Sarjana PAS Sarawak seru GPS kukuhkan perpaduan

AGAMAWAN PAS Sarawak merasa sangat khuatir dengan provokasi perkauman dan kelakuan menghina agama terutama agama Islam yang kian membara. Islamophobia amat mudah dijentik di Sarawak. Oleh yang demikian, agamawan PAS Sarawak menyeru Kerajaan Negeri terus memberi khidmat yang baik terutama kepada bukan Islam bagi menunjukan komitmen bahawa ajaran Islam bukan agama yang mengganas seperti tafsiran dan salah sangka  pihak tertentu.

Dunia kini cenderung menuduh individu yang berjanggut dan berjubah sebagai pengganas sedangkan ia telah disalahguna oleh pihak tertentu yang mungkin bukan dari kalangan orang Islam. Sarawak dari sudut pemerintahan juga perlu diperkukuhkan, agamawan menggesa GPS mendengar secara terbuka tuntutan serta permasalahan dari kalangan non Muslim di negeri ini agar imej umat Islam terus terjaga.

Jika kuasa negeri ini diberikan kepada mereka yang mahu membalas dendam, beragenda untuk memusuhi umat Islam di Sarawak, kita akan berpecah, kestabilan politik negeri tidak stabil, pergelutan kuasa akan berlaku dan tidak mustahil berlaku pertelingkahan antara kaum seperti di Malaya di mana cenderung berlaku salah faham tentang Islam atau Islamphobia kerana propaganda memburukkan Islam mutakhir ini sangat berleluasa yang turut sama dilakukan oleh parti politik tertentu.

Umat Islam Sarawak pula perlu bersatu bagi memastikan kemakmuran kepada negeri kerana jika pemimpin Islam yang masih berkuasa, mereka terikat dengan ajaran Islam yang mementingkan integriti, perpaduan antara kaum, menjaga penganut agama lain tanpa menyekat hak dan kebebasan mereka dan semua ini tuntutan yang wajib di dalam Islam. Berbanding dengan idealogi kepartian seperti parti lain yang hanya berdasarkan idealogi yang tidak lari dari nafsu mereka.

Umat Islam diminta tidak memberi sokongan kepada pelampau politik dan puak perkauman di Sarawak kerana ia hanya merugikan kita semua dan akan ada pihak yang mengambil kesempatan di sebalik perpecahan kita nanti. Akhirnya Umat Islam lemah dan aqidah kita tidak terjaga.

USTAZ WAN ABDILLAH WAN AHMAD
Timbalan Pesuruhjaya II PAS Sarawak – HARAKAHDAILY 30/10/2019

Advertisement