ARC diberi penghormatan bertemu pelumba MotoGP

    SEPANG: Kejuaraan Dunia Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix (MotoGP) kian terasa bahang kehangatannya dalam siri yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini hujung minggu ini. 

    Advertisement

    Kesempatan turut diraih Alternative Riding Club (ARC) apabila berpeluang bertemu pelumba MotoGP mewakili Shell Ducati, Andrea Dovizioso yang berasal dari Itali di Hotel Saujana, Kuala Lumpur di sini semalam.

    Delegasi ARC dipimpin Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khiruddin bersama Jawatankuasa ARC Malaysia dan ahli ARC Selangor bagi memenuhi jemputan pertemuan yang julung kali diadakan ini.

    Pertemuan bersejarah tersebut turut dihadiri Pengurus Besar Retail Shell Malaysia, Shairan Huzani Husain serta Pengarah DACS dan Timbalan Pengarah DACS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri dan Muhammad Fadzli Abu Bakar.

    “Salah satu elemen dalam Pemerkasaan Parti dan Transformasi Imej (PPTI), Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) yang diterajui PAS kini adalah pengiktirafan masyarakat.

    “Saya berharap agar hubungan yang terjalin ini dapat diteruskan dengan kerjasama korporat disamping menatijahkan sesuatu yang baik kepada masyarakat,” ujar Ir Khairil Nizam ketika ditemui selepas majlis tersebut berlangsung.

    Sementara itu, Hafez Sabri turut memaklumkan bahawa DACS Malaysia kini sedang dalam rundingan fasa akhir untuk berkolaborasi program bersama syarikat permotoran terkenal dan pengeluar minyak pelincir dalam negara.

    ARC merupakan salah sebuah kelab permotoran tersohor tanah air dengan keahlian menjangkau 6,000 anggota dan bernaung di bawah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS)Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM). – HARAKAHDAILY 1/11/2019