Pondok Bukit Salim buka ambilan pelajar baru 2020

LARUT: Maahad Tahfiz Nur As-Salam (MTNAS) telah membuka pendaftaran pelajar baharu ambilan tahun 2020 bagi lelaki dan perempuan berumur 12 – 15 tahun dengan syarat boleh membaca Al-Qur’an dan menulis Jawi.

Advertisement

MTNAS menawarkan pengajian tahfiz yakni hafazan dan tahriri serta kitab umumi, selain asas fardu ain merangkumi tauhid, fiqh, tajwid, tasawuf, akhlak dan banyak lagi, di mana temuduga kemasukan akan dijalankan pada 23 November ini.

Maahad yang telah diasaskan oleh Ustaz Mahizam Ahmad sejak tahun 2003 di atas tanah seluas 2 ekar ini juga dikenali sebagai Pondok Bukit Salim beroperasi di Kampung Bukit Sungai Nor, Rantau Panjang, Selama, di sini.

Pondok Bukit Salim tersebut telah memulakan pengajian tahfiz sepenuh masa pada tahun 2009 bermula dengan 15 pelajar, kini semakin berkembang, malah turut mempunyai cawangannya di Kaherah, Mesir.

“InsyaAllah, 9 Disember 2019 ini akan dihantar 11 pelajar ke Maahad Tahfiz Nur As-Salam Cawangan Kaherah, Mesir bagi mengikuti pengajian lanjutan dan pelajar yang terpilih adalah daripada kalangan yang telah khatam hafazan 30 Juzuk,” ujar Ustaz Mahizam.

Beliau yang merupakan Pengerusi MTNAS berkata demikian ketika ditemui selepas program Malam Cinta Rasul atau Bukit Salim Berselawat dipimpin Syeikh Neezam Albanjari yang di anjurkan Majlis Perwakilan Pelajar MTNAS, di sini kelmarin dahulu.

Alunan qasidah yang diketui oleh Syeikh Neezam dan Kumpulan Babul Mustofa menampilkan berbagai Selawat dalam mengisi program Bukit Salim Berselawat di mana telah memecah keheningan malam, selain kedinginan hujan yang turun sejak petang.

Sementara itu beliau turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi menampung Dana Pengurusan dan Pentadbiran yang boleh disalurkan melalui akaun Maybank 5582 1151 4222 atas nama Maahad Tahfiz Nur As-Salam”. – HARAKAHDAILY 30/10/2019 

IMG 20191030 WA0033

IMG 20191030 WA0034 

IMG 20191030 WA0032