Razman santuni lagenda emas sepak takraw negara

PASIR SALAK: Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria telah berkunjung menziarahi lagenda sepak takraw negara, Rehan Mohamad Din, 52, di kediaman beliau di Chenderong Balai, di sini semalam.

Advertisement

Turut hadir bersama Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Pasir Salak, Yusof Abdullah dan Ketua Pemuda PAS Pasir Salak, Ustaz Iqbal Mohamad serta Ahli Jawatankuasa PAS Pasir Salak yang lain.

Lawatan rombongan ini bertujuan menyantuni wira negara tersebut yang dikhabarkan dalam keadaan tidak sihat berikutan masalah jantung dialami olehnya.

“Beliau merupakan wira yang banyak mengharumkan nama negara. Antaranya berjaya menewaskan regu bintang paling gemilang Thailand, Pakdee Daengwatanapaibul pada Sukan Sea XV tahun 1989 yang memiliki servis tajam dan digeruni,” ulas Razman.

Menurut Razman, kini Rehan hanya bertugas sebagai Siak Masjid Jamek Al-Muhajirin dengan pendapatan sekitar RM600 sebulan, manakala isterinya, Noor Masita Amir bekerja sebagai tukang jahit di rumah.

Mereka yang hadir pada kunjungan ini dikhabarkan bahawa beliau terpaksa bakal menjalani pembedahan jantung yang akan memakan kos yang tinggi iaitu melebihi RM25,000.

“Berikutan kekangan kewangan semasa yang dihadapi oleh Rehan, beliau terpaksa menangguhkan pembedahan itu. Oleh itu kami mengharapkan sumbangan orang ramai untuk meringankan beban dan melancarkan proses pembedahan beliau,” ujar Razman.

Sumbangan orang ramai boleh disalurkan terus ke akaun beliau, Rehan Mohamad Din di Bank Simpanan Nasional (BSN) nombor 08800-29-00009226-0. – HARAKAHDAILY 30/10/2019