Post-Islamism dan Post-Mortem buat umat Islam

KEMUNCULAN Post Islamism

Post-Islamisme adalah satu idealogi yang cuba membawa ‘keterbukaan Islam’ sejak sekian lama mereka beralasan bahawa Islam itu tertutup. Mereka mewujudkan istilah Muslim Progresif atas alasan Islam yang dibawa oleh gerakan-gerakan Islam sebelum ini bersifat Konservatif. Oliver Roy antara yang terawal menggunakan istilah ini di dalam bukunya The Failure Of Political Islam dan Asef Bayat dalam bukunya Post Islamism: The Changing Faces Of Political Islam.

Rata-rata mereka melontarkan idea bahawa gerakan-gerakan Islam bersikap jumud, tidak terbuka, ketinggalan zaman dan sebagainya. Secara tidak langsung, muncullah fenomena keterbukaan yang ‘terlajak’ seperti bermesra dengan gereja dilihat dakwah, tetapi dengan ahli gerakan Islam dipenjara dan digantung. Mereka cuba wujudkan suasana bahawa Islam itu agama rahmat untuk sejagat, sehingga sampai ke tahap kancah Pluralism.

Mereka lakarkan gerakan Islamism itu sebagai pengganas, dan menjelmakan Islam dalam bentuk ketaksuban supaya melariskan lagi Produk Post Islamisme. Kita tak perlu pergi terlalu jauh, di dalam PAS sendiri sebelum 2014 menyaksikan bagaimana beberapa pimpinannya (sekarang sudah bersama PAN) mempromosikan Post Islamisme dengan bermodelkan Tunisia dan Turki.

Tunisia dan Turki antara dua negara yang agak subur dengan Post Islamisme. Beberapa catatan sejarah yang perlu kita perhatikan, iaitu susulan 11 September 2001. Pasca 11/9 menyaksikan bagaimana Amerika melancarkan serangan Islamophobia, dan ‘menceroboh’ negara-negara lain atas nama memerangi pengganas. Masyarakat dunia sedikit demi sedikit tercorak dengan agenda mempotretkan gerakan Islam sebagai pengganas.

Islamophobia dan Islamic Calvinism

Apabila gerakan Islam seluruh dunia dipotretkan sebagai pengganas pasca 11/9, secara tak langsung akan menyuburkan Islamophobia. Sebagai keseimbangan kepada Islamophobia, timbulnya istilah Islam Calvinist. Istilah ini merujuk kepada John Calvin (1509-1564) yang sezaman dengan Martin Luther (1483-1546). Kedua-dua ini merupakan tokoh pembaharuan agama Kristian.

Kristian Katholik dilihat oleh mereka sebagai ajaran yang sudah tersesat daripada landasan asal agama tersebut. Geng Luther membakar semangat pertikaian terhadap kesesatan Kristian Katholik sehingga menghala ke arah kebangkitan Reinassance. Manakala John Calvin pula adalah pelopor kepada ‘pengislahan’ Kristian supaya kembali ke pangkal jalan dengan cara asal mereka.

Fenomena ini seakan-akan sengaja dicaturkan terhadap Islam, khususnya Pasca 11/9. Amerika secara terus terangnya berperanan untuk mempotretkan gerakan Islam sebagai pengganas. Kesan tindak balas daripada proses pem’potret’an ini ialah munculnya Islamic Calvinism. Di Turki Islamic Calvinists adalah kelompok yang menumpukan kepada elemen nilai dan kesufian tetapi dalam masa yang sama masih mengamalkan sistem ekonomi Kapitalis.

Golongan ini muncul untuk mengambil alih kekuasaan Parti Refah yang diharamkan pada 1998, yang digantikan oleh Parti Fizlet. Seterusnya parti ini pecah menjadi dua, iaitu Saadat dan AKP. AKP dilihat berwajah Liberal Progresif manakala Saadat berwajah Fundamentalis. Pada 2006 Mustafa Akyol membentangkan laporan Liberal Turkish bahawa tuntutan masyarakat Turki agar kembali kepada pelaksanaan Syariah menurun daripada 21 peratus kepada 9 peratus.

