Aerobikton ruang wanita bersenam ikut syariat

RAUB: Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi Muslimat PAS Negeri Pahang dan Kawasan Raub telah bersama menyahut cabaran kecergasan sempena sambutan Bulan Sukan Negara, baru-baru ini.

Advertisement

Sehubungan itu, telah dianjurkan Hari Terbuka Aerobikton Muslimah yang telah dilangsungkan dengan jayanya bersama penglibatan Puteri Umno di Dewan Taman Kemajuan Simpang Kallang, di sini.

Program yang dilaksanakan Muslimat PAS di seluruh negara ini telah disertai lebih 50 peserta yang mewakili Zon Barat Pahang iaitu melibatkan Kawasan Bentong, Cameron Highlands, Lipis dan Raub.

Semua peserta dalam kalangan wanita ini telah melakukan senaman aerobik dalam premis tertutup menerusi bimbingan dua jurulatih khas selain turut diadakan sesi pemeriksaan kesihatan dan cabutan bertuah.

Para peserta juga dihidangkan dengan pengisian rohani disampaikan penceramah jemputan dari Aura Imtiyaz Training and Consultancy Bentong, Ustazah Hanisah Afandy.

Hadir sama adalah Ketua Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi Muslimat PAS Pahang, Nor Atikah Rozemi serta Ketua Muslimat PAS Kawasan Raub dan Bentong, Roslin Mat Jidin dan Habidah Salleh. – HARAKAHDAILY 30/10/2019 

IMG 20191030 WA0000