Realiti kancah Falsafah Baru

KEMUNCULAN Falsafah Baru

Sebelum ini saya ada menulis tentang dunia falsafah Timur dan Barat, perang idealogi, persaingan, dan sebagainya. Kali ni akan menceritakan serba ringkas tentang kesan-kesan yang terhasil daripada Falsafah Baru di era 15-18-an. Saya akan memfokuskan kepada dua perkara, iaitu, faktor-faktor yang menyebabkan Falsafah Baru mampu memberikan kesan. Yang kedua ialah bentuk-bentuk kesan tersebut, yang merupakan hasil daripada Falsafah Baru

Iaitu perbincangan tentang faktor-faktor yang menyebabkan Falsafah Baru mampu memberi kesan kepada kehidupan masyarakat dan sejarah dunia falsafah. Antara Faktor-faktornya ialah ‘Kesinambungan dan komunikasi’. Ketika zaman ini, kemudahan-kemudahan banyak dicipta, yang memudahkan ahli Falsafah untuk berhubung atau meneruskan kesinambungan falsafah sebelumnya. Komunikasi yang mudah ini memberikan kesan yang besar dalam penghasilan pemikiran dan pembentukan Falsafah Baru.

Antara yang lain, falsafah mempunyai hasilan kajian yang banyak. Antaranya peralatan-peralatan sains yang mula dicipta, terutamanya pada kurun ke-17 dan kurun ke 18 seperti enjin stim di awal era Revolusi Industri. Selain itu, tindak balas yang kuat ini terjadi disebabkan tekanan dan kongkongan yang berlaku pada Zaman Pertengahan, dan Zaman Sistem Persekolahan Falsafah yang dipalam di bawah bumbung gereja.

Maka, disebabkan tekanan ini, menghasilkan satu lonjakan yang kuat dalam menghasilkan Falsafah Baru. Falsafah sebelum zaman ini, dilihat lebih kepada berteori dan jauh daripada praktikal. Maka, pada Zaman Falsafah Baru, ia berubah ke arah memfokuskan kepada praktikal, dan ia menjadi salah satu ciri utama Falsafah Baru. Maka, Falsafah yang diajar dan dipelajari, adalah bertujuan untuk kehidupan, bukan hanya di dalam takuk pemikiran semata-mata.

Suasana kemunculan yang mendorong

Pada zaman ini, munculnya gerakan penterjemahan dan pembelajaran bahasa-bahasa yang pelbagai. Kemunculan ini mendadak dengan tinggi pada zaman ini, dan menghasilkan pembinaan beberapa sekolah khas pembelajaran bahasa-bahasa asing. Susulan daripada itu, gerakan penterjemahan meningkat dengan mendadak. Sumber-sumber daripada bahasa asing diterjemah untuk mendapatkan pemikiran-pemikiran luar.

Pada zaman ini juga, kemajuan dari sudut pengetahuan mendadak begitu tinggi. Contohnya, Eropah yang beragama Kristian mula mengamalkan sistem demokrasi untuk menghasilkan kemajuan. Begitu juga dengan sistem Kapitalis yang diaplementasikan. Di Rusia pula, fahaman Marxisime menguasai pemikiran manusia. Maka, kemajuan dari sudut pengetahuan dilihat semakin bercambah.

Walau bagaimanapun kemajuan inilah yang menyebabkan mereka jauh daripada agama dan nilai-nilai murni. Antara faktor yang menyebabkan Falsafah Baru mampu memberi kesan ialah kekuatan Eropah itu sendiri. Eropah telah mengalami revolusi perindustrian sepertimana yang diceritakan tadi dan pembinaan yang begitu pesat.

Maka, kekuatan ini memberi impak yang besar dalam menonjolkan era Falsafah Baru. Falsafah Baru muncul seiring dengan kebangkitan Eropah sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini. Kebangkitan ini meleraikan leher mereka daripada kongkongan gereja. Maka, ia membuatkan Falsafah Baru menonjol dalam arena sejarah kerana berlakunya pelbagai revolusi yang seiring dengan kebangkitan Eropah tersebut.

Empirisism dan Positivism

Kesan-kesan kemunculan falsafah baru antaranya ialah ‘pemonopolian’ method kajian baru. Sepertimana yang telah disebutkan, Descartes dikatakan Bapa Falsafah Baru, yang telah mengemukakan method falsafah yang baru. Kemudian ia disambut pula oleh Francis Beacon, yang mendukung method Empirisisme, yang berbeza dengan method Rasionalisme yang digunakan oleh Descartes.

