi Sekularism sepertimana yang pernah diceritakan sebelum ini di dalam artikel ‘Sekularism, Kapitalism dan Sosialism’ [1]. Maka, apabila membaca Hadis-hadis Nabi S.A.W, atau Sunnah Baginda S.A.W seperti terikat dengan sesuatu.

Dalam konteks sirah Nabi S.A.W, dalam siri-siri peperangan, Nabi S.A.W menghantar perisik untuk mengkaji kekuatan musuh, dan juga sistem rondaan. Perisikan atau pengintipan bermaksud mendapatkan maklumat pihak musuh dari sudut ‘kekuatan’ harta benda, persenjataan, pergerakan, perancangan dan tujuan. Kaedahnya ialah dengan cara menghantar beberapa individu ke satu tempat yang dijangka menjadi laluan musuh.

Perisik hanya dihantar untuk mengumpulkan maklumat-maklumat yang perlu tentang pihak musuh, dan tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti dengan pihak musuh bagi mengelakkan sebarang ke’kantoi’an. Daripada maklumat yang dikumpulkan, diproses dan dianalisa untuk mengatur strategi. Contohnya, Nabi Muhammad S.A.W telah melantik dua orang perisik dalam Perang Badar.

Mereka ialah Bisbis bin Amru dan Addi bin Abu al-Za’ba yang bertujuan menjejaki pihak musuh sebelum berlakunya perang tersebut. Selain itu, dalam peristiwa yang lain Baginda S.A.W juga menghantar perisik dalam kumpulan yang berlainan, terdiri daripada 15 hingga 30 orang dan peronda penyerang yang terdiri daripada 50 hingga 500 orang ke sekitar kawasan Mekah, Madinah dan tempat-tempat lain di Semenanjung Arab.

Perisikan Nabi Musa A.S terhadap Palestin 

Para Sahabat R.A ada yang dilatih dengan istilah-istilah ketenteraan, tanda-tanda rahsia dan kod perkataan. Hal ini telah dikaji oleh para ulamak antaranya Syeikh Sofiurrahman al Mubarakfuri (الرحيق المختوم). Kajian kontemporari antaranya غزوات الرسول karangan Dr Ali as Sullabi dan kertas kerja bertajuk ‘Peperangan Nabi Muhammad S.A.W: Analisa Strategi Peperangan Dan Pertahanan’ Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) pada tahun 2010

Hari ini Umat Islam, tidak menganggap kajian terhadap musuh itu adalah satu perkara yang penting. Mereka menganggap bahawa cukup sekadar bina kekuatan, musuh akan gerun, sambil sambil menceritakan kisah-kisah agung zaman Nuruddin Zinki dan Salahuddin al Ayyubi. Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa kedua-dua tokoh pendekar Islam ini melakukan sunnah Nabi S.A.W yang disebut sebagai risikan.

Bahkan risikan itu diceritakan oleh Allah S.W.T:

وَلَقَدْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَبَعَثْنَا مِنْهُمُ اثْنَيْ عَشَرَ نَقِيبًا ۖ وَقَالَ اللَّهُ إِنِّي مَعَكُمْ ۖ لَئِنْ أَقَمْتُمُ الصَّلَاةَ وَآتَيْتُمُ الزَّكَاةَ وَآمَنتُم بِرُسُلِي وَعَزَّرْتُمُوهُمْ وَأَقْرَضْتُمُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا لَّأُكَفِّرَنَّ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَلَأُدْخِلَنَّكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۚ فَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ مِنكُمْ فَقَدْ ضَلَّ سَوَاءَ السَّبِيلِ (12)

“Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): “Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan agama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul”

(al-Maidah: 12)

Imam Ibnu Kathir menceritakan di dalam Tafsirnya dan juga kitabnya Qashasul Anbiya bahawa selepas Allah S.W.T mewahyukan kepada Nabi Musa A.S untuk masuk ke Palestin, Nabi Musa A.S telah memilih 12 orang naqib untuk dihantar ke sana merisik geopolitik negara tersebut. Dalam risikan tersebut mereka mendapati orang-orang yang menguasai Palestin ketika itu bertubuh badan besar, dan dikatakan mereka adalah Bangsa Kanaan.

