Global protest dan slogan Humanism

FENOMENA kegelojohan anak muda

(1)      Hari ini kita dapat saksikan di merata-rata tempat berlakunya bantahan atau protest. Pelbagai alasan digunakan untuk mencetuskan gelombang menyatakan ketidakpuasan hati. Pergerakan ini dikenali Global Protest.

Beberapa media rasmi seperti BBC, CNN dan sebagainya beberapa kali membuat liputan tentang global protest ini. Antara yang menjadi elemen pembakar kepada himpunan bantahan mudah saja, iaitu internet dan kegelojohan anak muda.

(2)     Kebanyakan himpunan bantahan di’monopoli’ oleh anak muda. Generasi baru yang lebih mudah terprovok dengan media cap ayam, lantas berbekalkan kegelojohan terus mengambil tindakan berhimpun di jalanan.

Contoh PRU14 menyaksikan bagaimana anak muda ‘tertelan’ provokasi media cap ayam, atau mainan saraf sehingga mereka menjatuhkan BN atas alasan 1MDB. Sedangkan kes belum dibicarakan pun.

Kegelojohan ini menjadi bahan untuk membakar semangat tanpa pengetahuan. Apatah lagi era Post-Truth yang dilihat lebih rencam. Anak-anak muda yang terpedaya dengan agenda Post Truth, pastinya berpijak di atas tikar pendustaan.

Seolah-olah anak muda mudah tercorak dengan fenomena dan terlompat dengan provokasi. Kegelojohan ini seolah-olah dimanipulasi oleh golongan tertentu untuk mewujudkan pertembungan.

(3)     Boleh baca artikel saya sebelum ini tentang ‘The Created Collusion’ yang menggambarkan bagaimana sesuatu fenomena itu ditimbulkan bertujuan menyuburkan agenda yang lain.

Contohnya, Islamophobia dilancarkan era 11 September 2001, bagi menyuburkan Post Islamisme yang muncul tak lama kemudian. Islamophobia menggambarkan keganasan Islam, maka Post Islamism muncul sebagai Islam agama rahmat ‘tahap terlajak’.

Humanism dan sudan yang tertipu

(1)      Jangkaan awal kesuburan global protest ini dilihat merencanakan pelbagai kemungkinan, antaranya ialah agenda ‘Humanism’ yang akan dihuraikan selepas ini. Rata-rata global protest ini didakwa sebagai himpunan aman.

a-      Mereka mendakwa bahawa himpunan aman dibenarkan oleh undang-undang di mana-mana negara. Tentera atau polis yang hadir menyuraikan himpunan tersebut dianggap sebagai melanggar hak asasi manusia.

b-      Mereka memperjuangkan kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, dibakar dengan semangat untuk menjatuhkan korupsi (kononnya) dan sebagainya. Sedangkan mereka tidak sedar siapakah yang ‘mencatur’ mereka.

(2)      Era 2019 ini tiba tiba banyak negara berlakunya protest. Adakah memang kebetulan, atau sengaja dirancang atau ia merupakan ‘test market’? Contoh di Sudan, sejak akhir 2018 sudah mula disuburkan isu diskriminasi terhadap wanita.

a-      Media memainkan peranan untuk membakar sentimen jenayah rogol, kes cerai dan sebagainya bagi mempotretkan penindasan terhadap wanita. Hasilnya anak muda yang tidak tahu hujung pangkal bangkit kononnya memperjuangkan hak wanita.

Lalu seorang anak dara, Alaa Salah yang berdiri di atas kereta di‘iconic’kan sebagai Nubian Queen. Sebagai satu simbol kebangkitan kaum wanita kononnya. Media terus menerus mempromosikan icon ini.

b-      Rata-rata mereka bangkit setelah sentimen itu ditiupkan melalui media-media. Umum mengetahui bahawa anak muda hari ini lebih terkesima dengan provokasi media sekalipun ia adalah mainan percaturan.

Akhirnya Omar Basyir Presiden Sudan digulingkan pada April 2019. Apa kesudahannya? Kerajaan peralihan konon mengambil cakna terhadap golongan wanita dengan merasmikan liga bola sepak wanita.

c-      Setelah 6 bulan berlalu penggulingan, Alaa Salah, icon yang ditonjolkan mula merungut bahawa golongan wanita ‘dikecualikan’ daripada perjuangan pembebasan Sudan. Seolah-olah merasa terpinggir dengan kerajaan peralihan sedia ada.

Global Protest: Mesir, Lubnan Dan Chile

Media Amnesty International antara yang giat melaporkan tentang global protest yang berlaku di Bolivia, Lubnan, Chile, Sepanyol, Iraq, Guinea, Hong Kong, UK, Ecuador, Cameroon dan Mesir pada bulan Oktober tahun ini.

(1)      Demonstrasi di Hong Kong dilihat ada unsur campur tangan luar. Hal ini akan diceritakan di akhir nanti.

(2)     Pada bulan September, Kerajaan Mesir telah menangkap seramai 2300 orang, sedangkan ketika permulaan demonstrasi tentera seperti membiarkan sahaja himpunan berlangsung.