Pemikiran Empirisisme dikatakan pemikiran yang baru, yang menguasai sebahagian besar dunia Barat, dengan method-method baru. Antara tokohnya ialah John Locke (1632-1714). Bermula seawal kemunculan Falsafah Baru, iaitu pada kurun ke-17 hinggalah kurun ke-19 yang menyaksikan perkembangan pesat pemikiran Empirisisme. Maka, kejayaan Empirisisme merupakan bentuk-bentuk yang terhasil daripada kewujudan Falsafah Baru, terutamanya di Barat, dan ia masih diteruskan sehingga ke hari ini.

Selain itu, kemunculan Falsafah Baru dilihat stabil dengan pemikiran Positivisme yang diasaskan oleh Auguste Comte (1798-1857). Secara umumnya, pemikiran ini berpegang bahawa ilmu pengetahuan itu diperolehi melalui pengalaman yang disalurkan oleh pancaindera. Maka, mereka tidak meletakkan kekuasaan untuk berfikir itu hanya kepada manusia semata-mata. Atau dengan kata lain, mereka menolak sistem Tuhan.

Pemikiran ini menyebabkan munculnya Sekularisme yang memisahkan di antara agama dan politik. Ini kerana politik itu berhak digubal oleh tangan manusia sendiri, dan agama hanya berada di dalam kepompong gereja sahaja. Maka, semua urusan kemasyarakatan tidak lagi diserahkan kepada gereja, dan kuasa gereja tidak lagi diakui sepertimana zaman pemerintahan gereja sebelum kurun ke 14. Sebaliknya, semua urusan ini diserahkan kepada mereka yang bebas dan tidak terikat dengan gereja.

Berasaskan Materialism dan Atheism

Bangkitnya pemikiran Materialisme dan Atheisme boleh dilihat dari sudut kesan pemikiran-pemikiran yang wujud pada zaman Falsafah Baru ini, antaranya Pemikiran Realisme dan Positivisme yang diceritakan tadi. Ia adalah hasil daripada pemikiran Empirisisme, dan ia telah dikembangkan oleh August Comte (1798-1857). Ia mula tersebar dan digunapakai pada kurun ke-19.

Di sana juga terhadap aliran Positivisme, yang terdapat di Perancis pada zaman yang sama, yang telah bergabung dengan aliran pemikiran Realisme ketika zaman kemunculannya di England. Aliran Positivisme ini membahagi sejarah kepada 4, iaitu: zaman manusia menyembah Tuhan, aman manusia mengkaji alam ghaib, zaman realistik dan zaman ilmu pengetahuan. Maka, sebagai kesimpulannya mereka menganggap ajaran Kristian adalah ajaran yang ketinggalan zaman. Begitu jugalah yang memangsakan Islam hari ini, turut dilabelkan sebagai ketinggalan.

Selain positivism, antara yang masyhur ialah pemikiran Marxisme yang diasaskan oleh Karl Marx (1818-1883). Pemikiran ini jelas berkonsepkan Materialisme dan Atheisme. Pemikiran ini menghasilkan Undang-undang Komunisme yang telah dipelopori oleh Karl Marx sendiri. Ia memberi kesan besar dalam menanam pemikiran anti tuhan di dalam pemikiran manusia. Sistem yang disusun oleh beliau berkait dengan ekonomi, sosial dan politik, yang menjauhkan manusia daripada unsur keagamaan yang dilihat sebagai candu.

Pemikiran Darwin (1809-1882) yang masyhur dengan Teori Evolusi juga berkembang biak hingga ke hari ini. Teori yang mengatakan bahawa manusia itu berasal daripada beruk, dan pegangan bahawa makhluk ini mengalami evolusi sepanjang zaman. Pemikiran ini tidak lain, cuba menafikan kewujudan Tuhan yang mencipta makhluk daripada tiada. Secara umumnya, pemikiran ini juga menolak kewujudan alam ghaib dan berpegang dengan materialisme.