Kemunculan AKP dan cubaan serap ke dalam PAS

Penurunan ini dilihat sejak pergerakan Islamic Calvinist dalam tempoh pengharaman Parti Refah sejak 1998. Pada 2007, AKP mendapat undi majoriti 47 peratus dan menarik Turki masuk ke dalam Kesatuan Eropah (EU). AKP dilihat muncul sebagai jaguh dalam isu-isu yang membabitkan Umat Islam menjadikannya semakin popular. Seolah-olah percaturan mereka tersusun dengan cantik.

Kewujudan Islamic Calivinism menjadi sebab rasional kepada kemunculan Liberal Porgresif atau lebih mudah difahami dengan Post Islamism. Model Turki ini cuba dibentangkan di dalam PAS apabila beberapa orang pimpinan PAS ketika itu beranggapan bahawa PAS perlu kepada perubahan atau keterbukaan. Perlu lebih progresif, sedangkan mereka sendiri yang melabel PAS sebagai konservatif. Mereka seolah-olah cuba tunding konservatif itu adalah golongan agamawan dalam PAS.

Golongan yang mendakwa mereka adalah progresif cuba membawa Islam yang selari dengan Sekularism, Demokrasi, Kapitalism dan banyak lagi idealogi-idealogi semasa. Seolah-olah mereka beranggapan bahawa Islam yang sedia ada, yang dibawa oleh PAS ketika itu belum cukup terbuka. Suntikan halus Liberalism cuba dikenakan atas nama akademik melalui wacana, dialog dan pembentangan kertas kerja.

Soalannya ialah, sejauh mana kejumudan PAS sehingga terpaksa di‘post-Islamisme’kan? Sekiranya benar wujudnya kejumudan itu, siapakah yang mengacuankannya dalam PAS? Adakah benar ia diacuankan oleh ‘lebai-lebai’ dalam PAS sehingga mereka terpaksa menobatkan diri mereka sebagai professional? Sekali lagi kita perlu kepada memahami idealogi terlebih dahulu sepertimana yang telah saya nyatakan dalam artikel sebelum ini.

Liberalism bertopengkan slogan kebebasan

Bagi memahami situasi kemunculan Post Islamisme, kita perlu meneliti kepada idealogi-idealogi yang mereka perjuangkan. Bukan dengan berhujahkan sentimen atau semata-mata slogan yang dijulangkan. Sebagai contoh, Liberalis menjulang hak-hak orang yang ditindas, menjulang kebebasan individu untuk bersuara dan sebagainya. Kalau semata-mata diukur kepada slogan, kita pasti akan dapati ‘Liberal itu macam Islam lah…’.

Hakikatnya kita perlu tahu, mereka menjulang supaya menyamakan perempuan dengan lelaki. Atau bahasa yang lebih terangnya ialah menjantankan perempuan, dan membetinakan lelaki. Hari ini kita boleh lihat fesyen-fesyen bodoh seperti orang lelaki yang berjambang berpakaian wanita dan bergaya seksi. Boleh masuk akal? Inilah hakikat di sebalik slogan mereka yang kita tidak nampak.

Mereka memperjuangkan hak kebebasan individu itu hakikatnya adalah menjadikan manusia itu ‘liar’ dan tidak terikat dengan sebarang undang-undang. Menjadikan manusia boleh merogol sesuka hati kerana hak kebebasan, menipu sesuka hati di dalam Parlimen kerana kebebasan bersuara dan sesuka hati mencari kepuasan dengan Hedonism. Maka tiada siapa yang boleh menghalang si anak untuk ber’joging’ di dalam kelab malam, sekalipun ibu ayah sendiri.

Inilah hakikat di sebalik slogan Liberalism. Umat Islam yang tertipu dengan ‘surface’ slogan itu akan mengatakan ‘apa masalahnya kebebasan? Islam kan jumud’ Hakikatnya Islam itu mengikat manusia dengan prinsip, membebaskan manusia dengan kewajaran dan memandu manusia ke arah kehidupan sebagai manusia, bukannya binatang. Sebab itulah Liberal tidak ada masalah dengan Sekularism, kerana mempunyai inti yang sama, iaitu sesiapa sahaja bebas melantik sesiapa sahaja.

