Tolak calon PH dalam PRK Tanjung Piai

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru kepada semua pengundi PRK Tanjung Piai untuk tidak memberikan sebarang undi kepada calon PH walaupun calon PH bukan dari parti DAP. Memberikan undi kepada mana-mana calon PH hakikatnya hanya melebarkan atau mengekalkan kuasa DAP dalam mendominasi PH pada hari ini. Inilah kemudaratan yang besar mesti dielakkan.

Antara kaedah yang terpakai dalam hal seperti ini ialah:

Advertisement



إذا تعارض مفسدتان روعي أعظمهما ضررا بارتكاب أخفهما

“Apabila bertembung dua kerosakan, maka hendaklah dijaga daripada terjadi mudharat yang lebih besar dengan memilih mudharat yang lebih ringan antara keduanya.”



Sehubungan itu, DUPP menyokong calon yang telah dikemukakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dari parti MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng untuk bertanding dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019 nanti.

Sokongan ini berasaskan kepada semangat Muafakat Nasional yang telah dimeterai antara PAS dan Umno pada 14 September 2019 yang lalu sekali gus melibatkan parti-parti dalam komponen Gagasan Sejahtera dan juga Barisan Nasional. Lantaran itu, secara asasnya apa sahaja syarat bersama pada perkara yang tidak mengandungi unsur haram dan percanggahan syariat adalah dihormati dan disempurnakan.

Sabda Rasulullah S.A.W:



الصلح جائز بين المسلمين، إلا صلحاً حرم حلالاً، أو أحل حراماً. والمسلمون على شروطهم، إلا شرطاً حرم حلالاً، أو أحل حراماً

“Perdamaian dibenarkan di kalangan orang Islam, kecuali perdamaian itu mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram. Dan umat Islam atas syarat mereka (wajib memelihara), kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.”

(Riwayat at-Tirmizi)



Melihat kepada situasi semasa politik Malaysia di bawah pemerintahan PH, fokus utama dalam pertimbangan sesuatu PRK yang berlaku serta PRU15 yang akan datang ialah dengan tidak memberikan kemenangan kepada PH untuk terus berkuasa. Ini kerana, dengan jelas kebiadaban yang ditunjukkan oleh DAP dalam mendominasi PH sangat memberikan kesan negatif ke atas agama Islam, ummah dan negara.

Justeru, walaupun calon dari Muafakat Nasional yang diwakili oleh BN adalah non-Muslim namun ia bukanlah terlarang secara mutlak. Ini kerana penentangan kita bukanlah atas sentimen berlainan agama atau bangsa. Malah Islam sendiri tidak melarang untuk berbuat baik dan melakukan keadilan kepada non-Muslim yang tidak melawan Islam.

Firman Allah S.W.T:



لَّا یَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِینَ لَمۡ یُقَـٰتِلُوكُمۡ فِی ٱلدِّینِ وَلَمۡ یُخۡرِجُوكُم مِّن دِیَـٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوۤا۟ إِلَیۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ یُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِینَ

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

[al-Mumtahanah: 8]



Perlu difahami bahawa penentangan ke atas DAP adalah kerana sikap mereka yang keras memusuhi agenda umat Islam yang dizahirkan oleh pimpinan mereka dalam banyak isu serta keterlibatan pimpinan mereka dengan kumpulan pengganas iaitu LTTE.

Menyelamatkan negara dan agama Islam dari terus menjadi mangsa kerakusan PH merupakan satu kewajipan pada masa kini. Maka apa sahaja usaha untuk menjayakan kewajipan ini sekaligus juga menjadi wajib:


ما لَا يَتِمُّ اَلْوَاجِبْ إِلَّا بِهِ ، فَهُوَ وَاجِبٌ

“Perkara yang tidak akan sempurna suatu kewajipan melainkan dengannya, maka ia adalah wajib.”



Perlu diingat bahawa setiap undi dalam kiraan sistem demokrasi adalah sangat penting. Maka, pengundi hendaklah keluar untuk mengundi dengan mengundi calon dari Muafakat Nasional kerana melalui kuasa undian, kemudharatan boleh dicegah. Hal ini juga termasuk dalam kaedah melenyapkan kemudaratan.

Ini kerana mudarat adalah perkara yang wajib dijauhi dan dilenyapkan sebagaimana kaedah asas dalam perbincangan displin ilmu al-Qawaid al-Fiqhiyyah iaitu:



الضرر يزال

“Kemudaratan (wajib) dihilangkan”



Justeru, DUPP mengajak semua ahli dan masyarakat umum agar terus fokus kepada usaha-usaha menyelamatkan negara menerusi kerjasama Muafakat Nasional yang telah digerakkan ini secara konsisten dan serius. 

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh) – HARAKAHDAILY 31/10/2019