Existentialism dan Pragmatism

Antara hasil daripada materialism dan atheism ialah pemikiran Existentialisme. Pemikiran ini didukungi oleh Jean Paul Sartre (1905-1980) yang turut menghidupkan nilai-nilai atheisme dan materialisme. Ada yang mengatakan bahawa pemikiran ini bangkit disebabkan lonjakan sesitiviti keindividualan, atau nilai kemanusiaan yang terlalu tinggi.

Pemikiran ini mengatakan bahawa manusia adalah ukuran semua benda. Tingginya nilai seseorang itu adalah berdasarkan kemahuan dan keinginan dirinya sendiri. Hasilnya mereka hanyalah menyambung perjuangan Sophisme (sufusta’iy) yang telah ditolak satu ketika dahulu. Selain itu, konsep materialism dan atheism juga mencetuskan pemikiran Pragmatisme. Pemikiran ini muncul di Amerika pada akhir 1880-an.

Antara ciri utama pemikiran ini ialah meletakkan 3 komponen dalam mengukur kebenaran, iaitu hasil, penggunaan dan praktikal. Ia telah didukungi oleh Charles Sanders Peirce (1839-1914). Beliau pernah berkata: ‘Praktikal adalah satu-satunya cara untuk menghukumkan kebenaran atau kebatilan sesuatu. Maka, pemikiran yang menghasilkan kesan untuk praktikal, adalah pemikiran yang betul. Pemikiran yang tidak praktikal, pemikiran itu dikira salah’.

Selain Pierce, asal-usulnya sering dikaitkan dengan ahli-ahli falsafah William James (1842-1910) dan John Dewey (1859-1952). Antara yang dikatakan oleh Peirce, dalam pepatah pragmatiknya tentang objek dan konsep: ‘Consider the practical effects of the objects of your conception. Then, your conception of those effects is the whole of your conception of the object’

Falsafah Baru: Sumber dan kesan

Sumber adalah ‘asas sesuatu’. Secara penggunaannya, ia bermaksud ‘titik perbezaan sesuatu’. Atau dengan kata lain, perbincangan tentang sumber ini adalah berkisar tentang persoalan ‘di manakah titik perbezaan Falsafah Baru?’ Maka persoalan ini perlu merujuk kepada ‘asas’ atau sumber yang dibincangkan di dalam bab ini.

Ada juga yang mengatakan bahawa ‘sumber’ itu adalah ‘perkembangan’. Contohnya sumber pemikiran, bermaksud perkembangan pemikiran. Ada juga yang mengatakan bahawa sumber itu hanyalah ‘kajian untuk mendapatkan punca’ dan sebagainya. Selain itu, kita juga perlu meneliti hubungan antara ‘sumber’ dan ‘kesan’. Hubungan kedua-duanya perlu dilihat kepada realiti penggunaan perkataan ‘sumber’ itu sendiri.

Maka, kita boleh mengatakan bahawa hubungan di antara kedua-duanya ialah hubungan keanggotaan, iaitu, sumber itu keluar dan terhasil daripada ‘anggota’ kesan. Contohnya seperti kelahiran bayi, yang mempunyai hubungan dengan ibunya, hubungan keanggotaan. Maka, si bayi akan lahir dari perut ibunya, sepertimana sumber itu lahir daripada kesannya. Atau dengan kata lain, sumber atau asas sesuatu ini lahir berdasarkan acuan kesan.

Setelah kita memahami maksud sumber, dan hubungkaitnya dengan kesan, maka kita akan melihat pula sumber Falsafah Baru. Perkara pertama yang perlu kita ketahui ialah, era Falsafah Baru ini adalah zaman perkembangan pemikiran Falsafah, dan ia merupakan salah satu daripada zaman-zaman perkembangan Falsafah. Maka, pastinya ia sangat berkait rapat dengan kewujudan ‘kesan’ yang menghasilkan dan mencetuskan Falsafah Baru.

Bukanlah cetusan, tetapi pengembangan idealogi lama

Antara contoh perkaitan antara ‘sumber dan kesan’ kita boleh lihat dengan lebih jelas melalui beberapa contoh. Seperti lahirnya bayi daripada ibunya, bermula dengan gabungan di antara ovum dan sperma, sehinggalah melahirkan bayi tersebut. Begitulah Falsafah Baru, yang sangat berkaitan dengan kesan ini.