Merancang ke arah Secularism 2.0

Apabila diteliti satu persatu kita tertanya-tanya kenapakah mereka cuba mencetuskan Post Islamism sedangkan Sekular dan Liberal kan sudah ada tersergam indah di dalam pemerintahan banyak negara? Malaysia khususnya yang sudah pun tebal dengan Sekularism khususnya di era kemunculan Post Islamism. Mengapa masih memerlukan kepada Post Islamism? Dalam hal ini, kita boleh fikirkan beberapa kemungkinan.

Jika dilihat, Sekularism dan Liberalism mendapat peluang yang besar daripada sistem demokrasi. Sistem demokrasi ini dicetuskan oleh Barat sendiri, dan disuburkan oleh mereka melalui pertubuhan-pertubuhan yang banyak. Dana yang dikeluarkan untuk mempromosikan demokrasi juga banyak, sepertimana yang telah saya nyatakan dalam artikel-artikel sebelum ini. Namun, setelah melihat beberapa siri kemenangan gerakan Islam di era 90-an melalui demokrasi, menyebabkan mereka fikir panjang

Antara fenomena kemenangan Islam di awal 90-an ialah kemenangan Front Islamic Salvation (FIS) mengalahkan Front Liberation Nationale (FLN) di Algeria dengan kemenangan yang memberangsangkan sekalipun menggunakan sistem demokrasi Barat. Antara yang lain Parti Refah di Turki juga turut mengejutkan Barat. Seolah-olah mereka tak sangka Islam boleh menang dengan sistem yang mereka susun. Bertambah pelik apabila Hamas menang di Palestin pada 2006 juga dengan cara demokrasi.

Apatah lagi, PAS juga menang di Kelantan pada era tersebut. Sepertimana yang dinyatakan, mereka terpaksa mengharamkan Refah pada 1998 di Turki untuk menyekat kebangkitan, antara kemungkinannya ialah kebangkitan Eurasia menggantikan Soviet. Mereka mengambil langkah awal untuk membanteras kebangkitan Islam. Sebab itulah mereka wujudkan gelombang Islamophobia 11/9 dan seterusnya menyuburkan Post Islamism di Turki dan Tunisia sepertimana yang telah saya nyatakan tadi.

Sekularism 2.0: Umat Islam yang masih menunggu

Apakah Sekular dan Liberal dilihat sudah semakin tumpul untuk menusuk masuk dalam pemikiran Umat Islam? Lalu langkah yang terbaik bagi mereka adalah mencipta idealogi Sekular 2.0 yang dikatakan sebagai Post Islamisme. Kalau sebelum ini Barat memang ‘gemar’ menggunakan agawaman Islam untuk merosakkan Islam, maka tidak pelik kalau ada agamawan Islam yang memperjuangkan Post Islamism, khususnya di peringkat antarabangsa.

Bahasa mudahnya mereka cuba lahirkan Snouck Hurgronje 2.0 atau Lawrance Arabia 2.0 yang fasih berbahasa Arab, mahir selok-belok agama Islam, tangkas mengeluarkan dalil, dan bijak mengatur perencanaan. Bagi Umat Islam yang mengkaji sejarah ‘infiltration’ dalam gerakan Islam, mereka akan faham dan sedar. Agenda mereka ini sudah pasti dirahsiakan. Melainkan setelah beberapa tahun perancangan itu berjaya dilaksanakan, ia bukan lagi menjadi rahsia. Dengan bangganya mereka laporkan dalam RAND Corporation.

Adakah kita hanya mampu menunggu sehingga Umat Islam menjadi ‘sesat’ dengan Post Islamism atas alasan ‘husnuzzon’? Adakah kita hanya mampu menunggu RAND Corporation menerbitkan laporan kejayaan mereka dengan agenda Post Islamism? Umat Islam biasanya ‘sudah terhantuk baru nak terngadah’ dan ‘nasi sudah menjadi bubur’ baru nak bangkit terkial-kial melaungkan kesatuan Islam.

