Kenapa Umno kalah dan PAS tak menang?

PADANG RENGAS: Kekalahan Umno dan kegagalan PAS mencapai kemenangan memerintah tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya kerana kedua parti belum memenuhi tuntutan agama kepada diri, antara satu sama lain dan juga masyarakat.

Advertisement

Muhasabah dan teguran yang sangat menginsafkan ini diungkapkan Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin dengan merujuk kepada perihal ikatan sesama saudara seagama serta peranan dakwah dalam mengenalkan semua pihak kepada Islam.

Perkara tersebut dinyatakan beliau sebagai nasihat terbuka ketika menyampaikan Ceramah Ummah Muafakat Nasional anjuran PAS Kawasan Padang Rengas di Musolla Al-Ehsan, Kampung Paya Ranggam, di sini kelmarin dahulu.

Beliau menyeru keikhlasan kedua-dua pihak iaitu Umno perlu menginsafi kesalahan yang telah dilakukan selama ini, manakala PAS mesti menerima dan memaafkan kesilapan pernah dibuatkan oleh saudara seagama mereka itu.

Kedua-dua parti juga menurutnya, perlu menggerakkan usaha ke dalam kalangan rakyat iaitulah dengan ‘menyalakan cahaya’ untuk menyuluh hakikat sebenar yang berada di depan mata masyarakat kerana adanya kebutaan dalam diri.

“Orang yang ‘buta’ tidak akan nampak hakikat sebenar di depan matanya walaupun diterangi dengan seberapa banyak mana lampu. ‘Cahaya’ ini tidak akan berguna bagi orang yang ‘buta’ ini.

“Sebab (mereka itu butalah) ada suara-suara sumbang daripada orang Islam sendiri yang tidak senang dengan usaha kita (PAS-Umno) buat iaitu menandatangani Piagam Penyatuan Ummah.

“Sepatutnya dia juga berasa gembira. Pasal apa (tak gembira)? (Sebab) Dia duduk dalam ‘gelap’, mata pula ‘buta’. Yang sebenar ‘buta’ itu adalah hati yang ada di dada,” ujarnya sambil memetik ayat 46 surah al-Haj.

Turut berucap adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya serta Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Ahli Jawatankuasa Umno Perak, Dato’ Mohamad Khusairi Abdul Talib. – HARAKAHDAILY 29/10/2019