Menteri ‘main belakang’ isu gabung UMT-UNISZA

SAYA hairan mengapa YB Menteri Pendidikan tidak boleh jadi budiman, ‘gentlemen’ dengan bersikap lebih terbuka seperti YB Menteri Pertahanan yang berada di sebelah beliau yang prihatin untuk mendengar pencelahan dan pandangan yang diberikan wakil rakyat ketika sesi penggulungan perbahasan bajet Kementerian beliau.

Advertisement

Dari awal lagi beliau macam robot, membaca sahaja teks yang dibekal pegawainya. Tak beri laluan untuk wakil rakyat minta penjelasan.

Saya bernasib baik. Akhirnya diberi juga, itu pun jenuh mengasak.

Isu UMT-UNISZA, YB Menteri Pendidikan amat  jelas seperti sudah menetapkan dahulu hala tuju (keputusan gabung dua universiti). Kronologinya pun ia bermula keputusan Kabinet yg diumumkan Menteri pada 4 September 2019.

Hujan tak ada, ribut tak ada! Tiba-tiba! Hanya pada 23 September 2019 baru Lembaga Pengarah UMT bincang. 16 September 2019 Majlis Professor UMT (Sebahagian besar keanggotaan ahli senat UMT), sebulat suara menolak penggabungan.

Jawapan beliau tentang diadakan sesi libat urus dengan semua yang terlibat (pelajar, kakitangan universiti) sarat dengan andaian beliau konon bahawa selepas sesi libat urus, keputusan ini sudah diterima. Ini bohong paling besar. Ia masih ditolak pelajar, kakitangan universiti. CUEPACS pun sudah nyatakan bantahan.

Malah bantahan semakin meluap-luap dengan sikap tidak bertanggungjawab Menteri yang enggan mendengar pandangan wakil-wakil rakyat yang menjadi harapan mahasiswa dan kakitangan universiti untuk menyampaikan keprihatinan mereka kepada Menteri.

Menteri mahu melihat dahulu gelombang himpunan rakyat, mahasiswa dulu kah sebelum mahu buka mata dan telinga?

Setahu saya ada satu Jawatankuasa khas untuk kaji keputusan ini telah ditubuhkan oleh Kementerian yang katanya perlu enam bulan untuk buat kajian dan laporan kepada Kementerian.

Ini belum lagi 2 bulan, kajian belum siap,  laporan belum ada, Menteri sudah buat kesimpulan teruskan penggabungan.

Sesi ‘libat urus’ yg berulangkali disebut oleh Menteri itu telus dan didengar oleh Menteri kah?

Atau libat urus ini sekadar ambil syarat konon formaliti ‘Menteri dah dengar pandangan semua pihak’ sudah dibuat?

Ini pencabulan terhadap maruah universiti, kakitangan dan mahasiswanya bila Menteri main buat keputusan belakang tabir begini.

Ini bukan libat urus. Ini ‘liwat urus’ nasib masa depan mahasiswa dan universiti-universiti yang disayangi rakyat ini.

Menteri apa main belakang macam ini!

YB HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
30 Oktober 2019 – HARAKAHDAILY 30/10/2019