Mesir bersama beberapa negara lain seperti Chile dan Lubnan, mood demonstrasinya dikatakan isu rasuah. Soalannya kenapa baru sekarang nak bangkit sedangkan sejak Sisi (Mesir) naik sudah ada rasuah?

(3)      Lubnan dikatakan bangkit dengan isu rasuah dan juga kegagalan menyediakan hak-hak sosial dan ekonomi asas. Atau dengan bahasa lain, penyalahgunaan dana awam oleh kerajaan. Mereka dakwa perbuatan ini melanggar hak asasi manusia.

(4)      Sama juga dengan Chile. Bantahan dimulakan oleh pelajar selepas kerajaan mengumumkan kenaikan tambang pengangkutan di Santiago de Chile, ibukota negara itu.

Mereka menyatakan kebimbangan terhadap kos sara hidup. Protes telah melancarkan serangan ke atas sejumlah besar dasar kerajaan yang dikatakan membebankan hak ekonomi, kebudayaan dan sosial rakyat biasa di seluruh Chile.

(5)      Sepertimana yang saya katakan, isu ‘hak asasi manusia’ dijadikan tajuk utama bantahan. Ia menjadi cerminan kepada ‘tiupan’ idealogi Humanism. Kerajaan digambarkan sebagai golongan penindas, manakala rakyat dipotretkan sebagai tertindas.

Mereka berhujah bahawa himpunan aman adalah satu kebebasan, manakala pihak tentera atau polis yang menyuraikan himpunan dianggap menyalahi undang-undang kebebasan.

Ecuador dan Global Climate Strike

Peningkatan kos sara hidup juga antara modal untuk membakar para peserta bantahan. Modal ini digunakan di Mesir, Chile dan Ecuador. Kalau di Chile, ia dikatakan berikutan gaji yang tidak sekata, dan kos hidup meningkat.

(1)     Di Ecuador pula, kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan subsidi bahan bakar. Inilah yang mendorong kepada bantahan besar-besaran terhadap pakej penjimatan tersebut. Susulan hilangnya ‘purchase power’ di kalangan rakyat.

a-      Satu dokumen yang diterbitkan pada Oktober 2019 oleh beberapa gabungan pertubuhan yang bertajuk ‘Austerity: The New NormalA Renewed Washington Consensus 2010-24’ menjangkakan terjejasnya manusia seluruh dunia akibat penjimatan 

Kertas laporan setebal 78 halaman ini menjangkakan bahawa pada 2021 dua pertiga daripada seluruh dunia akan terjejas akibat penjimatan, yang menjejaskan hampir enam bilion orang.

b-     Apa yang dimaksudkan dengan ‘penjimatan’ (austerity)? Ia adalah dasar pemotongan defisit, perbelanjaan yang lebih rendah, dan pengurangan jumlah faedah dan perkhidmatan awam yang disediakan.

(2)      20-27 Sempember 2019 berlakunya ‘move’ besar-besaran yang melibatkan 7.6 juta orang di beberapa buah negara akibat pembakaran hutan antaranya di Bolivia. Ia diberi nama Global Climate Strike.

Move ini melibatkan 185 buah negara, 73 kesatuan kerja, 3024 perniagaan, 820 organisasi dan 8583 laman web. Adakah move ini sememangnya menuntut hak atau ada ‘cabai di sebalik Mee Hailam’? Bermula dari aktivis orang asli, dan seterusnya di’bom’ oleh media.

Kemudian disambut sehingga mencecah 185 buah negara, berhimpun menyatakan bantahan terhadap pembakaran hutan. Bantahan ini dianjurkan oleh ‘Fridays for Future’, sebuah gerakan yang dipimpin oleh anak muda yang dimulakan oleh aktivis Sweden, Greta Thunberg.

Sepanyol, India dan Hong Kong

(1)      Oktober 2019 juga menyaksikan demonstrasi yang berlaku di Barcelona dan seluruh daerah Catalonia, Sepanyol. Ia susulan selepas Mahkamah Agung Sepanyol menjatuhkan hukuman ke atas 12 pemimpin dan aktivis politik tempatan.

(2)     Manakala di India protes diadakan selepas Kerajaan India membatalkan Perkara 370 Perlembagaan India yang memberi autonomi kepada Jammu dan Kashmir. Menjadikan negeri itu terkerat menjadi dua dengan pentadbiran yang berasingan.

(3)     Sepertimana yang disebut di awal tadi, Hong Kong antara tempat subur dengan protes yang dilihat wujudnya campur tangan luar. Protes yang bermula pada April 2019 itu mencecah seramai 2 juta orang.

Ia berikutan Ketua Eksekutif wilayah tersebut menyatakan keistimewaan khas yang diperolehi oleh orang Hong Kong akan dihapuskan dengan Undang-undang Ekstradisi. Antara yang ditimbulkan ialah hak demokratik mereka.

