Untungnya PAS, sebab alim

APA yang bezakan antara pasangan zina dan pasangan suami isteri? Nikah. Ya dengan mengadakan wali, saksi lelaki, kedua pengantin, ijab dan qabul, maka sahlah hubungan kelamin antara mereka berdua.

Advertisement

Manakala rukun zina, mesti ada lelaki, perempuan dan meredhai hubungan itu sama ada berbayar atau tidak. Sebab kalau tak redha, nanti jadi kes rogol.

Bagi orang alim, mereka tahu ada dalam beberapa pendapat imam muktabar lain, dalam lima rukun itu, ada yang tidak diperlukan sebagai rukun untuk berkahwin, jadi mereka boleh beramal. Jadi ilmu memisahkan zina dan nikah.

Bagi yang faham mengenai hukum solat jamak dan qasar, mereka akan memperolehi keringanan, dibenarkan memotong dua rakaat daripada solat empat rakaat dan mengumpul kedua-dua solat itu dalam satu waktu sama ada solat siang dengan solat siang dan solat malam dengan solat malam ketika dalam perjalanan melebihi 96 kilometer.

Kepada orang alim, mereka tahu ada jarak yang lebih dekat yang boleh digunakan bagi melayakkan mereka jamak dan qasar. Tetapi tidak ada lagi dalil qasar solat Maghrib menjadi dua rakaat, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh kawan saya suatu ketika dahulu.

Saya pernah menulis dahulu berkenaan sebuah kisah seorang alim dan jirannya yang kaya. Biarlah saya tulis kembali. Pada suatu hari, ketika hujan lebat, orang alim itu melihat jirannya yang kaya tetapi jahil, sedang berlari laju dengan memakai pakaian baharu yang cantik.

Lalu ditegurnya akan dia si jiran itu. Mengapa kamu berlari dalam hujan? Kerana takutkan pakaianmu yang cantik itu basah dan kotor? Bukankah hujan itu rahmat dari Allah? Kata-katanya itu menyebabkan jirannya terus berhenti berlari dan berjalan perlahan dalam hujan.

Pada suatu ketika yang lain, si jiran berada di rumah, melihat si alim berlari dengan laju dalam hujan. Inilah masanya si jiran boleh menempelak si alim. Si jiran mengingatkan si alim akan hujan itu rahmat, jangan takut bajunya basah.

Pantas dijawab oleh si alim, aku berlari pantas kerana aku tidak mahu memijak rahmat Allah ini. Ia mendiamkan si jiran. Nasib baik orang alim itu bukan orang PAS. Kalau tidak, mesti tular, orang PAS menunggang agama. Dua masalah yang sama tetapi dibezakan jawapannya dengan taraf ilmu.

Inilah yang berlaku dalam politik. Politik mempunyai keluasan fiqh. Tetapi luasnya lautan fiqh itu hanya boleh dikendali oleh ahli-ahli politik Islam yang mahir dengan gelombang hukum hakam sahaja. Sebab itu kita tidak melihat adanya bantahan ulamak berkenaan cadangan DS Anwar mahu memberikan zakat kepada bukan Islam, kerana ia ada di dalam fiqh zakat.

Ia berlaku kerana masyarakat hanya memikirkan zakat untuk orang Islam yang miskin sahaja. Cuma yang perlu ditekankan ialah hapuskan dahulu masalah zakat dengan orang Islam sendiri sebelum pergi kepada bukan Islam.

Dahulu, bila PAS menggunakan orang bukan Islam, DAP dalam rangka mereka mahu memenangi pilihan raya, Umno marah. Lalu mereka mengungkit-ungkit perbuatan PAS itu sebagai mengangkat si kafir menjadi rakan. PAS menjawabnya dengan sirah Nabi, pernah Abdullah bin Uraiqit seorang bukan Islam membantu Rasulullah dalam hijrah baginda. Umno marah kerana mereka tidak mendalami sirah, bukan kerana PAS memutar belitkan jawapan sesuka hati.

Apabila PAS turun temurun berlawan, mahu menjatuhkan Kerajaan Umno dahulu, PAS dituduh bughah. Tetapi PAS mengatakan bahawa mereka mengikut aturan pemerintah. Dalam sistem demokrasi, tiada istilah bughah kerana pada bila-bila masa, kerajaan boleh dijatuhkan mengikut perlembagaan sama ada pilihan raya bertempoh atau undi tidak percaya dan banyak lagi. Maka PAS taat kepada peraturan negara yang dibuat sendiri oleh Kerajaan Malaysia, PAS bukan bughah. Ramai yang tidak faham, marahkan PAS.