Dr Ibrahim Madkur, seorang ilmuan kontemporari berkata bahawa Falsafah Baru ini bukanlah baru dari sudut masa, tetapi ia baru dari sudut ciri-cirinya. Maka, ia sama sahaja dengan falsafah-falsafah sebelum ini, yang bukanlah merupakan falsafah baru, tetapi falsafah yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, yang berbeza dengan falsafah-falsafah sebelumnya.

Maka, dari satu sudut ia dikatakan baru, dan dari satu sudut yang lain ia sama sahaja seperti sebelumnya. Contohnya pemikiran yang wujud pada era Falsafah Baru, bukanlah berbeza dengan pemikiran-pemikiran sebelumnya, tetapi sama sahaja. Semua pemikiran yang dikemukakan pada zaman ini dicedok daripada pemikiran lama, kemudian disuburkan semula.

Contohnya Descartes yang dikatakan Bapa Falsafah Baru. Beliau tidaklah mencipta sesuatu yang berbeza dengan pemikiran sebelumnya. Beliau hanyalah mencetuskan kebangkitan baru untuk menjatuhkan era Falsafah Sistem Persekolahan. Begitu juga Francis Beacon, beliau juga tidak menghasilkan apa-apa yang baru melainkan beliau banyak mewujudkan semula pemikiran-pemikiran lama. Method Empirisisme yang diasaskan oleh beliau, hakikatnya tidak menghasilkan apa-apa yang baru, melainkan ia hanyalah ‘kemajuan’ dari sudut ilmiah.

Secara mudahnya, memajukan bukanlah mewujudkan. Maka, memajukan pemikiran lama, bukanlah bermakna mewujudkan falsafah baru. Hasilnya Falsafah Baru ini bukanlah bermula dengan titik permulaan yang baru, tetapi ia hanyalah susulan daripada falsafah sebelumnya, yang dimajukan semula setelah mereka terkongkong di bawah zaman Pemerintahan Gereja.

Antara idealogi-idealogi yang muncul

Antara kesan falsafah baru juga dilihat melalui idealogi-idealogi yang digagaskan oleh beberapa tokoh. Antaranya Rene Descartes (1596-1716). Beliau banyak menimbulkan semula manhaj menolak keraguan, yang pernah diamalkan oleh ahli Falsafah Yunani, tetapi wujud pada zamannya. iaitu golongan yang menggunakan ‘syak’ dalam Epistemologi. Lalu beliau mewujudkan semula pemikiran ‘yakin’ dalam Epistemologi, untuk menolak aliran ‘syak’ tersebut.

Gottfried Wilhelm Leibniz (1646-1716) pula banyak menghasilkan ‘pertemuan’ dalam pemikiran-pemikiran falsafah yang berbeza. Antaranya beliau cuba menghasilkan titik persamaan di antara Plato dan Aristotle, lalu mengemukakan pemikiran yang baru. Begitu juga dengan method Stoicism (Rowaqiyyah) dan Epicurean (Abiquriyyah) di era 300SM. Beliau juga dilihat sebagai jaguh Rasionalism sebaris dengan Rene Descartes dan Baruch Spinoza (1632-1677)

Selain itu, antara yang terkenal ialah David Hume pula banyak merujuk kepada pemikiran Plato dan Aristotle yang mengemukakan istilah-istilah yang menjadi rujukan kepada Pakar Psikologi pada kurun ke-19, dan awal kurun ke-20. Antaranya teori graviti umum yang menjadi rujukan Newton dalam kajian tentang ilmu Fizik. Beliau sealiran dengan John Locke (1632-1704), George Berkeley (1685-1753), Francis Bacon (1561-1626) dan Thomas Hobbes (1588-1679) sebagai Empiris British.

Antara tokoh falsafah baru yang muncul ialah Immuel Kant (1724-1804). Beliau cukup masyhur dengan method kritikan (criticism), sedangkan beliau bukanlah orang yang mula-mula mengemukakan kaedah criticism itu. Namun, kita mengakui bahawa beliau adalah orang yang mendalami method ini, dan pakar dalam bidang ini. Selain itu, Baruch Spinoza juga dikatakan banyak terkesan dengan Falsafah Yunani, Falsafah Sistem Persekolahan dan Falsafah pada zaman kebangkitan. Juga dikatakan beliau banyak mengambil pemikiran Mahyuddin bin Arabi, ahli pemikir Islam. – HARAKAHDAILY 2/11/2019

Advertisement