Para nuqaba yang bertugas di bahagian risikan ini pulang dan memberi laporan risikan mereka kepada Nabi Musa A.S. Mereka juga diminta menjaga rahsia risikan mereka itu daripada pengetahuan umum. Malangnya seramai 10 orang di kalangan mereka membocorkan rahsia, melanggar arahan Nabi Musa A.S. Melainkan 2 orang sahaja, iaitu Yusha’ bin Nun dan Kalib bin Yufana. Lalu apabila laporan itu tersebar, ramai dari kalangan Bani Israel enggan mematuhi arahan daripada Allah S.W.T yang menyuruh mereka masuk ke Palestin.

Kewaspadaan terhadap infiltration (Penyusupan)

Kisah tadi jelas menceritakan bagaimana Nabi Musa A.S juga melakukan risikan untuk mengetahui suasana negara yang akan dimasuki oleh mereka sepertimana yang telah diarahkan oleh Allah S.W.T. Malangnya sebahagian besar dari kalangan perisik itu membocorkan rahsia menyebabkan sebahagian besar Bani Israel tidak mahu turut serta dalam melaksanakan arahan Allah S.W.T itu.

Selain daripada perisikan, Nabi S.A.W juga menekankan aspek kewaspadaan. Kewaspadaan merupakan sunnah Nabi S.A.W yang dilihat semakin diabaikan oleh Umat Islam hari ini. Antara yang disebut oleh Allah S.W.T secara jelas di dalam al Quran adalah kewaspadaan terhadap penyusupan (infiltration) orang munafik:

وَإِذَا رَأَیۡتَهُمۡ تُعۡجِبُكَ أَجۡسَامُهُمۡۖ وَإِن یَقُولُوا۟ تَسۡمَعۡ لِقَوۡلِهِمۡۖ كَأَنَّهُمۡ خُشُبࣱ مُّسَنَّدَةࣱۖ یَحۡسَبُونَ كُلَّ صَیۡحَةٍ عَلَیۡهِمۡۚ هُمُ ٱلۡعَدُوُّ فَٱحۡذَرۡهُمۡۚ قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُۖ أَنَّىٰ یُؤۡفَكُونَ

“Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya – dari kebenaran)?” 

(al-Munafiqun: 4)

Beberapa perkara yang perlu diberi perhatian di dalam ayat ini, iaitu secara lumrahnya, Umat Islam akan terpegun dengan fizikal dan kata-kata Munafiq. Ke’terpegun’an ini disebut sebagai satu penyakit ‘kesilauan’ الانبهار. Daripada sini kita boleh faham bahawa Umat Islam biasanya mudah tertipu dengan orang munafik, lalu Allah S.W.T menegaskan supaya perlu berwaspada terhadap mereka.

Kewaspadaan terhadap Liberalism

Allah S.W.T berfirman:

وَأَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِیعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَٱحۡذَرُوا۟ۚ فَإِن تَوَلَّیۡتُمۡ فَٱعۡلَمُوۤا۟ أَنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلۡبَلَـٰغُ ٱلۡمُبِینُ

“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.” 

(al Maidah: 92)

Berdasarkan ayat ini, Allah S.W.T menyuruh kita berwaspada daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah S.W.T seperti judi dan arak yang ditekankan di dalam ayat sebelumnya. Di dalam sejarah Islam mencatatkan bagaimana munculnya idealogi Murji’ah yang meringan-ringankan dosa besar. Mereka menganggap dosa besar itu tidak membawa kepada kekufuran pun.

Atau dengan bahasa lain mereka tidak berwaspada terhadap larangan Allah S.W.T dan mereka meremehkan kewajipan Agama. Setelah itu, munculnya idealogi Muktazilah, yang dikatakan menolak idealogi Murji’ah. Muktazilah mengatakan bahawa mereka yang melakukan dosa besar adalah fasiq dan akan berkekalan di dalam neraka sepertimana orang kafir. Sifir logik mereka ini tersimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Cumanya hari ini Muktazilah dan Murji’ah muncul semula dalam watak Liberal. Iaitu mereka yang menganggap akal adalah segala-galanya. Dalam masa yang sama mereka meremehkan kewajipan syara’. Mereka membawa idealogi ‘tidak mahu terikat dengan sebarang ikatan agama’. Lalu mereka mempromosikan kepada mana-mana orang Islam yang merasa dikongkong oleh Agama, walhal mereka cuba melahirkan golongan yang liar.