Belajarlah dari sejarah Islam. Apabila Bangsa Arab tertipu dengan seruan Nasionalism Arab yang mencetuskan Arab Revolt 1916. Ia bermula dengan hasutan yang ditiupkan oleh Lawrance Arabia, seorang Intelligent Barat bahawa Orang Arab sedang dijajah oleh Bangsa Turki. Lalu mereka bangkit untuk menyatakan hasrat untuk keluar dari Khilafah sehingga membawa kepada kejatuhannya pada 1924. Apabila diisytiharkan Khilafah Islam sudah tiada, Bangsa Arab baru tersedar mereka tertipu. Muhasabah!

Muhasabah

Nabi S.A.W pernah bersabda;

Advertisement



لتنقضن عرى الإسلام عروة عروة، فكلما انتقضت عروة تشبث الناس بالتي تليها، وأولهن نقضا الحكم، وآخرهن الصلاة

“Akan tercabut prinsip Islam satu persatu, setiap kali ia tercabut, ummat Islam akan pertahan prinsip yang berbaki. Mula-mula dicabut ialah undang-undang dan akhir sekali ialah solat.”

(Riwayat Ahmad)



Hadis ini seolah-olah menunjukkan bahawa ummat Islam ‘terlambat’ sedar. Iaitu setiap kali prinsip Islam dicabul oleh musuh Islam secara halus sejak sekian lama, barulah Ummat Islam tersedar dan mempertahankan prinsip yang berbaki. Antara kelemahan Umat Islam hari ini yang perlu diakui ialah malas membaca apatah lagi berfikir. Hanya lebih suka ‘mengikut’ kemudian terjerat dengan sentimen.

Dalam sejarah, Umat Islam sering terjerat dengan permainan musuh. Kita tidak sedar kadang-kadang kita sudah pun berada di atas papan catur. Hari ini kita lihat ada seruan mengajak kesufian ‘yang terlajak’ sehingga meninggalkan jihad. Lihatlah sejarah kejatuhan Acheh bilamana Snouck Hurgronje mengasaskan pondok dan tarekat. Tidak lain, tujuannya untuk melahirkan jiwa kesufian yang meninggalkan jihad.

Hari ini apabila Umat Islam bergaduh bab khilafiah ‘tahap gaban’, sama juga satu ketika dahulu Lawrance Arabia membakar sentimen Salaf dan Khalaf untuk mencetuskan peperangan antara Syarif Hussein dan Bani Sa’ud. Pergerakan catur ini kita boleh kenal kerana tangan yang menggerakkannya adalah orang yang sama. Tetapi Umat Islam tidak mengambil pengajaran.

Apabila membaca sejarah kejatuhan pemerintahan bergereja era 14-17 Masihi, kita sibuk membandingkan dengan zaman kegemilangan Islam dengan kemodenan dan teknologi. Kita tidak belajar daripada kejatuhan mereka sehingga Umat Islam hari ini seolah-olah ter‘copy-paste’ perangai pemerintah-pemerintah Kristian zaman itu. Sebelum ini saya ada menulis tentang ‘Dogmatism’ [1] yang menjadi penyakit Umat Islam hari ini.

Golongan copy-paste ini mempromosikan supaya  ‘tidak mengambil ibrah’ daripada al Quran atas alasan ‘tak sampai maqam, nanti belajar dengan syaitan’ atau ‘menafsir al Quran dengan akal’. Mereka berhujah dengan falasi falasi seperti ‘siapa kamu, kamu tak layak berhujah’ dan ‘siapa kamu nak dibandingkan dengan mereka’. Ada yang berhujah ‘aku ada sanad, kamu tiada sanad’. Banyak lagi realiti-realiti yang perlu diperbaiki dan dimuhasabahkan.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1186165131576958&id=251201991739948HARAKAHDAILY 31/10/2019