Tanjung Piai: Manifestasi Muafakat tidak rasis

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Wee Jeck Seng daripada MCA sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai merupakan satu manifestasi bahawa Muafakat Nasional adalah tidak rasis atau berbaur perkauman.

Advertisement

shahirKetua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, kompromi yang dicapai antara parti komponen BN menunjukkan parti-parti gabungan masih menjunjung semangat permuafakatan yang diperjuang sejak penubuhan barisan tersebut.

“Selaku parti gabungan dalam Gagasan Sejahtera bersama PAS dan Berjasa DPIM menyokong calon BN demi semangat Muafakat Nasional.

“Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional perlu memberi isyarat jelas kepada rakyat, terutama di Tanjung Piai bahawa blok pembangkang akan terus bekerjasama, bersepakat dan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kemenangan kepada calon BN di Tanjung Piai.

“Muafakat seperti ini perlu dibincangkan secara menyeluruh pada PRU15 antara Umno, MCA, MIC, PAS, IKATAN dan Berjasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kemenangan calon BN di PRK Tanjung Piai adalah penting untuk memberikan isyarat jelas kepada rakyat bahawa blok pembangkang bersatu hati untuk menyelamatkan rakyat daripada kepincangan politik dan kegawatan ekonomi yang berlaku hari ini.

Dalam masa yang sama, katanya ia juga penting untuk menjadi ujian litmus kepada suara hati rakyat akan dasar-dasar pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH)hari ini.

“Kemenangan calon BN di PRK Tanjung Piai juga menjadi titik tolak kepada manifestasi bahawa Muafakat Nasional tidak rasis seperti dicanang Pakatan Harapan, terutama DAP,” ujarnya.

Malam tadi, BN telah mengumumkan Dato’ Seri Wee Jeck Seng sebagai calon parti tersebut dalam PRK Tanjung Piai. Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Umno Johor, Hasni Mohammad.

PRK Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November ini, Wee dijangka akan bersaing dengan Pengerusi Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini dan Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Wendy Subramaniam. – HARAKAHDAILY 31/10/2019