Umat Islam yang sukar menerima sejarah hitamnya

Kewaspadaan terhadap infiltration  penyusupan munafik atau intelligent dan kewaspadaan terhadap perkara-perkara yang terlarang merupakan salah satu tuntutan Islam. Umat Islam yang berada dalam keadaan ‘terlalu selesa’ menjadikan mereka hilang kewaspadaan terhadap perancangan musuh Islam. Umat Islam yang berada dalam keadaan ‘husnuzzon’ terhadap Liberal juga menyebabkan hilangnya sifat kewaspadaan.

Antara dalih-dalih mereka, ‘orang jahat tak ada masalah sebab akhirnya akan ke syurga jua asalkan beriman’. Antara lain, mereka mewujudkan fenomena ‘perempuan yang tidak bertudung boleh jadi lebih mulia daripada orang yang bertudung tetapi jahat’. Ada juga yang berperanan mempotretkan Islam dengan wajah pengganas, teroris, jumud dan sebagainya. Ia bertujuan supaya mencetuskan kecenderungan kepada Liberal sebagai tindak balas terhadap Islamophobia.

Apabila menceritakan tentang sejarah gerakan Islam yang telah terpesong akibat infiltration, mereka sukar nak percaya atas alasan menjaga kesatuan. Sedangkan banyak sejarah telah mencatatkan peristiwa ini. Apabila diceritakan tentang perjuangan gerakan Islam, mereka ‘boleh faham’. Tetapi apabila diceritakan tentang intelligent Snouck Hugronje yang menjahanamkan Kerajaan Acheh, mereka sukar nak fahami.

Apabila diceritakan tentang Lawrance Arabia yang menghasut Syarif Hussein untuk mencetuskan Arab Revolt 1916 menentang khalifah, mereka ‘berhusnuzzon‘. Mereka mengatakan ‘takkanlah seorang ulamak Islam sebodoh itu, sehingga begitu mudah dipergunakan’. Walhal sejarah telah mencatatkan segala-galanya. Hanya perlu melapangkan dada untuk tidak terjerat berkali kali.

Apabila memandang sebelah mata terhadap strategi musuh

Di dalam Hadis Shahih, Nabi S.A.W bersabda:

لا يلدغ المؤمن من حجر واحد مرتين

“Orang yang beriman tidak dipatuk dua kali daripada lubang yang sama”

Kita sudah pun maklum bahawa Hadis Shahih dijadikan sumber hukum. Bahkan hadis di atas menceritakan tentang kewaspadaan bagi seorang yang dikatakan beriman. Sepatutnya mereka itu tidak terpatuk dua kali. Namun, dalam sejarah Islam, umat Islam sudah berkali-kali dipatuk, dan di saat itu jugalah tidak mengambil pengajaran.

Justeru, kita sebagai Umat Islam perlu meneliti sunnah ini sebagai sebagai satu keperluan. Bukan hanya melihat sunnah itu hanya sekadar di tikar sembahyang atau terkurung di dalam masjid, akan tetapi dilaksanakan sebagai sebuah sistem kenegaraan dan membina strategi perancangan berhadapan dengan musuh.

Amerika menubuhkan pelbagai cabang untuk memerangi Umat Islam yang telah saya ceritakan di dalam artikel sebelum ini, yang bertajuk ‘Amerika : Agenda, Rangkaian Dan Tajaan’ [2]. Mereka bukan sekadar memerangi Umat Islam dengan strategi yang terancang, tetapi mereka juga merancang untuk menyekat mana-mana kuasa yang berpotensi untuk menjadi pesaingnya.

Manakala Umat Islam hari ini, apabila diceritakan tentang strategi dan perancangan musuh, mereka memejam sebelah mata seolah-olah kaedah ini tiada dalam Islam. Mereka pula yang rasa tidak selesa dengan pembentangan ini. Mereka katakan ‘asyik Yahudi je, bila nak cerita tentang Islam?’. Walhal meneliti perancangan musuh merupakan sebahagian daripada Islam.

[1] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1215189002007904/
.
[2] https://www.facebook.com/251201991739948/posts/1217101308483340/HARAKAHDAILY 28/10/2019

PENAFIAN:
HarakahDaily  tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.