Masih ingatkah lagi kita dengan perbalahan antara PAS, PKR dan DAP sewaktu PKR dan DAP berkhianat terhadap rakyat Selangor dengan memfitnah Tan Sri Khalid dan mahu membuang beliau dari kerusi MB? PAS tidak mahu mencalonkan MB wanita.

PAS ada alasan bahawa hadis mengatakan bahawa tidak akan berjaya sesuatu kaum jika mengangkat pemimpin dari kalangan wanita. Maka marahlah orang jahil terhadap PAS kerana kenapa pula PAS mencalonkan wanita dalam PRU. Jawab PAS kerana Adun atau MP, bukanlah pemerintah tertinggi seperti MB atau PM.

Ketika PAS mendampingi Umno, riuh rendahlah orang ramai yang PAS sudah gila kerana memeluk kembali musuh sekular dan ada yang kata PAS mensucikan Umno dari dosa. PAS tenang sahaja, kata PAS, Umno walaupun tidak seperti PAS mengamalkan politik Islam, tetapi jauh lebih baik daripada golongan kafir.

Maka perubahan fiqh dalam hal ini ialah bertujuan rapatkan kembali silaturahim dengan Umno sambil berdakwah kepada mereka. Umno dan PAS sudah bermaaf-maafan, maka sucilah dosa, sambil berazam merampas kembali pemerintahan untuk diberikan kepada Melayu Islam.

Apabila PAS memberikan janji-janji dunia kepada rakyat, ada yang mengatakan bahawa PAS merasuah rakyat bagi mendapatkan undi, tiada contoh dari Rasulullah. PAS menafikan yang PAS mereka-reka perkara itu. Rasulullah pernah melepaskan Suraqah bin Malik ketika Suraqah cuba membunuh baginda. Rasulullah sebelum menyuruh Suraqah pergi, jangan mengganggu baginda, berjanji dengan hadiah dunia iaitu gelang maharaja Parsi akan diberikan kepada Suraqah. PAS faham peristiwa ini.

Waktu PAS melantik orang-orang yang dekat dengan pimpinan PAS sebagai orang dipercayai, musih-musuh PAS menuduh PAS mengamalkan kronisme. PAS memberikan contoh Saidina Ali dan Uthman adalah menantu Rasulullah diberikan tugasan penting dalam beberapa hal. Abu Bakar dan Umar, mertua baginda. Jaafar abang Saidina Ali, Zubair al-Awwam sepupu baginda, semuanya dilantik menjawat jawatan penting. Jadi tak salah lantik kroni, asalkan layak. PAS mengikut sunnah. Tidak kurang juga kroni PAS itu diturunkan apabila tidak bagus.

Inilah antara beberapa contoh keluasan fiqh dalam politik yang diamalkan oleh PAS. PAS sentiasa mempunyai jalan penyelesaiannya dalam politik, mengikut al-Quran, sunnah, ijmak dan qias. PAS tidak bimbang kerana PAS tidak ketandusan ulamak yang memimpin jemaah kepada jalan yang benar.

Tidak dinafikan mungkin ada kelemahan-kelemahannya dalam berijtihad, seperti mengambil beberapa pendapat kurang popular, tetapi ia tetap dilaksanakan dalam kerangka syura iaitu sekumpulan ulamak yang dipercayai keilmuannya. Dan apabila telah diputuskan, sama-sama kita tanggung.

Maka PAS amat bertuah kerana mempunyai alim ulamak bukan sahaja di dalam parti yang dikenali, malahan juga di luar parti yang tidak dikenali dari seluruh pelusuk dunia bagi membantu jemaah Islam ini.

Mentaati keputusan mereka, bukan bermakna mentaati mereka secara mutlak tetapi mentaati sunnah kerana Rasulullah berpesan supaya mentaati pemimpin dalam perkara yang bukan maksiat walaupun pimpinan itu dari kalangan orang Habsyah yang kepalanya seperti anggur kering. Sungguh bertuah saya berada di dalam PAS kerana dipandu oleh ulamak.

Anda akan lihat beza si jahil dan alim. Bagi si jahil, PAS menggunakan agama pada jalan yang salah. Pada yang alim, luasnya fiqh disediakan Allah, untuk PAS beramal kerana Allah.

MOHD NASIR ABDULLAH
1 November 2019 – HARAKAHDAILY 1/11/2019