Pemuda PAS-Umno Kuala Krau bertemu kali pertama

    KUALA KRAU: Dewan Pemuda PAS Kawasan dan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian bagi Parlimen Kuala Krau telah mengadakan pertemuan mahabah di Dewan Mesyuarat Komplek al-Makmur, Kerdau, di sini kelmarin dahulu.

    Advertisement

    Pertemuan buat pertama kalinya diadakan ini merupakan langkah awal untuk kedua-dua sayap parti Melayu-Islam ini melihat ruang kerjasama yang boleh diterokai antara PAS dan Umno dalam realiti politik negara ini.

    Perjumpaan didahulukan dengan sesi taaruf atau suai kenal di antara saf kepimpinan kedua pihak ini dipimpin langsung oleh Ketua Pemuda PAS Kuala Krau, Ustaz Md Anuar Daud dan Ketua Pemuda Umno Kuala Krau, Mohamad Faiz Abdullah.

    Pada kesempatan ini juga diadakan perbincangan untuk kedua pihak menganjurkan program bersama dan hal-hal lain yang berbangkit, selain turut membincangkan kerjasama dan kesepakatan antara PAS dan Umno bagi Parlimen Kuala Krau.

    Antara hal yang dibincangkan adalah berkaitan aktiviti bersama seperti ziarah, perlawanan persahabatan sukan, majlis ilmu di kawasan pedalaman serta aktiviti sosial yang akan dilaksanakan bersama secara kesepakatan kedua pihak.

    “Pada saya, peetemuan ini adalah satu langkah awal untuk kita bertemu, berbincang, kenal-mengenal dan lihat apa yang boleh diterokai selepas ini. Dulu kita berkawan tetapi menjadi musuh apabila musim pilihan raya. 

    “Namun sekarang, semua itu hanya tinggal menjadi kenangan indah untuk sama-sama kita bermuhasabah, demi Islam dan Melayu, kami bersatu. Semoga ukhuwah fillah ini subur mekar demi mempertahankan Islam,” ujar Ustaz Md Anuar. – HARAKAHDAILY 2/11/2019