Para demonstran bimbang akan Rang Undang-undang baru akan menyebabkan bandar raya itu membuka peluang kepada pengaruh Undang-undang Tanah Besar China dan rakyat dari Hong Kong akan terikat dengan undang-undang yang berbeza.

a-     Protes ini dianjurkan oleh Civil Human Rights Front (CHRF). Banyak pertubuhan yang menjadi ‘member’ kepada CHRF yang wajar diselidik satu-persatu. Antaranya pertubuhan Kristian, Demokratik dan lain-lain.

b-      Pada bulan Ogos 2019, Kerajaan China memberi ancaman untuk campur tangan dalam bantahan di Hong Kong. Pada bulan Oktober, menyaksikan bagaimana Hong Kong telah diisytiharkan darurat. Perkhidmatan kereta api diberhentikan sementara.

c-      Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir mencadangkan supaya Carrie Lam, Ketua Eksekutif Hong Kong supaya meletakkan jawatan kerana huru-hara di kawasan tersebut antara yang terpanjang dan terburuk

Peluru hidup dan fenomena 2019

(1)      Pada 1 November 2019 telah tersebarnya berita bahawa Lubnan menggunakan peluru hidup bagi menguraikan para demonstran. Kejadian yang dikatakan terjadi pada 26 Oktober itu seakan-akan mengembalikan silam Medan Rabaah Mesir 2013.

a-      Bukan setakat ni Lubnan, termasuk juga di Hong Kong baru-baru ini. Dikatakan pihak polis menggunakan peluru hidup untuk menguraikan para demonstran. Isu sebegini boleh membakar lagi suasana protes.

b-      Di Iraq lebih kurang sama ceritanya. Penunjuk perasaan mula berhimpun di Baghdad membantah isu rasuah di kalangan pimpinan kerajaan. Bantahan mula marak pada awal Oktober 2019. Media Barat melaporkan kerajaan menggunakan peluru hidup.

Dikatakan bahawa ada yang telah terbunuh, dan sebanyak 6000 orang cedera. Tindakan kerajaan untuk meredakan keadaan dengan mengarahkan tentera berundur digantikan dengan polis. Desakan penunjuk perasaan diambil kira seperti meningkatkan subsidi.

(2)      Sepertimana yang saya nyatakan di awal tadi, rata-rata para perserta bantahan di kalangan orang muda, yang boleh dikatakan ‘cepat melatah’. Seolah-olah generasi baru ini tercorak dengan Humanism.

(3)      Dalam masa yang sama, para agamawan yang berada di bawah rangkaian Tabah Foundation, pada 2018/19 sering menuturkan tausiyyah bab kemanusiaan (الانسانية) atau humanity.

(4)      Selain itu, fenomena 2019 sering dikaitkan dengan kesuburan banyak perkara seperti Post Truth, Post Islamism, Neo Liberalism, Neo Secularism dan banyak lagi. Segalanya menghala ke arah 2020 yang menyaksikan pertembungan yang lebih banyak.

Global protest yang diceritakan tadi, adakah satu kebetulan atau semenangnya dirancang? Anak-anak muda seolah-olah sudah jadi buah catur, yang boleh digerakkan dengan bakaran sentimen melalui media.

Secular Humanism dan Post Islamism

Sepertimana teori di awal tadi, seolah-olah Global Protest adalah satu perancangan untuk membina Humanism yang bercorak Sekular dan Liberal. Sekiranya kita meneliti sejarah idealogi, kita akan temui Secular Humanism.

(1)      Humanism secara umumnya adalah pemikiran yang terbina di atas dasar ‘ketuanan manusia’. Manusia mampu melakukan apa-apa sahaja dengan bebas. Mereka menganggap manusia berhak untuk menentukan hidup mereka.

Justeru, mereka menolak sebarang ketahyulan dan dogma. Menolak keperluan beragama. Bebas menentukan cara hidup masing-masing. Sebab itulah ia sinonim dengan rasionalism, empirisism dan lain-lain.

(2)      Secular Humanism ialah pemikiran yang mengatakan bahawa manusia dapat hidup dengan cemerlangnya dari segi etika dan moral sekalipun tidak beragama. Mereka menolak kewujudan kuasa ghaib dan sebagainya.

a-      Secular Humanism dilihat lebih cenderung kepada takrifan ateism. Jika diterjemahkan dalam konteks Post Islamism (Sekular 2.0) kita akan dapati bahawa ‘nilai-nilai’ Secular Humanism menyerap dalam elemen agama.

b-      Sepertimana yang kita pernah nyatakan, Sekular berasaskan kepada pengasingan agama daripada sistem kehidupan. Justeru Humanism yang mengikut neraca Post Islamism ialah mempotretkan agama itu sebagai ‘swasta’.

Atau lebih mudah difahami hak individu yang perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan Islam secara peribadi, dan tidak terkait dengan sebarang sistem mahupun undang-undang. Seolah-olah nak masuk syurga seorang diri.

c-      Secara halus kita akan dapati bahawa Post Islamism menterjemahkan Islam itu diukur hanya pada dosa peribadi, pahala peribadi, amalan peribadi dan kesemua ini diukur dengan neraca Humanism. – HARAKAHDAILY 3/11/2019

Advertisement