Pemuda ziarah kasih YDP Pasir Salak keuzuran

PASIR SALAK: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dan Kawasan Pasir Salak telah mengadakan kunjungan ziarah kepada Yang DiPertua PAS Pasir Salak, Ustaz Mustafa Shaari di kediamannya di Kampung Gajah, di sini kelmarin.

Advertisement

Ustaz Mustafa juga adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, kini dinasihatkan doktor untuk berehat berikutan menghidap Hepetitis B iaitu penyakit disebabkan oleh virus yang mengakibatkan keradangan hati.

Keadaan kesihatan tersebut tidak mengizinkan beliau untuk bergerak aktif menyebabkan Ustaz Mustafa terpaksa mengurangkan kehadirannya dalam beberapa program rasmi dan penting dilaksanakan parti.

Ketika ini beliau turut berikhtiar dengan inisiatif rawatan perubatan homeopati untuk kembali sihat dan bergerak aktif seperti sedia kala sebagaimana rutin beliau yang dikenali giat sejak awal penubuhan PAS.

Hadir mengetuai ziarah itu adalah Ketua dan Naib Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait dan Ustaz Mohd Zahid Abu Bakar termasuk juga Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Antara ikut serta adalah Ketua dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pasir Salak, Ustaz Zafarul Azhan Zan dan Ustaz Iqbal Mohd Zin yang bersama memberi rangsangan semangat kepada Ustaz Mustafa.

Walaupun dalam keadaan uzur sedemikian, Ustaz Mustafa tetap menzahirkan senyuman dan kegembiraan yang menunjukkan semangat beliau yang kuat untuk memperjuangan Islam menerusi wadah PAS.

Terdahulu sebelum ini beliau juga telah menerima kunjungan ziarah daripada Dewan Muslimat PAS Pasir Salak bersama wakil Wanita Umno Bahagian Pasir Salak. – HARAKAHDAILY 30/10/2019