Perpaduan ummah mampu tangani propaganda DAP

TAMBUN: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria mengingatkan masyarakat bahawa agenda Malaysian Malaysia DAP mesti dihadapi dengan memperkuatkan perpaduan ummah ke arah mengembalikan negara kepada asas sebenar.

Advertisement

Menurut beliau, terbaru agenda DAP tersebut cuba meracuni pemikiran para pelajar dan masyarakat melalui pengedaran komik propaganda Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama yang diedarkan ke sekolah-sekolah.

Bidas beliau, menerusi terbitan dan edaran komik tersebut, kandungannya memaparkan pemesongan fakta sejarah yang diubah, termasuk mengiktiraf perjuangan Komunis, selain penerapan unsur Liberal di mana ia boleh menggugat keamanan.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena kehadirannya pada majlis Kenduri Rakyat anjuran bersama PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Tambun yang dilangsungkan di Dataran Sunway, di sini kelmarin.

Sehubungan itu serunya, perpaduan ummah mesti diperkuatkan bersama rakyat berbilang kaum dan memelihara kesejahteraan dan keamanan negara yang ditegakkan dengan kerangka Perlembagaan dan Kontrak Sosial dipersetujui selama ini.

Jelas beliau, dukungan tersebut ke arah mengembalikan pemerintahan bertunjangkan Islam di mana semua perkara berkaitan kedudukan agama Islam, Raja-raja Melayu, Bahasa Kebangsaan dan hak istimewa dipertahankan.

Majlis tersebut meraikan pasangan pengantin yang merupakan anak kepada Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Tambun, Mohammed Kahar Mohd Soam dengan Ketua Pemuda Cawangan Kampung Manjoi Lama, Ustaz Meor Rashidi Zainuddin.

Turut berucap adalah Ketua Penerangan Umno Perak, Dato’ Zulkifli Harun dan Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said serta dihadiri Bendahari PAS Perak, Ismail Ariffin dan Ketua Umno Tambun, Dato’ Aminuddin Md Hanafiah.

Majlis yang dihadiri sekitar 2,000 tetamu ini telah dijayakan secara gotong-royong oleh PAS dan Umno, selain turut dibuka kaunter daftar pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR). – HARAKAHDAILY 29/10/2019