MPKKP: Reformasi PH ‘sembang kosong’

KUALA LUMPUR: Tindakan PH menggantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) dilihat sebagai satu mekanisma yang tidak lebih daripada mengulangi budaya BN.

Advertisement

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, budaya mewujudkan ‘kerajaan di dalam kerajaan’ itu sekali lagi membuktikan bahawa PH sememangnya ‘sembang kosong’ sehingga menyebabkan rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa usaha rakyat mengubah kerajaan adalah sia-sia.

“Kita merasa sangat kesal dengan langkah Kerajaan Persekutuan ini dan menganggap jika perkara ini menjadi kenyataan, tindakan Kerajaan Persekutuan ini tidak lebih daripada mengulangi budaya yang telah dibawa oleh Barisan Nasional dahulu, iaitu mewujudkan kerajaan di dalam kerajaan.

“Jadi reformasi yang dilaung-laungkan Pakatan Harapan merupakan ‘sembang kosong’ semata-mata dan sekali lagi rakyat terpaksa menerima hakikat bahawa tidak ada perbezaan di antara kerajaan PH dengan BN kecuali hanya pada namanya sahaja.

“Bahkan ia lebih teruk lagi, iaitu dengan menindas bangsa ataupun orang Melayu dan juga agama islam di Malaysia hari ini,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily di lobi Parlimen, semalam.

Isu tersebut turut dibangkitkan beberapa ahli parlimen ketika Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah menggulung perbahasan Belanjawan 2020 berkaitan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen Sibuti (GPS), Lukanisman Awang Sauni menyatakan kebimbangan bagaimana kementerian tersebut ingin meneruskan usaha itu sedangkan peruntukan yang disediakan berkurangan.

“Elaun yang disediakan untuk Belanjawan 2020 berkurangan, dan adakah dengan kewujudan MPKKP di Sarawak akan menjejaskan bayaran MPKK di Semenanjung kerana jelas bajet dikurangkan?

“Tetapi menteri telah menjawab di dalam bajet ini peruntukan untuk pengelolaan MPKK pun turut diturunkan sebanyak RM10 juta dalam Belanjawan 2020.

“Dan MPKKP di Sarawak ini mereka dijanjikan untuk diberi peruntukan RM10,000 dan bayangkan 5,800 kampung, dan adakah peruntukan ini akan menjejaskan MPKK di seluruh malaysia?” soalnya.

Beliau turut menyatakan kebimbangan dengan kewujudan dua jawatankuasa yang berkemungkinan akan menyebabkan keharmonian rakyat terjejas apabila terdapat dua ketua yang mengetuai komuniti kampung.

Bagaimanapun, menjawab persoalan tersebut, Sivarasa menjelaskan bahawa mekanisma tersebut diperkenalkan atas alasan Kerajaan Negeri Sarawak pernah mengeluarkan arahan bertulis kepada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya tidak menghadiri mana-mana program yang dianjurkan Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman turut mempersoalkan sama ada elaun MPKK dan pengerusinya masih dikekalkan sekiranya MPKKP diwujudkan memandangkan kini terdapat dua pengurusan komuniti kampung.

Untuk maklumat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) merupakan satu entiti yang hanya wujud dalam negeri yang dikuasai pembangkang dan objektif penubuhan MPKK dan MPKKP juga boleh dikatakan tidak mempunyai perbezaan. – HARAKAHDAILY 31/10/2019